Jumaat, Disember 21, 2007

Tajam

“Belakang parang kalau diasah pasti akan tajam jua akhirnya”

Itu antara peribahasa Melayu yang aku pelajari sejak sekolah rendah dulu. Orang Melayu. Memang begitu. Kaya dengan perumpamaan. Gemar bermain dengan kata-kata. Lembut nada bicara, tegas maksudnya. Di sebalik kata yang tersurat, ada yang tersirat.

“Belakang parang kalau diasah pasti akan tajam jua akhirnya”

Jangan sesekali mengalah mengajar orang yang tidak arif tentang sesuatu perkara. Kalau usaha berterusan kita itu ikhlas, pasti akan ditemui hasil di pengakhirannya nanti.

“Wooitt…. Yang kamu pegi asah belakang parang tu buat aper. Patutlah dah dekat setengah jam tunggu tak siap2 lagi. Cepat la, orang dah nak lapah lembu nie”

Moral : pastikan pisau/parang/kapak yang kamu gunakan untuk tujuan korban nie tajam yer. Kalau dah tumpul, asah la kat mata pisau tu. Heheh

Salam Aidil Adha.

Jumaat, Disember 14, 2007

Tunku Kudin

Sedang dipentaskan, satu persembahan teater yang memenangi beberapa anugerah utama di Festival Teater KL 2007. Tunku Kudin mengimbau susur galur sejarah pelantikan Tunku Kudin sebagai Yamtuan Selangor pada tahun 1968.
Teater oleh kumpulan teater Universiti Malaya ini akan dipentaskan mulai 13 ingga 15 Disember 07 jam 8.30 malam di Auditorium DBP, KL. Kemasukan adalah percuma.
Bagi yang meminati teater, kamu pasti teruja. Bagi yang belum mengenali dunianya, janagn lepaskan peluang mengenalinya.
p/s: Promosi ini bukanlah bermakna penulis ada kaitan sama ada secara langsung atau tidak dengan teater ni. Cuma dirasakan, hebahan tentang dunia teater ini masih tidak diketahui ramai. Sekadar ingin berkongsi.

Khamis, Disember 13, 2007

Permit

Dah 1 jam kami melantit. Teh tarik dalam gelas besar baru separuh surutnya. Kami tak makan. Minum jer. Dah lewat malam. Bukan nak jaga badan. Tapi kat kedai mamak tu tak der apa yang menarik. Kecuali skrin tv besar yg dok tayang gambar bola negara Omputeh. Sesekali ada gak ‘halwa mata’ lalu dan duduk di meja berdekatan kami.

Tak ramai. Cuma kami bertiga. Semakin berkurang yang sertai aktiviti 'MLM-Meeting Larut Malam nie”. Mungkin sebab sekarang musim hujan. Lebih seronok tido peluk bantal kat umah. Atau apa jua yang boleh dipeluk.

Dalam perbincangan kami. Diselitkan juga isu ini. Kesukaran untuk berkumpul. Macam dulu2. Segalanya berubah. Ramai yang dah kawen. Ada komitmen lain. Tak dinafikan keluarga perlu diutamakan. Yang ada cuma kami. Yang dapat permit untuk berkumpul dan berhimpun secara aman ini.

Aku. SMS Zul. Tanya kat mana. Dah setengah jam tak sampai2 lagi. Seminit lepas tu Zul balas. “Maaf. Tak dapat keluar. Aku kena tahanan ISA kat umah.

Kami gelak2 baca SMS Zul. Tapi lepas tu semua diam. Dan masing2 baru teringat. Permit mereka akan tamat tak lama lagi. Masa untuk beredar.

“Mamak. Kira”

Selasa, Disember 11, 2007

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku.

Hari ini Hari Keputeraan Sultan Selangor. Maka, tersenyumlah mereka yang bekerja di negeri Selangor. Dapat cuti satu hari.

Jiran mereka, Wilayah Persekutuan terpaksa bangun di awal pagi untuk bekerja hari ini. Dan teman serumah kamu, yang mencari rezeki dibumi Selangor masih berbalut dengan selimut tika kamu terpaksa meredah hujan pagi untuk menyelesaikan tugasan di pejabat yang tak pernah berkurang bebannya. Sekatan jalan raya dari abang misai yang menyebabakan perjalanan kamu ke tempat kerja tidak selancar biasa di musim cuti persekolahan ini membuatkan kamu teringin menjadi warga negeri Selangor. Sekurang2nya untuk hari ini.
Daulat Tuanku

Isnin, Disember 03, 2007

Klien

Dulu. Masa kerja ngan kontraktor, klien selalu bertanya dalam mesyuarat projek. Isu/masalah dalam pelaksanaan projek. Aku bilang 'tiada'. Mudah. Tak nak berpanjangan. Lagipun isu/masalah dah jadi tanggungjawab kamu para kontraktor untuk selesaikannya. Apa jua caranya.

Tapi, klien jarang berpuas hati. Bila aku katakan tiada atau gelengkan kepala. Kata mereka, mana ada projek tak ada isu/masalah. Kalau benar2 tiada, kemajuan projek pasti lancar, tiada kelewatan. Walau sedikit.

Diminta juga aku bangkitkan. Apa jua permasalahan. Katanya, mereka ingin membantu. Sama2 fikirkan. Cari jalan penyelesaian.

Maka. Aku luahkan. 2-3 masalah/isu yang berkaitan. Tanya mereka lagi. Apakah langkah dan tindakan yang diambil untuk atasi masalah yang dibangkitkan ini. Apakah aku sudah cuba alternatif dan kaedah lain. Apakah aku sudah ambil langkah2 yang perlu bagi atasi masalah/isu berkaitan.
Tadi. Kata sama2 ingin fikirkan. Kalau diminta tindakan apa yang akan aku lakukan. Kan sama jer kalau aku terus berdiam. Lebih baik tak bangkitkan pasal masalah/isu yang disoalkan. Nak wat camner. Mereka klien. Aku kontraktor.

Tapi. Itu dulu.

Kini. Aku klien. Hahaha (gelak besar cam orang jahat)

Rabu, November 28, 2007

Niaga

Man cukup berbakat dalam dunia perniagaan. Ia jelas terlihat masa Man bersekolah di sekolah berasrama penuh di pinggir ibu kota. Tak, sebenarnya jauh dari ibu kota. Tapi, Man selau ponteng fly pergi ke ibu kota.

Masa di tingkatan 5, di minggu2 akhir persekolahan, Man jualkan buku2 rujukannya kepada pelajar tingkatan 4. Sebenarnya, Man paksa pelajar junior itu beli darinya. Bukan setakat buku2 rujukannya, khabarnya buku2 rujukan milik rakannya turut dijualkan. Semuanya laku. Laris. Walau secara paksa.

Man cukup berbakat dalam dunia perniagaan. Khabarnya adiknya lebih hebat dari Man. Bukan setakat menjual buku2 rujukan miliknya dan milik kengkawan. Adik Man jual semula buku yang dah dijual sebelum ini. Pagi jual kat orang lain. Petang cilok balik dan jual semula kat orang lain.

Khamis, November 22, 2007

Musang Bulunya Ayam

Di awal pagi. Di kedai kopi. Kami tak banyak berbual. Macam biasa. Mungkin kerana korum kali ini sedikit berkurang jumlah ahlinya. Mata asyik memandang pada yang lalu lalang. Namun telinga aku lebih tertarik untuk menangkap perbualan mereka di meja sebelah.

‘Zaman sekarang. Orang baik susah nak dipercayai. Kene tengok 2-3 kali’ kata salah seorang dari mereka. Yang merujuk kepada berita2 sensasi di akhbar akhir2 ini. Oh, tidak. Bukan pasal artis. Kali ini pasal orang2 yang diamanahkan. Yang mengambil peluang di celah kesempatan. Mereka bercerita tentang hakim, peguam, polis dan pegawai2 berpangkat dan berkuasa bergilir2 turun naik mahkamah.

Mungkin terlalu awal kesimpulan yang cuba dibuat. Hukum dunia, selagi mahkamah belum putuskan bersalah, jangan kata dia bersalah.

Aku pun tak sedap jika dianggap terlalu baik dan berbudi pekerti. Satu hari nanti, bila buat silap, macam satu kesalahan besar dalam hidup ini. Lainlah kalau kamu jenis yang tak berapa boleh dipercayai. Orang dah tak heran apa yang terjadi. Bukanlah bermaksud kene jadi jahat. Atau tunjukkan perwatakan yang tak senonoh semata-mata untuk kamu dilabelkan sebagai golongan kiri.

‘Kamu jangan risau Kemat. Dari hari pertama jumpa, aku dah rasa hang memang jenis kepala tak betul punya. Itu sebab aku pelik, bila time nak ajak lepak minum2, hang tiba2 jer jadi rajin, banyak keje nak buat’ kata mereka mematikan angan2 ku nak berlagak baik.

Isnin, November 19, 2007

Mengemas

Mak selalu bising benda yang sama. Adik perempuan aku pun juga. Awek Che’gu pun ikut sama. Komplen pasal bilik aku. Yang berselerak. Mereka pelik macam mana aku boleh hidup dengan selesa dalam keadaan begini. Aku bagi alasan aku nie lelaki. Boleh berdikari tak kira situasi.

Bukan selalu pun. Sekali sekala. Cuma bila dah berselerak tu ia akan mengambil tempoh yang agak lama. Sehingga ia dikemaskan. Macam lori sampah kat kawasan rumah kamu juga. Seminggu baru 2-3 kali nampak kelibatnya. Kalau tak anjing, monyet terlebih dahulu memunggahkan segala isinya.

Bukannya tak nak kemas. Kurang rajin. Tabiat yang diwarisi dari zaman bujang. Tapi sekali operasi pembersihan dilakukan, aku vakum dan semburkan pewangi sekali. Baju2 dilipat rapi2, kain cadar pasti berganti. Tapi bukan selalu lah. Kecuali kalau ada barang hilang atau ada sesuatu istimewa yang dicari. Habis satu bilik aku punggah dan susun kembali. Ada rezeki jumpa, kalau tak sekurang2nya bilik aku kembali berseri.

Nampaknya awek che’gu dah tahu cara nak suruh aku kemaskan bilik. Hari tu, puas aku cari brooch yg aku belikan untuknya. Lega. Brooch jumpa. Bilik kemas dari biasa.

Jumaat, November 16, 2007

Berita Yang Menakutkan

Suratkhabar hari ini menakutkan. Kata kawanku ketika kami bersantai2 selepas habis waktu rasmi untuk bekerja. Petang2 pekena teh tarik di kawasan yg sibuk dgn awek mundar mandir memang terapi yang menyeronokkan. Rasa mengantuk ketika di opis tadi sekejap saja hilang.

Kata kawanku itu lagi. Selepas mencicip buih teh tarik yang tinggi tu. Hari2 cerita pasal orang berbunuhan. Cerita pasal jenayah seksual. Cerita pasal kemalangan yang mengerikan. Baik di dalam atau di luar negara.

Lebih menakutkan tugas menjadi wartawan. Bukan dia. Tapi aku yang mencelah. Wartawan hari ini ditakutkan dengan amaran tentang penulisan. Berita yang cuba disampaikan. Mata mereka melihat, telinga mendengar tapi tangan menulis apa yang telah diarahkan sahaja. Berita-berita tentang sanjungan sangat2 dialu-alukan. Apa-apa cadangan yang mereka utarakan itulah yang perlu digembar-gemburkan sebagai terbaik.

Kalau dahulu, akhbar memainkan peranan penting dalam menyuntik semangat kemerdekaan. Dalam jiwa-jiwa Malaya. Kini, jiwa akhbar itu sendiri tidak merdeka. Terkongkong. Terkepung. Maka yang dapat disajikan hanyalah kisah orang berbunuhan, jenayah ke atas kaum wanita juga diselitkan kisah-kisah artis untuk sedikit menghiburkan.

Suratkhabar hari ini menakutkan. Lebih menakutkan jika kita pembaca takut membaca artikel2 yang disifatkan boleh mencetuskan desakan untuk ingin tahu dan mencari kebenaran.

