Jumaat, Disember 24, 2010

Hari Hati Tanpa Warna

Perlukan senyuman kamu. 
Untuk memurnikan hari.
Kalau tidak sudi memberi.
Pinjamkan aku dahulu.
Boleh?

Selasa, Disember 21, 2010

Berus Sabut

2-3 kali awek che'gu pesan. Masukkan separuh penutup sahaja pelembut fabrik dalam bilasan terakhir cucian baju kerja aku. Mudah nak digosok dan baju berbau wangi. 

"Separuh penutup sahaja tau. Sebotol tu tahan 15 kali cucian" awek che'gu mengingatkan aku setiap kali aku mula mengumpulkan baju kerja kotor untuk dibasuh. Awek che'gu bab-bab nombor dan sukatan ni, dia memang cekap sikit. Mungkin itu juga sifat perempuan. Berbeda dari lelaki yang selalu buat lebih kurang, tak ada masa nak sukat-sukat. Kadang-kadang lebih. Kadang-kadang kurang.

"Aikk.. banyak lagi pelembut fabrik ni" kata awek che'gu. Yang membuat inventori barang rumah yang perlu dibeli.

"Abang guna sikit sangat kot. Patut dah abis dah ni"

Aku sengih sahaja. Sebenarnya, aku lupa terus nak gunakan pelembut fabrik tu.


Ahad, Disember 19, 2010

Camca dan Garfu

Awek che'gu dengan dapur semenjak dua ni tak berapa 'ngam'. Nampaknya, aku kena jadi 'orang dapur' untuk sementara waktu. Bukan susah sangat. Aku beli buku masak. Tengok resipi ikut internet. Tanya mak. Dan tonton rancangan masakan di hujung minggu. Dan mula berkenalan dengan cengkih, pelaga, halba dan bunga lawang.

"Wah boleh tahan ngko yer Mat. Dah macam Chef Wan dah" ulas awek suka kucing mendengar aku menerangkan kegunaan bahan rempah dalam masakan.

"Err.. resepi apa yang ngko dah masak semenjak dua nie" tanya awek suka kucing penuh minat.

"Err. Belum lagi sebenarnya. Aku baru baca jer. Belum praktik lagi. Aku beli juadah kat restoran jer sekarang ni. Tak sempat" balas aku perlahan.

"Cheh". Awek suka kucing buat muka geram.
 

Jumaat, Disember 17, 2010

Maaf. Saya Silap.

Maaf. Saya tersilap lagi. Dalam perkiraan. Dalam pentafsiran. Dalam pelaksanan tugasan. Dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.

Bukan sekali dua. Bahkan berkali-kali. Kesilapan yang sama atau hampir serupa. Apakah tidak diambil pengajaran dari kesilapan terdahulu. Atau tekad belajar dari kesilapan yang tidak meyakinkan. Sekadar ucapan manis di bibir tanpa iktikad dari dalam. Lantaran itu, kesilapan berulang lagi. Dan akal yang sepatutnya bijak mencari penyelesaian pada permasalahan rancak memikirkan alasan menutup kesilapan.

Cara yang mudah, tudingkan jari pada yang lain. Pada yang berada di sekeliling. Letakkan kesalahan pada keadaan. Pada himpitan tekanan. Pada apa sahaja. Asalkan bukan diri sendiri. Silap itu bukan milik kamu lagi. Tapi, rasa bersalah dalam diri tidak dapat dipadamkan dengan cara ini.

Tinggalkan ego. Akui kesilapan. Penuh keberanian. Berulang itu tanda kelalaian. Kematangan akan mengajar kamu. Mengelakkan kesilapan. Perbetulkan keadaan.

Permulaan yang pertama. Ungkapkan penuh pengertian dalam kerendahan hati.

"Maafkan saya. Mohon tunjuk ajar yer"



Isnin, Disember 13, 2010

Diari Untuk Kamu

Awek suka kucing. Baik hati sangat. Secara tiba-tiba, dihadiahkannya diari untuk aku. Buka satu. Bahkan sampai tiga. Dan aku memang berhajat nak cari diari untuk tahun baru.

"Ini ikhlas nie. Tak ada udang di sebalik mee yer". Aku cuba pinta kepastiannya.

Awek suka kucing senyum sahaja.

Selang berapa hari, ada kawan pejabat datang jengah bilik aku.

"Eh, asal kosong lagi diari 2010 ngko nie Mat. Rugi la tak guna. Dah nak abis tahun dah"

"Err.. 2010". Aku terbayang senyuman awek suka kucing tempoh hari. Yang hari ini pasti bertukar menjadi gelak yang panjang. Cheh. 

