Rabu, September 29, 2010

Betullah Tu

Hidup ini penuh dengan kebetulan. Tetapi tidak bermakna semua tentang hidup kita itu betul.

Belajar dan kenali. Mana yang betul. Dan juga, mana yang perlu diperbetulkan.

Selasa, September 28, 2010

Edisi Pergi Beraya, Tapi Lupa Nak Minta Maaf. Makan Jer.

"Wah. Sedap-sedap belaka kuih raya ngko weh" kata aku. Yang mencuba. Dari balang ke balang. "Pandai jugaj ngko buat yer"


"Mat. Yang ngko dok belasah dari tadi tu kerepek jer semuanya. Kalau aku cakap buat pun ngko tak percaya. Kerepek. Aku beli jer" balas awek suka kucing. Tanpa sebarang tanda senyuman.


Hehe. Cubaan nak 'up' awek suka kucing tak menjadi. Dia tahu.

Khamis, September 23, 2010

Pelangi Itu 7 Warnanya

Itu kata Amirul. Kawan baiknya. Yang sebenarnya tidak pernah pun melihat wajah sebenar pelangi. Pelangi bagi Amirul adalah seperti digambarkan pada buku teks pelajaran Sains.

Ani yang meyakini hatinya macam pelangi juga punyai pandangan yang sama. Tapi hati Ani di dalam. Dia sendiri pun tidak dapat tengok warna hatinya.

Cikgu Jai juga berpendirian yang sama. Tapi Cikgu Jai cakap apa yang tertulis dalam buku. Macam cikgu sejarah juga. Iya. Cikgu Jai mengajar Sains. Dalam satu eksperimen, kami mendapat keputusan yang lain. Tidak seperti dalam buku. Entah salah cara pengendalian eksperimen atau memang itu keputusan sebenarnya. Tapi Cikgu Jai tetap ikut prinsip dalam buku. Eksperimen kami macam olok-olok sahaja.

Petang. Lepas hujan. Kami menanti di padang. Janjinya pelangi akan muncul. Dan dikaki langit ada jalur-jalur macam pelangi. Seperti dalam buku sains kami.

Kami rabun warna. Tidak dapat melihat jelas warna pelangi. Adik Su yang ikut sama mungkin tidak rabun warna. Dia suka melihat pelangi. Cuma Adik Su masih belum kenal warna sepenuhnya.

Kami cuma hafal. Pelangi itu tujuh warnanya. Merah. Jingga. Kuning. Hijau. Biru. Indigo. Dan Ungu. 

Apapun. Pelangi cantik. Macam kamu.



Rabu, September 22, 2010

Cinta Loteri

Cubaan memenangi hati 
Engkau akan perolehi cinta
Cubaan memenangi loteri
Engkau hanya menghimpun dosa


Demi cinta, berusahalah
Tentang dosa, jangan kata aku tak ingatkan kamu tentangnya

Selasa, September 21, 2010

Besar Kepala

"Dah besar kepala ngko sekarang yer. Dulu pakai saiz 20. Sekarang dah 21 dah" kata Pak Akob, penjual songkok.

Sabtu, September 18, 2010

Klise Di Hari Raya

Rahmatnya hari raya, inilah kesempatan nak mengenali saudara mara. Sama-sama tinggal di Kuala Lumpur belum tentu sering bersua. Seronok dapat jumpa orang tua-tua, mendengar mereka bercerita. Tentang salasilah keluarga. Siapa sangka kawan sekerja, jiran tetangga ada pertalian yang tidak diduga. Oh, rupa-rupanya kita bersaudara.

Anak-anak kecil. Paling ceria. Kocek penuh dengan duit raya.

"Nah. Duit raya. Kongsi 3 orang yer" kata aku menghulur wang kertas merah. RM10. Pada abang yang sulong. 7 tahun

"Nak bagi macam mana nie" adiknya yang nombor dua bertanya. Bukan pada aku. Tapi abangnya.

Aku biarkan mereka menyelesaikan masalah matematik itu sendiri. 

Masa nak pulang, aku nampak 3 beradik tu berkumpul dalam bilik. Yang bongsu, 4tahun, pegang gunting.

"Aiseh"

Rabu, September 15, 2010

Cinta Yang Pergi. Titipan Buat Permata Hati Mak Lang & Pak Lang Husna


Kita belum pernah bersua
Belum sempat berkongsi rasa
Berlari mengejar dan dikejar
Belajar menyusun kata membina cerita


Kami akur ketentuan-Nya
Kau lebih disayangi-Nya
Tunggu kami di pintu syurga
Kami juga ingin ke sana


Al-Fatihah


Sepupu Kamu,
Azalea Husna

Rabu, September 08, 2010

Terbakar Kampung Nampak Asap. Terbakar Hati Siapa Yang Tahu

Jangan bakar kampung.
Jangan bakar hati.
Jangan bakar mercun.

Kita bakar lemang.
Kongsi dengan jiran-jiran.

Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Selasa, September 07, 2010

Esah, Selamat Hari Raya. Ikhlas Dari Mat Bon.

"Abang.. abang.. ada kad raya" laung adik Mat Bon yang bongsu. Sambil melonjakkan sampul putih bersaiz besar ke udara.

Mat Bon senyum. Dia tahu. Esah pasti membalasnya. Esah mungkin jual mahal pada cintanya. Tetapi hati Esah tidak menyingkirkan Mat Bon.

Dua minggu selepas berpuasa. Mat Bon dah mulakan misinya. Seperti tahun-tahun terdahulu. Mat Bon redah ibukota cari kad raya dengan titipan kata-kata yang terbaik. Cuma tahun ini, agak sukar nak cari kad raya. Dah tak ramai yang menjual. Pelik. Mercun terlarang banyak pulak dijual. Mungkin sebab orang dah ucapkan selamat kat fesbuk, sms atau guna blog sahaja.

Mat Bon beli kad raya yang besar sekali. Ada lagu raya dendangan Siti Nurhaliza. Juga lampu berkelip-kelip. Mat Bon tak lupa semburkan minyak wangi. Tak main la setakat taruk bedak. Itu budak-budak.

Mat Bon dapat alamat Esah dari majalah tahunan fakulti. Bukan tak boleh beri secara serahan tangan. Mat Bon ingin beri kejutan pada Esah. Kepulanagn Esah ke rumah mak ayahnya bakal disambut dengan kad raya Mat Bon. Mak ayah Esah pasti bertanyakan tentangnya, pengirim kad yang romantik itu.

Mat Bon tak lupa. Tulis nama dan alamatnya di belakang sampul surat. Biar semua ahli keluarga Esah tahu. Tanpa membuka sampul itu, siapa pemuda romantik itu. Dan Mat Bon berharap. Esah sudi balas padanya. Seperti alamat tertera di belakang sampul itu.

Lamunan Mat Bon terhenti. Sebaik adiknya menyerahkan kad raya bersampul putih itu.

 "Bang. Posmen kata kad nie dipulangkan sebab penerimanya dah berpindah rumah"

Khamis, September 02, 2010

BIskut Raya atau Biskut Puasa

Ada seminggu lebih lagi untuk berpuasa. Sebelum kita menyambut hari raya. 1 balang kuih tat dah abis.


"Bang.. tu stok raya la bang" tegur awek che'gu tika aku usung balang kuih tat ke depan tv


"Abih tu. Awal sangat awak buat. Mana tahan. Peberet nih"