Rabu, November 14, 2007

Peluang & Kesempatan

Dalam usia menghampiri angka 30an, terasa sedikit tua. Kamu bukan lagi remaja. Meskipun kamu masih meminati lagu2 cinta dari "Boy Bands". Harapan yang disandarkan pada kamu semakin tinggi. Tanggungjawab yang terbeban di bahu kian bertambah. Meningkat mengikut usia kamu juga.

Bagi yang belum berkeluarga. Bukan kias2 lagi soalannya. Ia jelas dan nyata. Cuma kamu berpura2 tak mengendahkannya.

Untunglah kamu lelaki. Masih banyak helah dan alasan untuk diutarakan. Kerna kekangan kewangan dan komitmen pada kerja yang mencuri masa lapang kamu untuk memikirkan tentang masa depan.

Pernah. Seorang kawan perempuan berkongsi masalah itu. Ya. Aku kira dia begitu berjaya dalam kerjayanya. Sentiasa tekun, gigh dan komited. Seperti mana tika bergelar mahasiswi dulu. Katanya, sukar untuk mencari cinta. Bukan tak ada yang mengejarnya. Bukan sedikit yang cuba mengetuk pintu hatinya.

Seikhlasnya aku katakan, sikapnya yang terlalu ingin berdikari menyebabkan dia menolak segala pertolongan yang dihulurkan. Dia percaya boleh melalui kehidupan ini berseorangan. Mungkin. Perempuan zaman ini cukup berani, kuat dan berkeyakinan tinggi. Tapi, tipulah kamu tak merasa sunyi dalam perjalanan hidup yang panjang dan kadangkala membosankan jika tidak berteman.

Di akhir perbualan, aku tinggalkan dia dengan 2 pesanan. Berilah peluang pada yg cuba merebut hati dan kepercayaannya (aku tahu ada sorang mamat yg dah sekian lama cuba dekatinya). Kedua, aku pinta dia terus berdoa. Kerna itulah yang aku lakukan dulu. Jangan pernah berhenti mengharap. Jodoh, maut, rezeki di tangan Tuhan. Berdoalah moga segalnya dipermudahkan.

Baru2 ini. Aku terima sekeping kad undangan (dari berkeping2 kad untuk majlis istimewa di hari cuti persekolahan). Memaklumkan tentang kenduri kahwinnya di selatan tanah air itu. Segera aku telefon bila mendapat perkhabaran gembira itu. Untuk mengucapkan tahniah. Jua bersoal selidik tentang bakal suaminya (aku memang tak kenal mamat yg cuba dekatinya suatu ketika dulu, tapi aku dpat rasakan nama pasangan yg dicatitkan pada kad itu milik lelaki lain)

Ceritanya pada aku, mamat itu sudah diberikan peluang. Untuk membuktikan kesungguhan dan memberikan harapan. Namun, bukan sekadar peluang, mamat itu cuba mengambil kesempatan. Dan hubungan mereka putus. Mujur dia tak pernah putuskan doa pada-Nya. Dan tak lama lagi, dia akan mengahwini lelaki yang diyakini mencintainya, menghargainya seikhlasnya.

Aku pohon kemaafan kerna tak dapat memenuhi jemputan. Aku akan hantarkan hadiah pengganti diri di majlis bersejarah itu. Katanya, dia tak perlukan hadiah dari kawan. Dia perlukan doa. Moga kebahgiaan yang diimpikan berkekalan.

Untuk semua yang meraikan hari2 istimewa di sepanjang cuti nanti. Moga kebahgiaan mlik kamu.

Isnin, November 12, 2007

BER...

Kata kawanku yang melewati stesen elarti Masjid Jamek sewaku pergi ke tempat kerja pagi ini, keadaanyanya bersih sekali. Tak seperti biasa. Bukanlah dia maksudkan kawasan itu selalunya kotor. Walaupun di hujung minggu, ramai yg mengambil kesempatan berniaga di kaki lima kecuali bila disergah penguatkuasa, jarang benar kawasan itu kotor dengan sampah hasil urus niaga. Kalau adapun, pekerja2 Alam Flora sudah bersihkan di awal pagi, ketika kamu masih dibuai mimpi. Cuma kali ini, kebersihannya lebih dari biasa.

Kata kawanku lagi. Kali terakhir dia melihat kawasan di sekitar elarti itu dibersihkan dengan pancutan air dari pili bomba sewaktu bandar kota itu dilimpahi banjir lumpur. Beberapa bulan yang lalu. Entah mimpi apa agaknya, kawasan sekitar elarti masjid jamek itu dibersihkan dengan sebegitu rupa hujung minggu yang lalu. Tak dapat dipastikan pula apakah pancutan pili bomba juga yang digunakan bagi mencuci jalan2 di situ.

Baguslah. Teringat slogan kempen kat RTM dulu2, 'Negara Bersih Rakyat Sihat'. Sewaktu kecil2 dulu, aku sering membersihkan longkang keliling rumah tika hari hujan. Senang, tak yah susah2 nak pancut ngan air. Air hujan yang lebat dah cukup laju dan deras untuk menolak sampah2 yang terlekat di salur. Seronoknya. Sambil main hujan, dapat juga bersihkan lumut2 hijau di longkang.

Sabtu, November 10, 2007

Hingga Ke Hujung Dunia

Janji mereka yang sedang bercinta itu, walau sampai ke hujung dunia, pasti dicari, dituruti jejaknya agar mereka tetap berdua bersama. Kat maner hujung dunia tu. Di sebelah kutub utara atau kutub selatan. Datuk Paduka Sharifah Mazlina juga berseorangan menjelajah bumi kutub.

Aku tak salahkan mereka yang ingin berjanji begitu. Kamu nak buktikan agungnya cinta kamu. Cuma biarlah kamu sedar dan tahu apa yang dijanjikan. Kan senang kalau hanya setakat nak dituruti sehingga ke tanah terselatan benua Asia aka Tanjung Piai.



Tanjung Piai, sekalipun mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan merupakan salah satu daripada 17 tapak Ramsar di dunia (pengiktirafan List of Wetlands of International Importance – sebagai paya yang mempunyai kepelbagaian bio-diversiti unik), jarang sekali ia jadi tumpuan ramai. Sesekali ia cuma digemparkan dengan kehadiran dan misteri Big Foot serta usaha bersiaran 50jam oleh Muzik FM kat sini. Aku tak tahu nak bercerita. Aku terpaku pada keistimewaan dan kelaianan yang disajikan oleh Tanjung Piai ini. Ada sesuatu yg pasti meninggalkan kenangan manis tika kamu jejak ke sini. Bak kata Farah Fauzana, kamu layan ajelah gambar2 nie.




Kalau kamu rasa tak puas dengan perjalanan kamu ke sini, panjangkan langkah kamu ke Sabah pula. Cuba teroka Simpang Mengayau, Kudat yang diberi gelaran "Tip of Borneo". Entah di mana aku simpan gambar2 tu. Tak per lah usha ajer gambar yg aku cilok kat Internet ni.

Tak kisahlah kamu ke sini nak menguatkan hujah cinta kamu, nak mencari cinta atau melupakan kisah cinta yang lara, cuti2 lah di Malaysia. Bumi merdeka ini merindui jejak kamu.

Jumaat, November 09, 2007

Hujan

Di pinggiran kota yang berlumpur
Hujan lebat malam tadi
Sampai pagi
Dan aku
Tidur seorang diri

Selasa, November 06, 2007

Malu II

Pernah. Aku suarakan pada awek che 'gu. Nak amik kelas PR. Public Relations. Agar aku lebih ringan mulut. Lebih ramah tamah. Sekurang2nya aku ada keyakinan diri. Bila berkata2. Mudah membawa diri. Di antara mereka. Sesama mereka. Paling utama. Aku nak mudahkan pergaulan dengan keluarganya.

Awek che'gu tak setuju. Katanya biarlah aku malu. Lagipun aku orang baru. Masih banyak rahsia tersimpan. Masih ada tingkah laku yang cuba diselindungkan.

Aku syak. Awek che'gu takut aku gunakan ilmu PR itu. Bila dah khatam dan terer nanti. Untuk 'mengacau' anak2 gadis di luar sana.

Isnin, November 05, 2007

Malu

Susahnya jadi orang pemalu. Jadi pendiam. Walhal dalam kepala, dalam hati, banyak benda nak dilafazkan. Ada saja kata2 yang ingin diucapkan. Tapi kerna malu, dipendamkan saja. Ayat2 yang disusun sekadar kedengaran dalam hati sendiri.

Kata orang malu itu bagus. Mungkin. Tapi takkan nak jadi kera sumbang. Dunia nie bukan kita sorang. Perlu ada teman. Perlu bermasyarakat. Kalau tak kamu akan terikat.

Kadang2, kita rasa pemalu tapi pada orang sebaliknya. Mungkin sebab malu itu bertempat. Pada orang tertentu. Mengikut masa dan waktu.

Aku. Rasanya bukan spesis yang pemalu. Sepatutnya lah. Sebab dalam kelompok kawan2 yang rapat, aku banyak bercakap. Cuma bila bersama mereka yang lebih berumur, berpangkat, berlainan jantina, aku mudah jadi kelu dan lebih suka membisu. Keluarga awek che'gu pun dah perasan. Aku nie banyak diam.

Masa cuti raya tempoh hari. Kat umah awek che'gu. Aku dok sarapan sorang2. Sambil baca surat khabar kat meja makan. Awek che'gu sibuk dok basuh pinggan. Datang adiknya yang sorang. Turut serta makan. Lama aku fikir. Ayat diatur dan diulang2. Dalam kotak fikiran. Beranikan diri. Aku mula bersuara. Sedikit perlahan. "Hmm...bila kuliah sambung balik Ani". Cuba nak buka topik perbualan. Nak hilangkan malu antara keluarga awek che'gu.


"Err... saya Ida la bang Kemat"
Cheh. Camner lak leh tersalah orang. Adik2 awek che'gu yg 2 orang tu punyai muka yang hampir sama. Selalu aku confuse yang mane satu antara mereka berdua nie. Alahai. Malu-malu.

Jumaat, November 02, 2007

Luka

Mak pernah berkata. Bingkai kaca perhiasan itu sangat bermakna buat dirinya. Biarpun ia cuma bingkai biasa. Namun ada sesuatu yang istimewa di sebaliknya.

Dah lama aku lihat bingkai kaca itu di bawah. Seaakan tidak dipedulikan. Maka, atas niat ingin mengembalikan semula kenangan dan keistimewaan bingkai kaca itu, aku ingin gantungkan ia semula. Di tempat yang tinggi biar semua mata dapat menatapi.

Mula2, dibersihkan bingkai kaca itu dari sawang dan debu yang melekat. Dan semakin bersinarlah pantulan biasan dari bingkisan kaca itu. Dan kerja-kerja mengantung dimulakan.

Entah bagaimana, bingkai kaca itu terlepas dari genggaman. Jatuh. Pecah. Berderai.

Jari dan tangan aku luka. Aku tak endahkan. Kerna aku dapat melihat hati emak lebih terluka tatkala mengemas dan mengutip sisa kaca yang bertaburan.

Kesal. Aku hanya mampu mohon kemaafan dari hati dalam diam.

Khamis, November 01, 2007

Pak Lah, Gadis dan Bunga

Kisah gadis misteri dan Pak Lah cukup menarik perhatian. Mungkin kerana ia melibatkan pemimpin no 1 negara. Yang jarang2 disingkapkan kisah cinta seperti artis2 kita. Entah apa tujuannya, entah apa difikirkan oleh gadis misteri itu. Namun keberaniannya menaiki pentas dan menghulurkan ros merah jambu sedikit sebanyak mencabar keberanian anak2 muda dalam soal mencari cinta.

Gadis misteri itu mungkin sekadar hanya meminati dan mengkagumi kepimpinan dan kepribadian Pak Lah. Persoalan di hati dan perasaan sebenar hanyalah dia yang tahu.