Sabtu, Disember 11, 2010

Mimpi

Mimpi kena patuk ular lebih menakutkan dari mimpi jumpa hantu rupanya.

Rabu, Disember 08, 2010

Lip-Lap

Lampu bilik tidur kami. Macam lampu disko. Segan nak menyala. Lip-lap. Lip-lap. Macam kunang-kunang pun ada. Pening kepala juga dibuatnya. Tapi aku biarkan sahaja. Masih ada satu lagi yang bernyawa. Lagipun kat bilik tidur tak perlu terang. Baru romantik [sebenarnya aku malas nak pergi beli mentol/starter baru, ambil tangga, tukar yang baru. Maka berminggu jugalah kami begini. Sampai hari ini]. 

Dan malam tadi. Lampu di bilik termenung yang kechik tu pun buat perangai juga. Berjangkit agaknya. Lip-lap. Lip-lap. Tapi yang ini, memang buat aku panas hati. Mana boleh nak konsentrasi kalau pencahayaannya begini. Balik kerja ni, kena terus singgah kedai cari barang.  Dah terang baru syok kan.

Selasa, Disember 07, 2010

Selamat Tahun Baru Asrul

"Selamat Tahun Baru. Pelik. Tak ada bunga api tahun nie. Tak macam selalu". Tulis Asrul, kat wall fesbuk Intan kekasihnya.

"Bunga api apanyer. Orang sambut tahun baru hijrah baca doa akhir tahun dan awal tahun. Bila masa pulak orang main bunga api. Ngko tak doa ke Maghrib tadi" komen Rudi, abang Intan. Pada catatan wall fesbuk Intan.

"Pap". Asrul tepuk dahi. Macam selalu.
 

Ahad, Disember 05, 2010

Bukan Ahmad Albab Yang Punya Ker

Kami masuk treasure hunt. Dari Putrajaya ke Port Dickson. Nak menang, selain kebijaksanaan menafsir soalan, kecekapan pemanduan dan kepantasan turut memainkan peranan. Pagi-pagi minyak kereta belum diisi, macam mana nak berlumba...


"Errr,  minyak naik harga. Aku boikot tak nak isi minyak. Hehehe"

 

Rabu, November 24, 2010

Lagu Untuk Laila

Lan memang suka karoke. Sebenarnya ramai antara kami suka. Tapi malu-malu. Macam kucing.

Lan tak pedulikan soal malu atau dimalukan. Atau perbuatannya menyanyi di pertandingan karoke memalukan.  Dengan imej sempoi, selamba, muka tebal, tak peduli suara ke laut atau tempo lagunya lari, Lan belasah saja menyanyi. 

Lagunya bukan calang-calang. "Laila Namamu Teratas". Nyanyi pun gaya dan lagak ikut Amy. Sampai semput dia ikut cara Amy 'tarik'.

Lan tak menang. Kami dah agak dah. Tapi kami respek kat Lan. Yang tak segan dan tak tahu malu. Cuma kesian kat awek yang nama Laila. Dia pulak yang malu. Haha. 

Selasa, November 23, 2010

Yang Mana Satu Nie

"Bang, suis kipas yang sebelah kiri atas sekali". Adeh. Silap lagi. Dah setahun pindah umah. Tak cekap lagi susun atur suis kat rumah sendiri.

Ahad, November 21, 2010

Petua Orang Muda: Baju Batik Tak Turun Warna

"Baju batik jangan basuh guna mesin basuh. Cepat rosak" betah awek che'gu. Tika aku memilih baju-baju kotor untuk dibasuh.

"Baju batik ni, basuh guna sabun mandi cukup. Tak yah sental kuat-kuat. Baru tahan lama" tambah awek che'gu. Berkongsi petuanya.

Aku anggukkan sahaja. Lagipun petua aku tentang penjagaan baju batik ni hampir sama. Jangan basuh guna mesin. Sabun mandi pun aku tak guna. Masa bujang dulu, aku bilas dan jemur sahaja. Sesuai untuk dipraktikkan oleh mana-mana lelaki bujang. Lagi senang. Lagi boleh tahan lama. Haha.



Jumaat, November 19, 2010

Aku Bukanlah Superman. Aku Juga Bisa Nangis. Jika Kekasih Hatiku

Husna. Dah nak masuk 2 tahun umurnya. Kami sepakat. Husna akan berhenti minum susu mamanya apabila genap 2 tahun. Doktor yang periksa perut awek che'gu pun nasihatkan perkara yang sama. 

Bukan senang nak pisahkan Husna dengan susu mamanya. Macam aur dengan tebing. Isi dengan kuku. Irama dan lagu. Melekat. Tak macam cinta ngan KLCC. Boleh pilih yang mana satu. Minah yang pilih KLCC itu kena tipu. Bukan pakwe dia leh kasi pun KLCC tu. Pilih cinta pun kena tipu gak sebenarnya.

Mak pesan pada awek che'gu. Kena tabahkan hati. Susah nak bercerai susu bila dah lama sangat menyusu ni. Macam-macam petua mak bagi.

Seperti kami jangka, permulaan ini, Husna akan menangis. Sekuat dan sepenuh hati. Semahunya. Bila awek che'gu menolak permintaannya untuk menyusu. Sayu jer dengar suara esakan dia. Awek che'gu kuatkan semangat. Cuba pujuk dengan susu tepung dan susu kotak. Tak berjaya. Awek che'gu mengalah akhirnya. Bukan kerana tangisan Husna. Tapi kerana mata ayahnya yang mula berkaca. Tak tahan woo tengok anak nangis.

Seminggu dua ni, Husna dah macam faham. Dia dah semakin besar sebenarnya.

Selasa, November 16, 2010

Salam Eid Adha

Ada budak pejabat aku tanya

"Eh. confirm esok raya ek? Bila tengok anak bulan?" 

Kalau orang-orang tua dengar soklan cenggini pada tanggal 9 Zulhijjah nie, pasti budak nie jadi 'korban'. Itu lah. Taksub sangat ngan kalender masihi nie.


Selamat Menjalani Ibadah Korban. Salam Eid Adha. Kawan. Dan juga Lawan.

Isnin, November 15, 2010

Gores Dan Menang

Tahniah.
Kamu telah berjaya mengguris hati kami.
Kamu menang.

 

Rabu, November 10, 2010

Mengidam?

"Tahniah" katanya.

"Syukur" kata kami. 

Bulan enam tahun depan, awek che'gu boleh cuti panjang 90 hari. Betul-betul kami menyahut seruan Kerajaan.

Aku dah mula berkira-kira. Buat persediaan. Sediakan senarai. Tempat dan makanan idaman.
1. Char Kway Teow Mali
2. Mee Kari
3. Serawa Labu
4. Ikan Bakar Pak Din Tanglin, Kuchai Lama, Fendi Kelana Jaya
5. Ayam Golek Pantai Dalam
6. Ketam Masak Cili
7. Air kedondong + asam boi

Err.. apa lagi. Dah kecur air liur nie... 

Rabu, November 03, 2010

Musim mengundi. Masa untuk keluar parti [beramai-ramai]


Cerita pilihanraya. Cerita yang sama. Watak yang berbeza. Lakonan semula. 

Anak-anak Galas dan Batu Sapi. Lupakan mereka yang culas dan suka jadi batu api. 
Pilihlah yang punya 'hati'. Selamat Mengundi.
 

Selasa, November 02, 2010

Patutlah Mak Pesan "Jangan Bangga Dengan IT Nie" Bahagian 2

"Seronok makan kuih" tanya aku pada awek suka kucing. Yang baru keluar dari bilik mesyuarat.

"Cheh. Ngko mengelat. Tak masuk mesyuarat" balas awek suka kucing.

"Tak dapat emel lah" kata aku sambil mengekek. Mengambil kesempatan atas kecelaruan sistem email pejabat.

"Nih. Engkau punya tugasan. Diaorang sepakat lantik ngko jadi AJK. Uruskan bla..bla..bla..." Balas awek suka kucing sambil mengekek lebih kuat.  

Cheh. Ingatkan lari dari mesyuarat dapat lari dari tugasan. Rupanya diaorang lebih bijak mengambil kesempatan pada yang tidak hadir.

Isnin, November 01, 2010

Patutlah Mak Berpesan "Jangan Bangga Sangat Ngan Teknologi IT Ni"

Email di pejabat buat hal lagi. Kejap ada. Kejap hilang. Kalau ada pun, rekod emel yang lama hilang. Entahkan merajuk atau tak jumpa cari jalan pulang setelah berhujung minggu entah ke mana. Buka pun kena tunggu dekat setengah jam. Macam lampu bilik air rumah aku. Berkelip-kelip cam lampu disko. Dah habis mandi baru menyala.