Kamu. Dalam pencarian cinta. Pernah kamu lakukan sesuatu di luar keberanian dan kewarasan akal fikiranmu. Atau kamu biarkan saja cinta itu pergi tanpa kamu cuba mengetuk pintu hatinya.

Cinta, antara perkara yang terindah dalam hidup. Selamilah. Rasailah. Kamu kan damai menikmatinya.

Petikan akhbar Berita Harian kisah Pak Lah dan Gadis Bunga di sini.

Isnin, Oktober 29, 2007

Ceritelah Raya : Last Minute

"Shopping last minute la best… barang murah2. Peniaga dah start lelong barang niaga" kata Lepat waktu aku ajak gi Jln TAR seminggu sebelum raya. Aku pun suka gak shopping last minute. Kalau boleh malam raya tu baru aku nak gi shopping. Tapi, tahun nie aku beraya kat Kedah, tak dapatlah shopping last minute.

Lepat anak KL. Kat IC pun di tulis. Lahir di KL. Kampungnya KL. Harap2 jodohnya ngan orang kampung jauh ckit dari KL. Ada can la dia merasa beraya kat kg. Kata Lepat, untung juga dia jadi warga KL. Tiap-tiap tahun leh shopping last minute. Kira leh dapat barang dengan harga yang murah. Lebih murah dari orang yang shopping awal2.

Dan lepas raya, aku dapat kad. Dari Lepat. Ingatkan kad jemputan kawen. Rupanya kad ucapan selamat hari raya. Cheh, nie mesti beli last minute gak, nak dapat yg murah. Last minute esok nak raya baru sebok nak pos kat orang lain. Sudahnya lepas raya baru dapat.

Kad sebelah dalam selain ucapan dan pohon kemaafan ada juga diselitkan pantun, pecah kaca pecah gelas dah baca harap balas. Aku balas via sms, makan gulai dalam bekas, kad baru sampai, raya dah lepas tahun depan jelah aku balas.

Khamis, Oktober 25, 2007

Ceritelah Raya : Istimewa

Pagi tu pagi raya. 13hb Oktober 2007. Kata awek Che’ Gu sebelum kami bersalam bermaafan. Tarikh ini penuh beerti. Cukup istimewa. Buat kami.

Aku fikir mungkin kerna itulah kali pertama kami beraya bersama. Kata awek Che’ Gu, ada sesuatu yang lebih bermakna. Hari lahirnya ....... tidak. Hari lahir aku ...... tidak. Ulang tahun perkahwinan ...... tidak. Ulang bulan perkahwinan ........ juga tidak.

Kata awek Che’Gu, setahun yang lalu pada tarikh ini kami bertemu dan mula mengenali antara satu sama lain. Di satu majlis berbuka puasa. Wah... baru setahun rupanya kami berkenalan. Tak terduga secepat ini dari sahabat kini kami menjadi suami dan isteri, teman sepanjang jalan kehidupan. Dan kami, sebenarnya baru belajar untuk bercinta. Cinta selepas kahwin. Moga ia kekal selamanya.



Rabu, Oktober 24, 2007

Ceritelah Raya 1

Malam raya, kami sekeluarga dah berkumpul di kampung. Bukan kami sahaja, keluarga makcik dan pakcik juga dah ada. Kira cam perhimpunan keluarga yang besar. Kecuali seorang. Mak cik yang beraya di JB bersama keluarga mertuanya.

Di kampung, teknologi 3G belum tiba, maka tidak berpeluanglah kami ber'video call'. Terbatas kepada perbualan ramai2 menggunakan aplikasi loud speaker. Di sebelah sini, kami tak habis2 bercerita tentang kemeriahan dapat berkumpul ramai2 di kampung. Bercerita tentang keadaan kampung yang sudah berubah berbanding kepulangan kami kali terakhir. Dan di sebelah sana, boleh terdengar suara makcik yang tersedu2 dalam kesediahan.

Kata aku cuba memujuk. "Tak perlulah sedih2 sangat. Setakat tak dapat beraya di kampung halaman sendiri tapi masih dapat beraya di JB dengan keluarga sebelah sana. Sheikh Muszaphar raya sorang2 jer kat angkasa lepas sana"

Dan Isnin hari pertama masuk keje, aku call makcik yang di Johor sana. Tanyakan dokumen yang aku hantar ke pejabatnya sudah diterima atau belum. "Oh, esok sajelah, mak cik masih bercuti lagi"

"Huh, lamanya bercuti. Syeikh Muszaphar pun dah kembali ke bumi".

Kata PM, mungkin akan ada angkasawan kedua dihantar ke angkasa lepas. Hmm.. kalau dulu beli Sukhoi, kali nie nak kene beli apa lak yer. Nak beli kapal selam, Scorpene dah ada. Mungkin kene beli helikopter lak ganti Nuri...

Isnin, Oktober 22, 2007

Ceritelah raya

Kat opis masih sunyi. Ada yang masih bercuti. Atau baru nak bercuti. Tapi rasanya ramai yang dah masuk kerja hari nie. Entah kenapa opis masih sunyi. Mungkin sebab hujan ramai yang akan terlewat. Atau mood raya masih kuat melekat. Di KL rayanya kan sebulan. Semalam jer ada 2 open house. Mungkin banyak lagi kalau aku kira open house yang dibuat oleh para menteri, artis juga VVIP. Hai, susah la nak poser 6 cenggini.

Aku ke rumah Fadz kat Subang. "Kenapa sorang jer" tanya dia masa sambut aku kat muka pintu. "Ko jemput lepas Zuhur. Kalau lepas Subuh besarlah kemungkinannya aku datang berdua. Lepas Zuhur aku dah kembali bujang"

Dan sebelah petang, ada lak jemputan kat area umah aku. On the way balik ke umah, si Ijam talipon, nak singgah beraya kat umah aku katanya. Orait gak tu. Rasanya laksa kat umah tu ader lagi. Cuma nak kene panaskan kuahnya ajer.

Sampai jer kat depan pagar umah, aku tgk pagar berkunci. Aiseh, lupa lak nak bawak kunci umah. Mak ayah aku keluar beraya rasanya. Malam kang baru balik. Terus bgtau Ijam jumpa kat warung simpang jalan.

"Leceh la ko nie. Aku ingat nak beraya makan kuih kat umah ko. Ada beraya kat warung jer"

" Ok la nie. Sedap apa kuew tiaw"

Khamis, Oktober 11, 2007

Ceritelah Raya - Prekuel

"Ku tak tahu.. tak tahu yang mana satu" lagu Juliana Banos tu seakan2 mengejek aku. Aku tak tahu nak pilih yang maner satu. Putih atau coklat.

Aku dan awek che’gu dah sepakat. Raya tahun nie guna baju kawen jer. Yelah, baju tu pun baru sekali jer pakai. Pastu dah simpan dalam almari. Masa kat umah perempuan, kami pakai kaler putih. Masa kat umah aku kaler cokelat jadi pilihan.

Mula2 ingat nak pakai kaler putih time beraya kat kampung. Tapi family aku yang lain semua pakai kaler cokelat. Baju masa kenduri hari tu gak la...

Mak suruh pakai coklat. Ikut tema keluarga. Aku ingat nak pakai kaler putih. Tema angkasawan.
"Ku tak tahu.. tak tahu yang mana satu"

Rabu, Oktober 10, 2007

Aidilfitri.

Maaf. Itu yang pertama. Kata yang ingin diungkapkan. Pada kamu. Pada semua.

Maaf. Dari hati ke hati. Seikhlasnya aku pinta. Tanpa disedari atau disengajakan, kata-kataku, gerak langkah ku, bait-bait tulisan yang dikarang selama ini menyakitkan kamu, membuatkan kamu rasa tidak selesa atau membuatkan kamu berwajah duka.

Salam. Aku hulur. Aku ucapkan. Pada kamu. Pada semua.

Moga Ramadhan yang dilalui meningkatkan keimanan. Seperti yang dicari. Moga Aidilfitri yang diraikan menjadikan kita hamba-Nya yang lebih bersyukur atas nikmat dan kurniaan.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.

Pada semua yang berjasa bertugas di hari raya.
Pada pemandu-pemandu bas ekspress yang berhemah.
Pada para wartawan yang sibuk mengejar berita.
Pada yang menjaga keamanan negara.
Pada gadis dan jejaka tol yang berwajah manis.
Pada angkasawan negara yang merantau berhari raya di ruang angkasa.
Pada peniaga pasar Ramadhan yang melelong barangan mereka di hari terakhir puasa.
Pada para bloggers yang menjadikan blog satu fenomena.
Pada kamu.
Pada semua.

Maaf. Itu yang terakhir. Kata yang ingin diungkapkan. Pada kamu. Pada semua.

Isnin, Oktober 08, 2007

Bonus

Berita Gembira

Hari nie saper2 yang keje gomen dah dapat gaji bulan Oktober. Advance giler.

Berita Sedih

Gosip dan khabar2 angin yang mengatakan saper2 yang keje gomen akan dapat bonus raya pada hari ini adalah palsu.

Pengajaran.

Jangan percaya pada gosip @ khabar angin.

Jumaat, Oktober 05, 2007

Terawih

“Mat, hang budak sekolah agama kan” tanya En Bos.

Aku cuma anggukkan kepala. Terasa macam ada sesuatu jer di sebalik pertanyaan itu.

"Nanti hang jadi bilal solat terawih kat opis boleh”

"Err...err..err..”. Dalam banyak2 budak kat opis, aku yang jenis kepala ngarut2 nie disuruhnya. Aku mula dok terpikir alasan2 yang boleh melepaskan aku dari tanggungjawab berat tu. Selalu jadi tukang sahut kat belakang jer. Alih2 nak kena jadi 'tekong' pulak. Aku kalau bab2 nak kene 'enterframe' lebih2 nie susah sikit. Tahap kegelabahan dan kekalutan aku akan meningkat. Kira kalau macam artis, teknik penguasaan pentas dan beraksi di khalayak ramai aku memang 'failed' laa...

Ketika aku terkumat-kamit nak berdolak dalih, cepat jer En Bos potong, "Ishh.. hang anak ustaz takkan tak leh kot”

Mana leh samakan ayah ngan anak. Kalau bapanya borek belum tentu anaknya rintik.

Selasa, Oktober 02, 2007

Berbuka

Mamat 1 : Mat, jom buka kat umah aku.

Mamat 2 : Orait. Kul baper ?

Mamat 1 : Err... kita buka kul 10 lah...

Mamat 1&2 : Hahhaha...

Dah ajak bukak poser mesti time Maghrib la kan. Tapi macam dah terbiasa plak, kalau ada orang yang mengajak, yang dipelawa mesti nak tanya kul berapa majlisnya. Kadang2 sengal juga aku nie..eh bukan, maksud aku mamat 2 tu la..

Jumaat, September 28, 2007

Masak

Bulan puasa. Kat tivi. Banyak rancangan masakan. Macam2 resepi ada. Masakan barat. Timur. Ala kampung. Biskut raya. Kek. Semua ada.

Dan yang mengajarnya pula adalah chef2 hebat. Yang memasak di hotel2 terkemuka di ibu kota. Ada juga artis2 yang kita suka, tokoh2 pemimpin dan orang2 penting yang turut serta jadi tukang masak atau dok kat tepi chef tu ajer.

Bahan2 masakan semua dah tersedia. Semuanya perlu disukat seperti yang tertulis kat resepi. Agar tak lari rasanya. Kalau dalam resepi tu kata 3 biji bawang merah, maka 3 bijilah yang dimasukkan dalam kuali jenama mahal tu.

Tapi, mak lagi hebat. Sambil2 goreng sempat lagi sediakan bahan. Kadang2 main campak2 jer, tak yah sukat2 macam chef kat dalam tivi tu dok buat. Rasa memang sedap.

Aku cuba tiru. Memang pernah terlintas cita-cita nak jadi chef. Ikut skil mak. Main campak2 (ke mana tumpah kuah kalau tak ke nasi kan). Aku pecahkan 2 biji telur. Masukkan sayur sikit. Ikan bilis sikit. Dah siap.