Sebab banyak kerja yang tersangkut, aku salahkan email jer.

 "Err, tak tahulah ada mesyuarat. Emel tak boleh buka."  Haha.

Khamis, Oktober 28, 2010

Tiada Pemenang. Tiada Yang Kalah.

Kenapa ada pemenang. Sebab ada yang kalah. Maka yang kalah juga ada peranan di sini. Menggembirakan pemenang.

Menjadi yang kalah. Memang mendukacitakan. Namun yang sebenarnya lebih mendukacitakan jika kamu menyerah kalah. Kalau kamu kalah bermaruah. Melawan bukan sekadar duduk berlutut. Berbanggalah. Kamu sudah cuba untuk mendapatkan kemenangan cuma ia tidak berpihak pada kamu pada masa itu.

Aku pernah kalah. Ya. Kalah dengan panahan cinta dari matanya. Tapi aku juga tak mengalah. Dan akhirnya berjaya memenangi hatinya.

Rabu, Oktober 27, 2010

Mengeteh Hilangkan Letih

Sesi minum petang bagi lelaki adalah terapi untuk hilangkan tekanan kerja. Dan kami selalunya akan membincangkan perkara yang ringan. Ulasan berita di akhbar. Atau tentang perihal kekeluargaan. Sesekali tentang gosip artis juga tentang makwe yang lalu lalang dan menarik perhatian.

Bila bicara tentang berita akhbar, berdebat tentang politik masa kini, selalunya berakhir dengan terzahirnya kekecewaan. Rasa tidak puas hati pada apa yang berlaku. Dan dilakukan oleh mereka. Dan suara kami hanya berakhir di kedai kopi itu sahaja.

Bila bicara pasal makwe. Hati masing-masing berseri-seri. Terlupa seketika pada isteri. Kopi pahit rasa manis. 

"Ngko, bila nak tambah dua Mat" tanya kawan mengeteh walaupun sebenarnya dia minum nescafe.

"Isshhhh.. satu pun dah cukup laa. Korang ingat senang ker nak berpoligami"

"Eh, yang ngko melalut pasal poligami nie apehal. Aku tanya pasal anak. Husna tu, bila nak dapat adik. Kesian main sorang-sorang"

"Cheh. Tukar topik tak cakap"

Isnin, Oktober 25, 2010

Apa Nak Jadi

Kawan lama datang ke rumah. Dan aku dah agak. Ayat-ayat klise sebegini akan keluar dari mulutnya. "Ngko nie Mat. Makin hari makin kurus. Apa nak jadi nie"

Hmmm... aku ingat nak jadi model la. Untuk Marie France Bodyline ker sambil ucap tagline 'lihat pinggangku, rampingkan...' hahha

Sabtu, Oktober 23, 2010

Orang Bujang. Sayang Kereta Macam Sayang Bini.

Kuala Lumpur. Tengah harinya panas. Sangat.

"Bila parking tengah panas cenggini, cermin tingkap tu, kasi turun sedikit. Baru la tak panas sangat bila naik nanti. Dashboard kereta pun cepat rosak" pesan aku. Pada sepupu. Yang baru beli Kancil second hand.

"Ooooo". Biasalah. Orang baru pegang stereng kereta tak banyak membantah. Apa sahaja tentang kereta yang keluar dari mulut aku. Umpama nasihat berguna. Kalau boleh mahu salin tulis dalam buku nota.

Kuala Lumpur. Petangnya hujan lebat. Sangat.

Terima kasih pada surat khabar yang jadi alas tempat duduk sepanjang perjalanan pulang kami dari Kuala Lumpur petang itu. 

"Kalau dah agak cuaca petang-petang nak hujan, tak yah turunkan cermin tingkap masa parking tadi yer". Ulas sepupu aku. Harap pengalaman kali ini dia tulis dalam buku notanya.
 

Jumaat, Oktober 22, 2010

Esok, Jika Kau Jatuh Cinta

Esok, jika kau jatuh cinta
Jangan kau lupa
Pada lusa, tulat dan hari-hari berikutnya
Untuk terus kau suburkan ia
Dengan kasih sayang dan rasa percaya


Esok, jika kau jatuh cinta
Lapangkanlah dada untuk menerima
Bersedialah untuk merasa
Bahgia, kecewa, suka dan duka
Itulah intipati ramuan cinta


Esok, jika kau jatuh cinta
Kenangilah saatnya
Di mana dan bagaimana ia bermula
Permulaan pada sebuah cerita
Yang bakal mengubah hidup kamu seterusnya

Esok, jika kau jatuh cinta
Lafazkan seikhlasnya, ikrarkan penuh setia
Cinta kamu dan dia
Dibina atas landasan ketetapan-Nya

Esok, jika kau jatuh cinta
Kami turut tumpang gembira


Selasa, Oktober 19, 2010

Macam Peria

Kata-katamu itu pahit. 
Tapi harus aku telan.
Moga ada pengajaran.