Housemate rumah bujang aku puji. Wow sedap la megi yang hang masak nie.

Selasa, September 25, 2007

Sahur

Selalunya, aku jarang menolak kalau diajak makan. Cuma sahur aku sedikit culas. Nak kene gerak 2-3 kali baru sedia buka mata jamah makanan. Duduk ngan keluarga, aku tak perlu susah2 nak sediakan hidangan. Lauk pauk berbuka semalam dah cukup untuk kami semua. Cuma perlu dipanaskan. Kadang2, mak masak gak sikit. Nak bangkitkan selera di awal pagi.

Teringat masa bujang2. Masa masih bergelar siswa. Kami sahur dah dekat nak Subuh. Bukan selalu pun. Jarang2. Itupun sekadar kurma dan air suam. Maner sempat nak masak. Masing2 sayangkan bantal dan tilam.

Kawan aku, Ujang antara yang rajin bangun sahur. Itupun sebab awek kejutkan. Kamu bayangkan, tiap2 hari sepanjang bulan puasa awek tu akan telefon rumah sewa kami untuk kejutkan Ujang.

Entah camner suatu hari tu, aku tertidur kat depan. Bila telefon berbunyi, aku jawab dalam keadaan mamai dan mata yang terpejam.

"Nak cakap ngan Ujang" kata suara di hujung sana. Lembut dan halus jer.

"Ujang dah tidur la. Telefon balik esok la." kata mamat yang mamai dan mata terpejam tu. Aku ingat masa tu jam baru kul 12 tgh malam ker. Biaselah, kadang2 pasangan bercinta nie bergayut tengah2 malam. Aku yang malas nak panggilkan Ujanag kerna sayangkan tidur selamber je cakap Ujang dah tidur.

"Eh, tolong kejutkan dia bangun sahur yer" pinta awek tu bila sedar aku dah mula nak letakkan telefon.

Dan hari itu. Kami satu rumah tak bangun sahur.

Sabtu, September 22, 2007

Gelang

Pagi tadi, awal2 Man Rock dah tipon aku. Mintak tolong hantarkan ke stesen komuter. Nak ke Seremban katanya. Ok. Aku minta lima minit. Nak bersiap (mandi).

Amik Man Rock kat rumahnya Dah lama gak tak lepak ngan dia. Dia masih sama. Dressing jeans lusuh ngan t-shirt hitam. Rambut panjang diikat kemas ke belakang. Tak lupa topi pancing dia.

Sambil2 drive dan borak, baru aku terperasan. Man dah tak pakai rantai. Juga gelang2 kat tangan. Mungkin sebab bulan puasa kot.

"Apehal ko tak pakai gelang2 magnet ko ini hari" soal aku.

"Huh, aku dah pakai sebelum keluar rumah tadi. Tapi ader ke anak jiran sebelah umah tu cakap itu gelang pesalah seksual. Aku ingat dah tak nak pakai gelang la. Tak nak masyarakat label aku jahat"


Hahha. aku gelak dengar alasan Man. Bagus jugak. Kamu lelaki apa nak berrantai gelang tangan pulak. Kasi jer la pompuan bergaya ngan benda tu semua.

Salam Takziah untuk keluarga adik Nurin.

Ini cadangan pasal gelang tangan yang buatkan si Man berenti pakai gelang.

Rabu, September 19, 2007

Ramadhan

Jangan begitu. Jangan pandang sampai kami segan. Jangan pandang seolah2 satu keajaiban bila kami bertandang. Jangan pandang sampai kami kembali menghilang.

Benar. Kami bukan pengunjung yang setia. Benar. Wajah kami jarang2 kamu jumpa. Kami akui kami alpa. Leka dengan kesibukan dunia. Namun, kami masih jalankan amanah yang dipertanggungjawabkan, tunaikan perintah yang diwajibkan kerna kami yakin dan percaya kami adalah hamba-Nya. Cuma kami tidak kunjungi tempat ini sekerapnya seperti kamu semua. Hanya seminggu sekali baru bersua muka.

Maaflah jika tempat letak kereta kegemaran kamu itu terpaksa dikongsi. Biarlah kali ini kamu terpaksa bersesak2 antara kami. Dalam saf-saf yang rapat dan panjanag. Tidakkah kamu turut gembira melihat ramainya orang datang bertandang. Bersama memakmurkan. Bersama memeriahkan.

Ramadhan ini untuk semua. Yang sedia dan ingin mencari kebahgiaan. Mencari rahmat dan keberkatan. Mencari sinar membersihkan diri yang berdaki dek dosa dan kesilapan silam.


Kami juga ingin turut serta. Menadah tangan memohon keampunan. Moga diberikan peluang ditunjukkan jalan. Dipermudahkan perhitungan. Bila hari itu datang. Sesungguhnya Ramadhan ini telah mengetuk pintu hati kami.

Nota:

Indahnya Ramadhan dapat dilihat dengan kemeriahan dan kemakmuran masjid2 dan surau2 dipenuhi dengan ahli kariah berdekatan. Bacaan Al-Quran, selawat dan takbir berselang seli sepanjang malam. Jangan sesekali menidakkan kedatangan mereka ke masjid pada bulan penuh kemuliaan ini. Moga semangat beribadah dalam Ramadhan dapat diteruskan dalam bulan2 seterusnya.

Khamis, September 13, 2007

Kembali

Salam. Bertemu lagi. Aku dan kamu. Kita. Di ruangan ini.

Sukar juga untuk lelapkan mata. Dalam lena yang seketika. Benar jiwa ini letih. Benar hati ini sedih. Tapi sukar untuk dipejamkan mata. Dan penghujung September terlalu lama. Untuk ditunggu. Untuk dibiarkan salam2 dari yang bertandang tidak dijawab, tidak berbalas.

Walaupun sudah terjaga, badan masih lemah untuk aku terus berdiri. Apatah lagi melompat dan berlari. Maka digolek2an sahaja badan ke kiri dan kanan. Melihat persekitaran. Yang kelam dan suram.

1 Ramadhan muncul lagi. Dengan sinar dan cahaya berseri-seri. Teringat akan Ramadhan 2 tahun yang lalu. Itulah kali pertama blog liepan ini muncul membawa genderang. Bukan untuk berperang tapi mencanangkan yang terbuku di fikiran. Dan sekali lagi, Ramadhan jadi permulaan. Pada semangat baru yang terkumpul dari sisa-sisa semalam.

Lincah tarinya mungkin berkurangan. Tapi aku masih menaruh harapan. Antara sikap malas dan angan2. Ilham yang pergi dan datang. Kadang cetek macam air parit, kadang laju dan dalam macam sungai di hulu kampung.

Salam. Selamat Datang Ramadhan penuh kemulian. Selamat Menjalani Ibadah Puasa pada kawan2.

Selasa, Ogos 28, 2007

Please, Wake Me Up When September Ends

Saya merdeka kerana………. (macam2 boleh diisi kat garisan dot dot nie. Lain orang lain ragam. Lain kepala lain pendapatnya). Sebab tu la banyak peraduan kemerdekaan nie guna soalan tagline nie.

Aku? Mungkin ditulis begini.. saya merdeka kerana saya punyai blog sendiri. Punyai ruangan catatan dan ilusi peribadi tentang apa yang berlaku di persekitaran. Pandangan dan terjemahan peristiwa dari kaca mata sendiri yang kadang kala menjengkelkan atau menakutkan atau bisa membuat yang membaca terhibur atau seringkala kabur dengan apa yang cuba disampaikan. Cuba menegur tapi lembut bunyinya, cuba menawan hati tapi kasar pula bahasanya.

Dan orang2 'atas' di luar sana yang sering memperlekehkan mamat dan minah yang cuba menjadi penulis maya ini membuatkan aku kembali terfikir. Merdekakah aku dengan punyai blog sendiri. Merdekakah aku jika tulisan di kanvas hitam ini dilabelkan sampah.

Lantaran itu aku merasa letih. Pada mereka yang sering meragui. Jauh sekali cuba mempercayai. Atau benar kata mereka, bloggers dibuai mimpi kononnya blog mereka diminati, sering mencapai hits dan rating semakin melonjak tinggi kian hari.

Masa akan beredar. Entah berapa lama trend berblog ini akan jadi sebahagian dari rutin kehidupan. Aku, kau jua mereka. Akhir2 ini aku juga seperti terkena sumpahan mereka yang menidakkan sumbangan dunia blog ini. Tulisan aku lesu dan kaku. Otak sering beku. Tanpa ilmu dan ceritera baru.

Maka, aku rasa perlu. Merdekakan diri ini seketika. Dari tugasan mengarap coretan menconteng lakaran pada blog yang semakin hilang arah tujuan. Aku mahu rehat. Aku mahu tidur. Tak lama. Sebentar. Seketika saja. Bila mentari esok kembali terang, aku kembali semula dengan cerita2 dari mimpi malam yang panjang. Cuma, jika lenaku terlalu panjang, tolonglah kejutkan aku. Please Wake Me Up When September Ends.

Salam Merdeka. Pada yang mengerti. Pada yang memahami.

Khamis, Ogos 23, 2007

Orang Utan

Orang satu: Jom gi Sepilok

Orang dua : Sepilok... Ada apa

Orang satu: Tengok orang utan laa..

Orang dua : Apa susah2.Tengok kat cermin je laa

Orang satu: Cermin???" (Blur seketika)

Orang satu: Cheh... hampeh tul..

Nota: Aku pernah pergi tengok orang utan kat Sarawak. Dah lupa nama tempatnya. Betul cakap mak. Aku kena makan kismis banyak2. Tapi aku tak lupa betapa frustnya bila sampai kat tempat orang utan tu, langsung tak der orang utan. Feeding time pun tak nampak orang utan tu. Patutnya diorang kene bagitau visitors waktu yg sesuai utk melawat. Aku lebih kesiankan tengok pelancong luar yang turut tertipu. Jauh tu nak kene travel. Alih2 dapat tengok gambar jer.

Rabu, Ogos 15, 2007

Lagi pasal kahwin

Lepas Z jemput aku ke kenduri kahwinnya secara 'explorace instruction', Pjal tak kurang hebatnya. Memanfaatkan segala teknologi sedia ada. Disebabkan aku penah bertandang ke rumahnya, maka dia jemput aku via sms.


Aku. Juga via sms. Balas. "Kasi pelan rumah ngko. Memang dah penah pegi. Tapi ingat2 lupa. Mana tau dah ader perubahan jalan"


Pjal. Via sms. "Dah email"


Aku fikir dia email kad kahwinnya dalam bentuk soft copy. Cam orang buat selalu tu.


Bila bukak email dia. Cheh. Ada ker dia kasi peta rumah guna Google Earth.


* Teringat akan kerja rumah yg penah diberikan Cikgu Si Kenit Amin Bakish. Tetntang peta rumah ikut Google Earth. Berminggu yang lalu. Maaf cikgu. Saya sibuk akhir2 ini. Harap2 cikgu tak denda saya, rotan saya, arah saya berendam dalam air kolam yang kotor. Sebabnya saya generasi baru cikgu. Jgnkan nak ketuk dengan hujung pembaris kuning panjang itu, jentik telinga pun akan saya amukkan pada satu dunia. Dan ibu bapa saya akan datang ke sekolah cikgu bersama media dan orang2 di pejabat Kementerian. Saya perlu dimanja, ditatang bagai minyak yang penuh. Saya bukan macam zaman cikgu2 yang dulu. Yang cukup menghormati profession cikgu.


Ini dia kerja rumah yang cikgu berikan dulu. Berikan bintang2 banyak2 ya cikgu. Nak tunjuk pada emak. Anaknya rajin dan pintar.

Isnin, Ogos 13, 2007

Cuti & kahwin

Tak lama lagi, perjalanan kamu ke tempat kerja sedikit tenang. Lancar dan aman. Tak seperti selalu. Yang sering terkejar2. Hinggakan terpaksa langgar lampu merah agar kad perakam waktu kamu tidak merah. Dan kamu pasti merindui saat itu. Bila bermulanya cuti sekolah.


Dan limpahan jemputan kenduri perkahwinan seakan2 meraikan kehadiran cuti persekolahan. Tapi di kota besar ini, tak perlu kau tunggu cuti persekolahan jika ingin menjamu nasi minyak sepinggan. Hujung2 minggu pasti ada rumah dihias indah. Paluan kompang di sana sini. Bunga manggar di persimpangan jalan.


Aku rasa. Tahun nie ramai klik aku berkahwin. Tak macam tahun lepas. Sedikit sunyi. Ada dengar. Tapi jarang2. Tahun nie kembali meriah. 2007 cam berlumba-lumba pulak. Lepas sorang2.

Terbaru si "Z". Mamat nie aku kira cukup ramai peminat masa kat U dulu. Baru first year dah ader awek tumpang motor pegi balik kuliah. Tapi aku tak jealous pun. Dian anik motor awek sorang. Aku naik bas lagi ramai awek daa...

Aku dengar2 dia kahwin weekend lepas. Tak der aper nak buat aku call Z. Cakap nak datang makan nasi minyak biarpun x der kad jemputan. Z memang hepi dengar suara aku (aku rasa la..nada dia gembira jer... atau gembira sbb nak kahwin kot). Katanya memang nak menjemput tapi dah lost contact. So, Z kasi map via phone jer.

Z: Ko dari Sg Buloh kan. haa..ko ikut MRR2 pastu.....bala..bla... simpang amik kanan...bla..bla..Shell kat sebelah kiri... bas stop lepas belok kanan...bla..bla...

Entah kenapa aku rasa cam masuk explorace jer dengar instruction dari Z nie...

Tahniah untuk Sanchai yang kahwin hari Sabtu. Khabarnya nak sambung study kat London. Huiyyoo..

Neezie: Apsal tak ingatkan aku nak buang tanda harga Giant tu. Agak2 Sanchai perasan tak.

Jumaat, Ogos 10, 2007

Bas

Dulu. Masa kerja kat Penang, aku selalu balik ke KL naik bas. Sekali sekala jer pandu kereta. Senang. Jimat. Lagipun aku rasa aku perlu sokong kempen guna kenderaan awam. Walaupun kadang2 atau selalnya bas lambat, tak seperti yang dijadualkan. Tak pelik pun, kapal terbang pun leh delay.

Selalunya balik malam. Asal naik bas jer, letak kepala terus lelap. Sedar2 dah sampai kat KL. Mungkin ada orang susah sikit nak tidur dalam bas. Tapi hikmat meringankan badan aku dah capai tahap tertinggi. Belum pun bas cross jambatan, aku dah lena diulit intan.

Cuma kadang2 hikmat aku kurang menjadi tatkala ada awek2 dok berdekatan. Aku akan terus tersenyum sepanjang perjalanan. Tapi tak lama juga. Pasti akan tertidur jua setelah beberapa ketika. Setelah otak dapat menggambarkan dengan jelas wajah awek2 yang manis dan periang. Dan secara tiba2 bermimpi aku belanja awek tu makan kat hentian rehat.

Suatu hari. Tak seperti selalu. Aku pulang tengah hari Sabtu. Ada kerja opis yang perlu diselesaikan terlebih dahulu. Maka, berkejar2an aku dan housemate selepas bunyi loceng tamat kerja tengah hari nak naik bas pulang ke KL.

Naik2 bas, dua2 terus tidur. Letih. Yang teramat. Hampir sejam kemudian, kami kembali tersedar. Dalam keadaan mamai dan terpinga2, kami cuba memikirkan kat hentian rehat mana bas nie berenti. Tak macam biasa. Hentian nie banayak tiang2 konkrit.

"Ciss..." Setelah membulatkan mata, baru sedar kami masih kat hentian bas. Rupamnya bas tu lum gerak lagi. Penumpang masih lum penuh lagi. Baru 1/3. Tokey bas tu nak kaya cepat gamaknya. Selagi tak penuh tak nak jalan. Tanpa memikirkan janji pada kami penumpang2 setia. Janji yang dimeteri pada tiket yang kami beli.

* Nampaknya hikmat meringan badan aku semakin maju.
* Teringat aku kisah tunggu bas yang dulu. Leh ulangkaji. Di sini dan sini.

Rabu, Ogos 08, 2007

Menebas

Mereka bukanlah orang2 kaya. Jika kamu ukur dari segi harta. Dari segi budi bahasa, kamu jualah yang tentukan tarafnya. Kerna bagi mereka, ia hanyalah cita2. Angan2 yang cuba dijadikan kenyataan. Mimpi jadi bos. Yang kaya dan punya kuasa. Konon2nya.

Maka, mereka sepakat. Harap2 ada manfaat. Langkah di atur. Perlahan2. Bertatih. Dan cuba berjalan. Berdengkit2.

Dan sejarah tercipta. Impian terlaksana. Di Kuala Kubu Baru Golf Course jadi saksinya. Anak2 muda (pada jiwanya) mencuba.

Dah. Ini bukan entri romantik. Walau kisah ini berlaku dalam suasana cukup aman di padang hijau yang mendamaikan. Hakikatnya 4 sahabat, tokey Dunlop, tokey Wilson, tokey Akagi dan tokey Precision dah pun ke sini.

Ada yang tanya. Kenapa Kuala Kubu Baru ?

Kami jawab. Murah. Sesuai dengan bajet kami yang terhad.


Kami puas walau penat. Puas dapat naik kete kechik keliling padang. Penat cari bola yang asyik hilang.

Sayangnya tak sempat nak dihabiskan permainan. Kene berhenti lebih awal. Nak solat. nak makan. Hujan turun dengan lebat.


* Soalan kuiz, agak2 maner satu milik En Kemat.

Rabu, Ogos 01, 2007

Kentut

Entah dari mana bau busuk itu datang. Tiba2 menusuk hidung. Pekat. Disusuli pula dengan pertanyaan.

"Kau kentut ker Mat"

"Eh.. tak lah" aku nafikan. Sekerasnya. Setidaknya.

"OOoo... kentut aku ler tu. Busuk jugak kentut aku rupanya"

Ciss.. hampeh tul. Sempat gak dia buat lawak dalam keadaan serba tak selesa ni.
Tak salahkan Man. Dia sedang bercinta. Dalam hidupnya ketika ini. Segalanya indah. Segalanya wangi.

Isnin, Julai 30, 2007

Bola Yang Disepak

Keupayaan Iraq mengungguli saingan Piala Asia seakan satu ejakan buat kita. Benarlah kedudukan rankingnya yang lebih tinggi dari skuad Harimau ini. Dan pemain2nya yang sudah berkelana dan merasai bermain di negeri asing. Namun, bukankah kita sudah merdeka hampir 50 tahun lamanya sedangkan mereka masih bertuankan Amerika Syarikat di bumi kelahiran sendiri.

Entah di mana silapnya. Pada acuan atau tangan yang membancuhnya. Di kampung sendiri, kita dipermainkan. Di gelanggang sendiri kita diperbudakkan. Kegemilangan silam seakan hilang. Harimau Malaya bukan lagi saingan. Ngaumannya sudah tidak menggerunkan tatkala kukunya tidak cukup tajam dan kuat untuk mencengkam.

Ada yang berputus asa. Terus melupakan saja. Katanya kita tak akan lagi kembali seperti dulu. Dan biarlah kita terus begini. Memalukan dan dimalukan.

Tunggu. Jangan diturunkan panji2 itu. Biarpun ia hampir rebah. Tapi kita masih boleh papah. Jangan dihentikan paluan gendang itu. Biarpun kini cuma mengalun perlahan. Dalam keperitan ada kekuatan. Dalam kegagalan ada kejayaan. Di celah kesempitan akan terbuka jalan.

Kalau pucuk di atas sudah bengkok. Mengapa tak dicantas pada umbinya. Tak ditegakkan pada perdunya. Tak dikuatkan akar tunjangnya. Atau kamu boleh saja semai benih yang baru. Jika kesabaran itu ada. Untuk kamu tuai hasilnya.
Lihatlah ke dalam diri. Mengapa sukan bola sepak tidak mendapat tempat di hati. Lupakah pada kisah hidupmu yang lalu. Bertahun yang lalu. Tika permainan bola sepak cukup kamu sanjung. Itulah permainan kamu bersama rakan di sebelah petang. Berlari2 atas batas sawah berkaki ayam. Hingga lewat Maghrib baru pulang. Dan ibu menanti dengan rotan sebatang. Kamu tak pedulikan semua itu. Dan jika ada perlawanan antara sekolah, antara kampung juga daerah, berpusu2 kamu ke padang. Biar tak kenal siapa kawan, siapa lawan, kamu tetap sanggup duduk menyaksikan.

Kini, siapa peduli jika ada perlawanan bola biar padang cuma sebelah rumah. Keluar pagi balik petang. Minat kamu sudah hilang. Pada sukan yang menjalinkan hubungan dengan teman satu taman, satu kampung, teman sepermainan.

Lalu, bila tika kamu kalah, kamu menyerah. Kamu tidak ingin cuba bangkit dari tersepit. Biarlah. Kata hati. Ini bukan sukan kita. Ini bukan dunia kita. Biarlah. Biarlah si Luncai terjun dengan labu2nya.

Benar kita kalah. Tapi jangan dibuangkan mimpi. Mimpi untuk menjadi juara. Suatu hari nanti. Mari. Lontarkan keinginan kita untuk melihat Harimau Malaya kembali di persada dunia. Dengarkan pada mereka tentang cita2 kita.

Ada yang perlu berubah. Ada yang perlu turun. Ada yang perlu naik. Ada yang perlu maju. Ada yang perlu ditinggalkan. Lakukan. Apa saja. Agar kita kembali berjaya. Agar kita mampu kembali menyepak bola. Dan tidak lagi membiarkan maruah ini disepak mereka.

Nota:
Seminggu yang lalu, aku cukup marah. Dengan tewasnya skuad bola negara begitu mudah. Tapi aku sedar, marah aku tak kan menjadikan skuad bola kembali gah.

Jumaat, Julai 27, 2007

Usah Kau Menangis Lagi

Sayangku
Usah kau menangis lagi
Aku kan setia menanti
Kepulanganmu di sisi

Sayangku
Usah kau menangis lagi
Takkan dimungkiri janji
Kerna namamu terpahat di hati
Bergetar dalam nadi

Sayangku
Usah kau menangis lagi
Kerna rindu ini takkkan jemu
Membakar cinta menagih rindu
Pada 2 jiwa yang bersatu
Menjadi satu

Sayangku
Simpanlah air mata itu
Kerana Ramadhan kan menyusul nanti
Munajat kita pada-Nya lagi
Moga terus diberkati
Dilimpahi rezeki
Hidup dan mati
Iman kekal di hati

Khamis, Julai 26, 2007

Sehari Selepas Gaji

Pagi2 ramai dah berdiri. Beratur dengan penuh disiplin. Tak macam masa nak naik bas atau lrt. Yang selalu berebut2. Tiada yang cuba nak potong barisan. Tak macam kat tol. Kete besar pun terhegeh2 nak potong barisan kat line tunai. Sehari dua nie, mesin ATM tu kerap benar dikunjungi. Mudah. Bak kata anak jiran aku, tekan2 jer dapat duit.

Selera juga seakan bertambah. Dulu nasi lemak kosong. Kini ada ayam kampung dan sambal sotong. Itu baru minum pagi. Tengah hari hentam nasi berayani. Malam2 ngadap kentaki.

Itu mereka. Kami masih sama. Duduk di kedai kopi sambil bercerita tentang mimpi. Mimpi jadi bos. Bos yang hebat yang kaya.

"Nak jadi bos, kene rajin berkerja. Bukan minum kopi sajer. Jom sambung kerja."

"Mamak!! Kira" jerit kami.
Dan masing2 keluar not RM50 untuk harga secawan kopi. Berebut2 duit dihulurkan kepada mamak kedai. Masing2 nak berbudi pekerti. Nak belanja minum pagi. Tengok. Sapa kata orang Malaysia tak pemurah. Nak belanja pun siap berebut lagi.