 

Ahad, Oktober 17, 2010

Malam Minggu Kamui

"Asal hujung minggu jer layan cerekarama. Cerita sedih. Buang masa. Hidup kena ceria. Baru lah hujung mingggu terasa bahgia"


Capai remote ASTRO. Layan bola. "Ha. Ini baru hips. Layan bola"


Team kegemaran kalah. Sedih. Tak lalu makan. "Main ntah hape-hape ntah. Tendang bola semua ke laut. Baik layan cerekarama cenggini"

Khamis, Oktober 14, 2010

Exam: Kali Ini Awek Che'gu Punya Giliran Pula II

Sabtu depan. Ada pertandingan. Baling bola untuk jatuhkan 10 pin. Kawan ajak ikut serta sekali. Bukan kerana bakat. Tapi mengisi tempat. Peserta lain yang tak dapat ikut terlibat.

"Ooohh.. aku pun tak boleh lah. Orang rumah ada exam PTK" 
"Eh, bukan ngko yang perlu baca buku jawab exam pun"
"Err..aku kena jaga Husna lah. Maknya nak exam"
"Wah, mitahli betullah ngko nie Mat. Isteri exam, ngko jaga anak"


Aku senyum. Sedikit sahaja. Tak boleh lebar-lebar sangat. Nanti bertukar jadi riak pula dengan pujian.


Dan seketika kemudian. Mak telefon.


"Jadi tak balik rumah Sabtu nie"
"Jadi. Confirm mak"


Kali ini senyum aku makin melebar. 

Rabu, Oktober 13, 2010

Exam: Kali Ini Awek Che'gu Punya Giliran Pula

2007. Kami pasangan keluarga muda. Yang masih menikmati saat manis bulan madu dalam rumah tangga. Tambahan pula, ia perkahwinan jarak jauh. PJJ. Awek che'gu di kepulauan borneo dan aku di tanah Semenanjung Malaysia.

Cuti sekolah. Memang paling ditunggu. Waktu kami dapat bersua. Cuma, kali ini ceritanya berbeza. Awek che'gu yang masih memegang taraf sebagai Guru Sandaran Terlatih perlu hadir ke sesi interbiu untuk dilantik secara tetap.

Kami tukar skrip. Kali ini aku yang terbang ke sana. Menemani awek che'gu untuk sesi interbiu. Dan bersedia dengan segala pembacaan tentang konsep negara dan isu semasa.

Di Sandakan, kami tinggal di rumah sewanya. Cikgu teman serumah yang lain semua dah pulang bercuti. Tidak terlibat pula mereka dalam sesi interbiu kali ini. Tak perlulah kami bersusah payah nak cari hotel penginapan pula. 

Pada hari awek che'gu pergi interbiu. Aku pergi ke klinik di sana. Badan menggigil, rasa seram sejuk pun ada. Masa daftar, aku lupa alamat rumah sewa awek che'gu. Aku mintak gunakan alamat pada kad pengenalan sahaja.

"Ooouiihh.. jauh nie. KL bah. Kenapa datang sini" tanya awek jaga kaunter daftar.

"KL ramai orang la" balas aku dalam senyum kelat, badan tak berapa sedap.


Selasa, Oktober 12, 2010

Bercinta Sampai Ke Bulan, Berkahwin Kita Ke Kayangan.


Itu syarat baru Esah. Pada lelaki yang cuba menawan hatinya.

Mat Bon tak betah. Biar kawan-kawannya menegah. Mat Bon pasrah. Tapi dia tak akan menyerah. Cintanya pada Esah lebih terang dari cahaya bulan. Lebih tinggi dari duduknya kayangan.

Isnin, Oktober 11, 2010

Dari Dalam Selimut

"Biasalah nie. Musim orang demam"

Aku angguk sahaja. Tak terdaya nak bercakap. Siapa kata aku tak ikut peredaran zaman. Kira aku nie hip la jugak kan.

"Aaaaaaaaachoom". Berterabur dah. Sup isi ketam awek che'gu.