Pesan tok:
Awal2 gaji, jangan lupa bayar hutang. Hutang kete, hutang rumah, hutang kad plastik, hutang kawan, hutang pinjaman pelajaran.

Selasa, Julai 24, 2007

Sehari Sebelum Gaji

Pagi2 dah nampak mamat nie. Sorang2 jer. Beratur kat depan dinding. Yang akan keluar duit bila dicucuk ngan kad plastik.

"Dude, gaji esok baru masuk daa.."

"Oh.. tahu. Nie nak abiskan gaji bulan lepas. Senang cikit nak kira berapa kenaikan sebenar gaji baru"

Aku pun ikut sama. Beratur kat depan dinding. Yang akan keluar duit bila dicucuk ngan kad plastik. Kad dalam dompet yang ader cuma resit tol, kad biru yang ada muka mamat hensem, kad nak bawak kete, kad bank, kad hutang ngan duit kertas seringgit edisi lamer. Hajatnya nak dikeluarkan sedikit duit not2 merah. Lepas alas perut di pagi hari dan juga makan tengah hari. Makan malam leh balun nasi kat rumah jer.

Dinding tempat orang dok selalu beratur awal bulan tu ada tertulis

' Hanya wang dalam gandaan RM50 jer leh dikeluarkan'

Cheh.. dinding nie dah macam peniaga kedai di pagi hari. Yang muka selalu masam bila kau hulur not besar. Pagi2 tak pernah ader duit kechik.

Isnin, Julai 23, 2007

Puasa & Raya


Hari nie baru 8 Rejab. Ramai dah sibuk citer pasal raya. Tentang persiapan raya. Tentang baju. Tentang kuih muih. Tentang destinasi kampung yang dituju. Ada yang baru nak mula mencari dan tercari. Ada yang semua dah bersedia.

Hari nie baru 8 Rejab. Aku tak nak bercakap tentang hari raya. Cuma nak ingatkan sajer. Pada mereka. Juga diri sendiri.
Dah abis ganti puasa?

Khamis, Julai 19, 2007

Kering

Laju
Macam air
Mengalir
Tanpa henti
Tanpa disedari

Sehinggalah
Pada tika ia semakin susut
Sedikit demi sedikit
Dulu bukit kini busut

"Kering"
Kata anak2 muda itu
Bila ditanya tentang isi dalam dompet
Jawapan dipenghujung bulan
Bersama wajah yang masam

Akhir2 ini
Perbelanjaan melebihi pendapatan
Gara2 terpukau dengan hebahan
Paluan awal berita kegembiraan
Kenaikana gaji 3 bulan yang lalu

Dan Melayu itu mudah lupa
Alpa, leka dan suka bergaya
Kononnya diri sedikit kaya
Membayangkan durian runtuh depan mata

3 bulan dulu cuma perkhabarannya
Hakikatnya 'durian' masih di pangkal dahan
Menanti gugur penghujung bulan

Alahai..

"Mamak... kasi teh o suam satu. ..kurang manis aaaa..."

"Manis saja ka mau kurang, lagi tak mau ..."

"Hah.. kalau boleh. .. itu harga pun kasi kurang jugak laa..."


Ucapan tahniah untuk Anuar Hasin yang menjadi juara Akademi Al-Quran musim kedua. Dan juga pasangan adik beradik di tempat kedua dan ketiga. Pasti sejuk perut ibu yang mengandungkan mereka.

Selasa, Julai 17, 2007

Jadi Bos

"Kita mesti jadi bos" kata aku. Memulakan perbualan pagi di kedai mamak. Sambil mencicip teh tarik dari gelas kaca itu. Dan serentak yang lain semua bersetuju. Tak ramai. Kami berempat saja. Macam three musketeers. Eh itu baru tiga. Four musketeers.

Bukan sekali pendapat itu keluar. Impian tu dah lamer ada. Nak jadi ketua. Jadi bos. Sebab jadi bos nie best. Kononnya. Tapi kami terlupa tanggungjawab yang datang bersama gelaran bos tu. Tapi kami tetap tak kisah. Kami bukan memberontak. Jauh sekali nak merampas kuasa. Kami cuma nak jadi bos. Itu jer. Salah ker. Macam ahli politik juga. Yang sibuk cari peluang nak naik ke atas. Nak jadi ketua. Tak dapat jadi pemimpin tua. Jadi ketua golongan orang2 muda. Jadi ketua kepada mereka yang baru cukup umur 18 tahun pun dah ok dah.

"Tapi macam maner". Salah seorang dari kami bertanya. "Nak jadi bos macam Sivaji The Bos tu ker". Seorang lagi bertanya. Yang dok minum di sebelah kirinya.


"Kita kena ubah gaya kita. Biar ada gaya bos. Gaya bos berjalan. Gaya bos cakap. Gaya bos memberikan arahan" salah seorang yang sedikit cerdik memberikan jawapan.

"Siapa idola kita. Sivaji The Bos tu ker" tanya lagi. Mamat yang minum di sebelah kiri tadi. "Huh. Itu semua dunia lakonan. Ini realiti walaupun impian kita cuma fantasi. Tu tengok bos aka tokey2 yang kaya raya tu. Kita tiru mereka".

Dan kami meneliti telatah bos2 kaya itu. Seperti kami. Mereka juga minum kopi. Cuma cawan mereka ada label Starbucks. Tipikal gaya bos/tokey kaya. Perut sedikit gendut. Dan bual berbicaranya tentang golf bukan pasal kegagalan pasukan bolasepak Malaysia kat Piala Asia.

"Mamak. Kasi tambah telur separuh masak 2 biji sama roti bakar 1 set." pinta seorang sahabat. Juga dari kalangan kami yang berempat tu. Katanya nak besarkan ukur lilit perut. Baru ada gaya bos.

Dan topik perbualan yang selalunya berkisar tentang Maya Karin, Siti Nurhaliza juga Altantuya itu juga berubah kepada dunia golf. Tentang set kelengkapan golf. Tentang driving range. Tentang permainan di green. Tentang teknik permainnanya. Sedikit saja. Apa yang kami tahula.

Resolusi di capai. Sepakat. Mulai hari ini kita kena belajar main golf.

"Mamak... kira" kata seorang dari kami. Aku ler tu.

"Ko tak nak bayarkan semua sekali ker. Jadi bos kene belanja makan semua orang" kata dia yang paling senyap antara kami.

"Aiseh.. kalau camtu kensel la jadi bos" kata aku. Yang cuma ada 3 helai duit seringgit dalam dompet pagi itu.


Sabtu, Julai 14, 2007

Lagu Hati

Sesekali mata tak dapat dipejamkan
Biar malam menghampiri pagi
Biar jam berbunyi 3 kali
Kerna hati ada kegusaran

Bertambah kerisauan
Sekejap timbul sekejap hilang
Biarkan dirimu keseorangan
Bersendirian di tanah asing tanpa teman

Bicara hati dari kejauhan
Mengungkap kata kasih dan sayang
Meluahkan rindu yang mendalam
Sayang tak dizahirkan dalam perbuatan

Cuba diminta hidup berdikari
Bukan bermaksud tak ambil peduli
Sering berpesan kuatkan hati
Bukan bermakna tak ingin mendekati

Kerna jalan yang dipilih bukan mudah
Ada lautan perlu direnangi
Ada lurah perlu dituruni
Ada gunung perlu didaki

Andai kamu cepat mengalah
Andai kamu mudah melatah
Takut tersadung kaki di akar
Takut terhantuk kepala di dahan rendah

Bersabarlah
Pada pengorbanan
Pada hikmah yang akan datang
Pada kebahgiaan hari mendatang

Sungguh banyak dugaan
Setinggi pengorbanan
Sungguh banyak harapan
Dalam doa yang dipanjatkan.

Biar jauh beribu batu
Hilang di mata di hati jangan
Biar jauh dipisah lautan
Takkan berpaling kasih darimu sayang.

Khamis, Julai 12, 2007

Keris

Melengkung lok semenanjung emas
Memburu matahari
Dengan matahati
Mata
Keris
Kun!
Aku teruja mendengar nama Datuk Syed Alwi sebagai pengarah kepada teater Keris nie. Nama yang aku kenali dari teater Alang Rentak Seribu. Datuk Syed Alwi antara kelompok mereka yang terawal cuba mementaskan teater di sini.
Dan malam tadi, Rabu malamnya, malam pembukaan pada satu lagi garapan dan sentuhan sihir ilmu seni teater DatukSyed Alwi aku berkesempatan menyaksikan. Menarik? Sudah tentu. Nama2 seperti Omar Abdullah, Zulkifli Zain, Namron, Zaibo, Zuhairi Ibrahim, Sabri Yunus sudah cukup untuk mendesak kehadiran kalian ke sini. Di Auditorium DBP.
Kisahnya bermula apabila ketua kampung bernama Waling Amri yang memperoleh batu dari cakerawala hampir sama dengan kelahiran anak perempuannya yang dinamakan Puteri. Dia kemudian membentuk batu itu menjadi sebilah keris untuk dikembarkan dengan anaknya. Keindahan dan kesaktian keris telah mengundang orang luar untuk bertemu ketua kampung bagi melihat kesaktian tersebut. Namun, keris yang menjadi lambang teras adat dan budaya Melayu dipertahankan dari dirampas oleh orang luar yang cuba mengambilnya secara kasar dan halus.
Yang menarik, cara penceritaan menggunakan 4 pelakon Zaibo, Sabri Yunus, Angeline Tan dan Jeganathan cukup bersahaja. Sindir mereka dalam ketawa. Nasihat mereka dalam nyanyian.
Jika ada kecacatan pada pementasan ini, dilihat pada penggunaan asap yang keterlaluan. Sehinggakan mengganggu penonton yang berada di barisan hadapan berdekatan pentas lakonan.
Bak kata Datuk Syed Alwi di awal persembahan, teater adalah pentas rekaan ilham karyawan, yang menggarap unsur dan sihir seni dengan kemodenan kelengkapan. Sekalipun dunia teater adalah lakonan, ia diceritakan berdasarkan pengalaman kehidupan yang sebenar, kejadian yang pernah terjadi yang mungkin akan berulang lagi.
Saksikanlah. Dipentaskan dari 11-15 Julai 2007. 8.30 malam.

Isnin, Julai 09, 2007

Maskara

Maskara? Awek Che'gu tanya aku sambil mata dibeliakkan. Sebab mula2 aku bagitau nak tengok teater malam tu atau sebenarnya dia sangsi akan akronim Maskara tu. Ada cam nama salah satu dari beribu barangan kosmetik kaum Hawa. Dan mungkin Awek Che'gu memikirkan akan ada ramai aweks-aweks kat aktiviti baca-dengar-tengok tu. Dan aku juga mengharapkan yang sama. Ramai aweks-aweks. Cuma angan2 dan harapan jer. Tapi sebenarnya aku teruja ngan nama Pyan Habib yg digembar-gemburkan akan mendeklamasikan puisinya malam tu, aku putuskan kami ke Rumah PENA. Aku kenali Pyanhabib menerusi puisi Bapaku Seorang YB. Puisi yang cukup menarik dan sinikal.
Ini kali pertama aku ke sini. Ooo.. macam nie rupanya orang baca puisi, baca cerita yang mereka tulis dari buku. Terasa macam berada di pentas seni dan sastera. Nampaknya dunia blog semakin berkembang. Mula2 orang tulis blog. Pastu catatan blog dibukukan jadi blook. Sekarang diaorang bacakan pulak apa yg ditulis kat buku tu. Lepas nie mungkin akan ada filem pertama yang diilhamkan dari catatan blog.
Ulasan tentang persembahan. Aku suka Esis dan Elmaaniq. Terutamanya kisah cacing tu. Esis leh jadi pelakon. Ada bakat. Kalau tak pelakon drama pelakon iklan. Iklan ubat nyamuk. Misalnya.
Alif the Magician juga hebat. Dia namapak ceria dan bersahaja. Dan Cik Daun, terima kasih kerna membantu menjayakan persembahan magik tu. Kehadiran kamu di atas pentas banyak membantu.
Paling best dan yang ditunggu. Pyanhabib. Aku kira dia dah sedikit berisi berbanding dalam filem Kembara Seniman Jalanan bersama M. Nasir dulu. Dan gayanya mendeklamasikan puisi cukup best. Pyan ceritakan sedikit tentang kehilangannya di dunia puisi nie. Mengungkap saat seniman jalanan mendapat pengiktirafan di Central Market dulu2.
Maskara 3 akan datang 040807. Tempat dan waktu yang sama. Datanglah.

Rabu, Julai 04, 2007

Kenduri Lagi

07.07.07 tarikh bertuah. Mungkin. Tapi aku tak kata korang sepatutnya pergi membeli nombor ekor pada tarikh tu. Juga pada tarikh2 lain. Namun 07.07.07 tetap tarikh bertuah. Rasanya. Sebab ramai pilih nak tamatkan zaman bujang, zaman duda, zaman beristeri satu pada tarikh nie. Aku juga bertuah. Tak. Aku bukan nak kahwin lagi. Tapi aku dapat banyak jemputan ke majlis kenduri kahwin pada tarikh nie. Kira bertuah la tu kan.

Sekarang bukan sesuatu yang menghairankan. Dalam satu hari ada 2-3 jemputan. Tu belum kira yang kat kampung. Berbulan yang lalu dah dikhabarkan anak ketua kampung kamu nak menikah. Tapi kamu tetap tak pulang atas alasan sibuk bekerja di kota atau sebenarnya menyimpan rasa kesal di hati gagal menyunting anak dara ketua kampung tu. Silapnya, bapaknya suruh kamu masuk Akademi Al-Quran, tapi kamu pergi hantar borang ujibakat Akademi Fantasia.

Dah banyak sangat kenduri, bolehlah kamu buat pilihan. Yang maner nak pergi. Yang dekat atau yang jauh. Kawan opis, kawan sekolah, kawan kepada kawan atau sedara mara yang kamu pernah salam setahun sekali masa hari raya Aidilfitri.

Kepada yang tak dapat dihadiri majlis kendurinya, janganlah berkecil hati. Bukan kami tak sudi, bukan lauk yg dihidangkan tak menepati rasa perut dan rongga esofogus ini, cuma masa tak mengizinkan. Terutamanya kepada pengantin perempuan, maaf ek. Kepada pengantin lelaki.. sori la tak dapat datang, ko kawen sekali lagi la.. pasni sure aku pergi..hehhe



IklAN : 07/07/07... MASKARA anjuran bebudak SOLJAH kat umah PENA jam 8.45mlm.

Isnin, Julai 02, 2007

Makan Bola, Tidur Bola

Sabtu lepas Lepat sms aku. Tanya wat aper malam2 minggu nie. Dia kepingin menyaksikan pementasan teater.

Aku. Via sms. Bagitau nak lepak umah jer. Letih. Siangnya dah memanjat Gunung Nuang. Aku bagi alasan nak tengok bola.

Lepat. Via sms. " Eh.. maner ada bola malam2 minggu nie. EPL dah lama abis. Copa Amerika awal pagi"

Aku. Via sms. " Dude, kat Malaysia pun orang main bola gak. Malam nie final piala FA. Kedah vs Perlis"

Lepat. Via sms. Keesokan paginya. "Tahniah. Kedah menang PIala FA."

Jumaat, Jun 29, 2007

Si Bongkok Tanjung Puteri

Aku tak berapa pasti, adakah kisah si Bongkok Tanjung Puteri sama dengan kisah the Huntch Back of Notre Dam. Si Bongkok Tanjung Puteri sebuah kisah purbawara yang mencetuskan pelbagai konflik berunsurkan kemahuan, cinta dan dendam.
Si Bongkok sebagaimana yang aku saksikan pada pementasan teater adalah seorang pahlawan yang menegakkan kebebasan; namun perjuangannya terpesong daripada undang2 agama, bangsa dan negara. Di Tanjung Puteri, namanya sahaja sudah digeruni. Bongkok menambahkan lagi masalah dan kesusahan yang ditanggung oleh penduduk Tanjung Puteri. Datuk Timur, pembesar Tanjung Puteri mencuba sedaya upaya untuk menghapuskan Si Bongkok.
Di samping kejahatan yang dilakukannya, si Bongkok menaruh perasaan terhadap Tanjung, anak kepada Datuk Timur. Tipikal untuk kisah Melayu lama, anak ketua kampung, pembesar mesti cantik2 kan. Akan tetapi, cintanya terhalang kerani hati Tanjung telah dimiliki oleh Panglima Putih, adik si Bongkok. Semangat perjuangan kebebasan dan cinta Si Bongkok cukup ikhlas dan suci pada matanya, pada jiwanya yang tak mahu dikongkong, diperintah derita jiwa, baginya harus bersuara mengata bertindak terang macam serigala bersifat gila selagi kuntum dan cita2 belum tercapai menghiburkan sukma. Salahnya si Bongkok membuang adat atas alasan kebebasan, membelakangkan agama atas nama perjuangan.
Ulasan:
Teater Si Bongkok Tanjung Puteri dipentaskan oleh Persatuan Warisan Seni (PEWARIS) Institut Perguruan Bahasa2 Antarabangsa. sempena Festival Teater KL 2007. Sayangnya, pementasannya sedikit mengecewakan. Pendukung2 watak utama gagal menyerlah. Mungkin gugup kerana mereka adalah kumpulan pertama dalam pertandingan ini.


Nota 1: Sedang berlangsung di Taman Budaya, Kuala Lumpur, Jalan H.S Lee, Festival teater Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan 2007.

Nota 2: Pementasan akan datang:-

  • 30/6 - Melati & Melur oleh Mekar Budaya Production
  • 7/7 - Tali oleh Teater Kelab Kilat TNB
  • 8/7 - Woyzek oleh Angkatan Karyawan Aktif KL.

Nota 3: Masuk adalah percuma.

Selasa, Jun 26, 2007

Mana Dia Nie

Hajatnya pagi Isnin tu aku nak ke opis awal. Aku dah bangun awal. Belum sempat alarm henpon tu bunyi aku dah terjaga. Mandi2. Solat Subuh. Dan bersedia nak ke opis.

"eh.. maner dia nie.. aku nak cepat gi opis nie"

Geram pulak rasanya. Cari2 tak jumpa. Atas meja solek dalam bilik, atas kabinet tv, kat bilik air pun tak der. Tengok bawah sofa depan tv pun tak der. (aku tido kat sofa depan tv jer.. macam zaman bujang dulu gak ler)...

Aku mengaku kalah. Pagi tu aku pergi kerja pakai contact lens jer..

Sebaik jer keluar dari bilik air selepas pakai contact lens tu, terus terpandang cermin mata atas lantai. Alahai...

Rabu, Jun 20, 2007

Berdua Lebih Baik

Ini bukan kali pertama aku join treasure hunt. Cuma ini kali pertama penyertaan secara berduet. Orang ketiga tidak muncul pada hari yang dijanjikan. Maka hanya En Kemat dan En Lan Rambai yang membawa panji2 kumpulan Gerila pada hari yang dijanjikan. Hari Webblog Semalaysia.
Kalau kalian ada mengikuti siri Prison Break, pasti kalian kagum akan kepintaran sang hero Scoffield yang awal2 dah standby kete kat luar penjara untuk larikan diri. Kami juga begitu. Awal2 pagi kami dah parking kete kat stesen monorel Titiwangsa. Dengan harapan, di penghujung sesi treasure hunt, kami tak perlu berlari2 anak ke Tmn Tasik Titiwangsa dari monorel atau terpaksa guna teksi KL yang caj harga tinggi untuk perjalanan dekat nie.
Dapat jer soklan treasure hunt, 2-3 kumpulan dah mula langkah panjang berlari2 ke CM. Kami masih bersenang lenang di Dataran Merdeka menelaah soklan2 yang diberikan. Betul gak kata Lan, soklan teka-teki elok dipikirkan awal2, kalau dah kat tengah2 permainanan treasure hunt, badan dah letih tentu susah nak dapt jawapan. Hasilnya kami berjaya menjawab 4 dari 5 soklan yang diberikan. Kami satunya yang dapat teka Pepsi Twist dengan tepat. Untuk soklan Zappel, Soljah buktikan mereka juga sehebat kami. Soklan bapa mengurat tu aku cuma terpikir jawapannya sejurus sebelum aku lelapkan mata malam harinya. Aiseehh.. dah abis treasure hunt baru leh pikir dengan waras...
Kat sektor pertama, di Pasar Seni kami banyak habiskan masa di sini. Terpegun dengan susun atur dan suasana CM yang baru nie. Dah lamer rasanya tak bertandang ke sini. Macam2 ada. Kami leka seketika.
Dari CM, kami bergegas naik LRT Putra ke Ampang Park. Kat sini, kami sedikit cuak. Tiba2 otak kami yang selalunya ligat semacam buntu melihat klu2 yang diberikan. Aku syak ini angkara terpandang gadis2 mungil dalam LRT tadi. Soklan2 berkaitan dunia artis adalah paling susah bagi kami. Mana lah kami tahu siapa suami kepada artis diva dan bekas tunang anak raja. Kami jarang menelaah Mangga, Hai mahupun Pancaindera. Kami tak tahupun Ina Naim bertunang dengan Suhaimi Inteam, Faizal AF4 dapat lesen memandu atau cerita tentang Ajai dan pro syarikat rakaman.
Kami tinggalkan seketika Ampang Park dan berlari2 anak ke Avenue K. Dan hari itu, baru aku tahu rupanya shopping complex kat tempat hentian Putra KLCC adalah Avenue K. Alahai...
Pengakhirannya, kami sampai di Taman Tasik Titiwangsa sejurus selepas pukul 2. Kumpulan2 lain dah ader. Cuma Soljah yang belum sampai. Ok lah tu. Matlamat utama kami bukan untuk menang treasure hunt pun, kami cuma nak kalahkan soljah. Menang dengan soljah umpama menang treasure hunt sebenarnya.
Untuk sesi potluck, aku cuma sediakan makanan bujang, air berkarbonat dan keropok. Sayangnya, aku tak sempat nak tunggu aktiviti fasa petang bermula. Aku kene berkejar2an ke Cheras pula. Nak makan nasi minyak.
Ini bukan kali pertama aku join treasure hunt. Cuma ini kali pertama penyertaan secara berduet. Orang ketiga tidak muncul pada hari yang dijanjikan. Maka hanya En Kemat dan En Lan Rambai yang membawa panji2 kumpulan Gerila pada hari yang dijanjikan. Hari Webblog Semalaysia. Tapi siapa sangka. Berdua Lebih Baik sebenarnya.
Keputusan penuh dan lain2 berita sila rujuk sini ek.

Ahad, Jun 17, 2007

Terkenang

Pepatah ada menyebut

Sayangkan anak tangan2kan

Sayangkan isteri tinggal2kan


Tapi kalau suami yang ditinggalkan..

Huhu..

Selamat bekerja buat Awek Che'Gu di Sandakan, Sabah. Moga pengorbanan dan ketabahan hati ini mengeratkan lagi ikatan kasih sayang dan kebahgiaan dalam kehidupan berumah tangga.

Rabu, Jun 13, 2007

Mitos

Dia berjaya mencuri tumpuan. Mata yang asalnya tertumpu pada aku terarah padanya. Dia, si kecil pemain kompang.

Bersungguh2 betul dia ketuk kompang tu. Kelepak kelepak kelepung kelepung. Kelepak kelepak kelepung kelepung. Wajah girangnya semasa mengetuk kompang mengalahkan girangnya sang pengantin.
Kononnya, dia telah disematkan dengan satu mitos, mereka yang bermain kompang di rumah pengantin akan dapat tempiasnya. Mereka pula akan jadi pengantin dalam masa yang terdekat. Mungkin itulah sebabnya si kecil ini bermain kompang dengan sepenuh hati. Dalam bayangan dan harapannya, dia akan jejak ke jinjang pelamin tak lama lagi.
Sama seperti aku ketika kecil2 dahulu yang sering dihebahkan kononnya siapa berkhatan awal, dia leh kahwin awal..
Terima kasih adik pemain kompang. Moga kamu akan jadi pengantin suatu hari nanti. Bila kamu dah dewasa nanti. Sabar ek...

Isnin, Jun 11, 2007

Kenduri Kahwin


Syukur. Segala yang dirancang telah diperkenankan oleh-Nya. Sehingga kini, aku masih tak pasti perasaan sebenar ketika ini. Perasaan sejak kali pertama berjabat tangan di atas bantal. Perasaan sejak bergelar seorang suami. Gembira, debar, suka, terharu silih bertandang. Yang pasti, aku terasa seperti orang yang baru. Bukan seperti dulu.


Walaupun tak seglamour perkahwinan Pak Lah dan Jeanne Abdullah, majlis yang diadakan cukup meriah. Penuh kenangan indah. Terciptanya sejarah. Buat Kemat dan Awek Che'gu. Yang sehingga kini masih malu2. Hehehe.


Terima kasih pada kawan2 yang datang. Jua yang berkirim salam pada teman minta disampaikan. Yang berbicara menerusi telefon, mengucapkan salam menerusi emel, ym dan ucapan tahniah di blog ini. Oh ya, pada yang menghantar sms juga. Terutamanya pada malam harinya. Terima kasih semua. Kerna sudi berkongsi peristiwa gembira ini bersama-sama.


Pagi itu, 02.06.07, aku terjaga awal dari biasa. Entahlah. Malamnya tidur aku seakan tak lena. Selepas solat Subuh, awal2 pagi aku dah siap berbaju melayu putih bersama songkok baldu hitam dan samping songket. Sedara mara dah mula mengusik2. Bukan tak sabar tapi aku berdebar2. Amat. Teramat sangat.


Sepanjang perjalanan, aku beristighfar banyak2. Moga dipermudahkan. Moga segalanya lancar dan teratur. Dan kami sampai tepat pada masanya. Seperti yang dijanjikan. Dan mata2 mula memandang2. Tercari2. Inilah rupanya akan gerangan. Raja sehari yg diperkatakan tetamu yang diundang.



Aku kira Tok Kadi bijak memainkan peranan. Mententeramkan perasaan. Mengurangkan debaran. Dan kelibat manis wajah Awek Che'gu menguatkan keyakinan. Sempat juga aku meninjau2 keluar, mencari kelibat rakan opis. Dan kehadiran mereka aku kira cukup melegakan. Pada saat aku mula berjabat tangan. Dengan bapa mertuaku untuk dimulakan akadnya. Pada lafaz yang kedua, Kemat dan Awek Che'gu sah bergelar suami isteri.


Sebaik sahaja selesai doa dan ikrar pengantin, dan bersalaman dengan keluarga dan tetamu yang datang, aku tinggalkan seketika suasana kegembiraan itu. Tunaikan solat sunat tanda kesyukuran. Dan berdoa agar rumahtangga yang baru didirikan berkekalan kebahgiaan.




Kami bertukar hantaran. 5 dibalas 7. Cincin disarungkan. Mas kahwin diberikan. Dan acara santapan terus dimulakan.


Keesokannya. Sekali lagi kami diraikan. Paluan kompang dan selawat pengantin sebelum acara makan2. Ada udang. Ikan. Kerabu perut, acar limau, ayam panggang, daging masak hitam, gulai kawah batang pisang. Aku cuma memandang. Menjamah sedikit agar tidak kelaparan menjelang petang.

Ramainya kawan2 yang datang membuatkan aku semakin riang. Member2 opis dan bos2 hadir memberikan sokongan. Sedikit terkilan, tak sempat nak disapa semua orang. Maaflah kalian.


Akhir kalam. Kemat dan Awek Che'gu dengan rasa rendah diri mengucapkan jutaan terima kasih pada semua.

Pada kaum keluarga saudara mara.
Pada jiran2.
Pada mereka2 yang bertungkus lumus, bergotong royong masak, membuat persiapan.
Pada kawan2 dan bos2.
Pada kawan2 Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.
Pada kawan2 Matrikulasi UKM, Kolej Negeri.
Pada kawan2 Fakuti Kejuruteraan UKM.
Pada kawan2 bloggers.
Pada kawan2 yang ditemui sepanjang aku menelurusi jalan kehidupan ini.
Pada semua yang telah menjayakan, memeriahkan dan mendoakan perkahwinan ini.


Terima kasih semua.














Jumaat, Mei 25, 2007

SMS

Mak berpesan, mengambil kata2 dan pantang larang orang dulu2
"seelok2nya kurangkan berjumpa dengan pasangan bila dah dekat time nak kahwin nie"

Hmm, mak mungkin lupa bakal menantunya seorang cikgu di Sabah. Dah 3 bulan kami tak berjumpa. Hanya berbalas sms sahaja. Kadang2 ada juga calling2.
Biasalah. SMS ketika perasaan sering dibuai rindu. Penuh kata2 berbunga. Jiwang karat. Manis. Tiada yang pahit walau sedikit. Betul kan. Alah, kamu pun pernah rasakannya. Soalan seperti "Awak sudah makan", terasa cukup menyenangkan. Perut lapar terus jadi kenyang.
Entah di mana datangnya ilham. Lagak tulisan cam sasterawan. Berkarya cam penyair handalan. Hati cair, jiwa runtun melihat ayat2 indah dan mengasyikkan. Terlalu asyik sehingga tak tersedar, kamu menghantar SMS ke orang yang lain. Sehinggalah abang SMS
"Woi, aper malam2 hantar SMS jiwang kat orang nie. Mabuk ker"
Aiseh. Camner leh tersilap hantar kat abang nie. Kantoi. Malu-malu.Heheh

Rabu, Mei 23, 2007

peTUA

Terima kasih. Pada semua. Kamu2. Yang mengucapkan tahniah. Untuk hari2 akan datang. Hari aku tamatkan zaman bujang.
Terima kasih jua. Pada semua. Kamu2. Yg sempat memberikan pelbagai peTUA, panduan, selok belok ilmu rumah tangga. Ilmu kamu aku kira cukup berguna. peTUA, yang kamu petik dari kata2 orang2 tua, pengalaman orang dahulu kala, cerita orang2 lama.
Macam2 peTUA yang ada. Ada yang mudah, ada yang payah. Banyak betul peTUA yang aku terima.
Tapi kebanyakan yang sudi berkongsi peTUA itu adalah anak2 muda. Mereka lebih arif nampaknya.

Khamis, Mei 17, 2007

Kelabu

Malam minggu. Kelihatan anak2 muda belia melepak di warung mamak. Kemat si nak teruna. Andak, aku kira masih teruna. Ucop juga sama. Cuma Lepat suami orang tu ikut sama. Walaupun dia bekas ahli KELABU, nak gak dia lepak sama dlm sesi mengeteh kami. Oh ya, tentulah isterinya ikut bersama. Usia perkahwinan mereka yg masih muda sukar memisahkan mereka. Ke mana2 pasti bersama.

Bukan tak boleh melepak di rumah pada malam minggu. Cuma malam minggi itu sedikit berbeza. Ada pertembungan. Bukan setakat Chelsea vs Manchester, tapi peminat bola dan Akademi Fantasia.

Di rumah, pilihan pasti terarah ke Akademi Fantasia. Bak Kata pengacaranya, hari2 anda pasti sunyi tanpa AF. Kemat bukan tak minat AF. Sekali sekala dia intai juga diari AF sekembali dari kerja. Kadang2, lalai juga melihat konsert ulangan AF di siang harinya. Cuma malam itu, dia menyahut panggilan rakan2 KELABUnya.

Andak. Juga kepingin menonton AF. Diam tak diam, dia menaruh harapan pada Mila untuk menang. Jadi juara AF5. Cuma malam itu, Andak nak sokong pasukan barunya Chelsea julang piala. Dulu Andak pernah diwarwarkan meminati Arsenal, namun sejak Chelsea meningkat kebelakangan ini, dia berpaling tadah.

Ucop selantang2nya mengutuk AF. Kononya ia hiburan tak bermanfaat. Melalaikan. Terlalu banyak drama ciptaan. Dengarnya, semasa Mawi jadi juara dulu, banyak gak kredit dia habis nak memenangkan penyanyi pujaannya dulu. Itu dulu.

Lepat dan isteri. Rumah sewa mereka tiada ASTRO. Jadi melepak di kedai mamak tengok bola adalah pilihan yang lebih baik. Kata isterinya, dia sudah lama berhenti tengok bola sejak David Beckham tinggalkan MU.
Malam itu Chelsea menang pada perlawanan yg sedikit hambar. Kedai sebelah yang membuka siaran AF kelihatan sedikit meriah dengan jeritan penonton. Di sini, kami yang menonton bola lebih banyak diammnya. AF menang besar malam itu.
Habis bola kami berborak. Tentang nasib kami. Nasib KELABU.

"Kita mesti bubarkan juga. Siapa lagi nak teruskan kesinambungan kelab kita" hujah Ucop.

"Tapi, aku masih boleh menyertai aktiviti kelab itu kan. Macam Lepat sekarang" aku minta penjelasan.

"Masalahnya, korang dah tidak menepati syarat kelayakan kelab. Walaupun korang masih berminat dengan aktiviti kelab ini dan seronok dengan kewujudan kelab ini yang banyak menyokong korang selama ini, korang tetap harus meninggalkannya. Dan kelab kita nie sememangya tak akan kekal selamanya. Kita semua tahu kan semasa kita mula2 menubuhkannya dulu. Tiba masanya, setiap dari kita harus pergi. Tak kira suka atau tidak"

"Kamu semua yakin kelab nie perlu dibubarkan" kataku yg cuba dapatkan kepastian.

"Tak lama lagi kamu akan tinggalkan kelab nie Kemat. Yang tinggal hanya dua. Aku dan Andak. Lepat dah lama dipecat. Bulan 8 nie Andak turut jejak kamu. Aku dalam tahun nie juga pengakhirannya" bentak Ucop rakan aku yg asyik membina karier.


Akhirnya kami akur. Bulan depan KELABU akan dibubarkan.


KELABU = kelab lelaki bujang

Istimewa

Hari ini hari istimewa. Kalau bukan untuk kamu. Sekurang2nya untuk aku. Juga untuk Raja Muda Perak. Yang melangsungkan perkahwinannya hari ini. Dan mereka yang turut menemui kebahgiaan di hari ini. Mereka yang punya alasan untuk tersenyum hari ini. Mereka yang tak pernah berputus asa untuk mencari keceriaan dalam kehidupan seharian.

Hari ini hari istimewa. Aku rasa seperti orang baru. Punyai tekad baru. Azam baru. Impian dan harapan mungkin masih sama. Seperti yang dulu2. Cuma semangatnya telah diperbaharui. Semakin jitu dan padu.

Hari ini hari istimewa. Dan terasa ingin berkongsi rasa istimewa ini bersama kamu. Kamu pembaca2 istimewa di blog liepan ini. Kamu yang menjadikan aku lebih istimewa. Dengan kehadiran dan sokongan kamu di kanvas hitam ini.

Hari ini hari istimewa. Dan aku ingin berkongsi keistimewaan itu dengan kamu. Dulu 28. Kini kurang setahun akan bertukar ke angka 30an.

Hari ini hari istimewa. Kawan2. Hari ini kamu baca Kemat dengan Kisahnya Seekor Liepan. Suatu hari. Nanti. Ia tidak ingin bersendirian lagi.

Hari ini hari istimewa. Siti dan Datuk K umumkan di hotel mewah. Raja Muda Nazrin khabarkan pada rakyat menerusi media. Aku cuma punyai blog liepan ini. Dan ingin turut berkongsi kegembiraan ini pada pengunjung di sini.

Hari ini hari istimewa. Kawan2. Tanggal 03.06.07 di rumah mak ayahku ada acara makan2. Jemputlah datang. Bawa family, sedara, orang kampung jua rakan2.