Sabtu, Oktober 09, 2010

Diari Seorang Bapa II

Awek che'gu ke sekolah hari ini.
Macam biasa. Husna aku kena jaga.
Macam biasa. Bawak balik Husna ke rumah Siti (neneknya)

Jumaat, Oktober 08, 2010

Selamat Pagi C.I.N.T.A

Buka mata
Nampak C.I.N.T.A
Rasa bahagia menyelubungi jiwa
Panjatkan syukur pada-Nya
Atas rahmat yang sempurna

Khamis, Oktober 07, 2010

Diari Seorang Bapa

Hujung minggu. Layan cerita Papadom. Menarik sangat. Aku bagitau pada kawan. Lepas ini nak balik kerja awal.


"Ngko emosional sangat Mat. Itu semua lakonan tu"


Iya. Cerita Papadom tentang kekeluargaan. Tentang ayah yang terlalu sayangkan anaknya selepas kematian isterinya.


"Aku nak balik awal bukan kerana terpengaruh ngan cerita Papadom tu. Aku balik awal nak layan koleksi dvd aku. Dah banyak beli, tapi belum tengok lagi"

Selasa, Oktober 05, 2010

Zaman Indie

Mak tanya. " Indie itu apa?"

"Ooh. Indie tu kire macam buat sendiri-sendiri lah. Kalau penyanyi, diaorang tak bergantung kepada syarikat rakaman yang besar-besar. Buat lagu, buat album, jual semua sendiri-sendiri". 

"Oooh... kira berdikari la tu"

"Aha... Er, sarapan apa kita pagi nie mak"

"Nasi goreng indie. Sendiri-sendiri lah yer. Nasi putih belen semalam ada lagi dalam periuk. Nak taruk bilis boleh, telur boleh, ayam pun ada dalam peti ais"

Jumaat, Oktober 01, 2010

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin Adik Ooh La La.


Man hantar SMS. "Ngko ada kat rumah tak hujung minggu ini"

Menggunakan ilmu semantik yang ada, aku balas SMS Man. "Ngko nak datang beraya ker"

Lama. Man tak jawab. Entah habis kredit atau nak dapat kebenaran isteri tentang perancangannya pada hujung minggu ini. Sementara menunggu SMS balas dari Man, aku mula mencongak aktiviti hujung minggu. Penghujung Syawal ni, masih ramai yang buat rumah terbuka. Kalau malas nak kemas rumah, boleh jer aku bagitau Man aku keluar beraya. Kalau tak ke rumah saudara mara atau sahabat handai, boleh juga beraya kat Giant. Tapi orang nak datang, takkan nak menolak.

Dulu. Masa bujang. Aku dengan Man rajin pergi rumah terbuka. Kadang-kadang aku bawak Man ke rumah kawan aku. Kadang-kadang aku ke rumah kawan Man. Ada jugak kami ke rumah entah siapa punya kawan ntah. Aku dapat rasakan, Man ada projek baik punya kali ini. 

"Ooh La La ajak datang beraya. Kat Tanjung Malim". SMS dari Man.

Ooh La La, awek pujaan kitaorang. Awek Petronas. Manis macam jagung manis yang dijualnya. Selain daripada  dengan Mat-Mat Rempit yang isi minyak motor 2 ringgit, Ooh La La juga sering mendapat perhatian Mamat Bangla yang kerja kat situ. Kira bersegi juga lah cabaran nak memenangi hati Ooh La La ni. Sekarang Petronas kat Sungai Buloh tu dah tutup. Ooh La La pun entah ke  mana menghilang. Dan tiba-tiba muncul dengan jemputan beraya. Bukan tak pernah kami beraya kat rumahnya. Masa bujang dulu, hampir tiap tahun. Kalau tak  kerana bapak ajak pegi pegang lembu, masa Hari Raya Haji pun kitaorang ingat nak pergi beraya ke rumahnya.

Jauh pula dia membawa diri. Sampai ke Tanjung Malim pula. Dulu mak ayah dia dok kat kuarters askar Sg Buloh tu. Tapi setahu aku mak bapak dia orang Kelantan. Kalau balik kampung pun, kenapa Tanjung Malim.

Aku rasa tak sedap hati. SMS Man. Minta alamat penuh. Kadang-kadang mamat tu baca mesej pun tak abis, terus kelam kabut.

Man forward mesej. Aku baca. Hati berbunga bertukar warna. Aku segera telefon Man. Tak ada masa nak main sms dah.

"Woitt.. dia ajak gi kenduri kahwin dia la. Kat Tanjung Malim tu sebelah laki dia"

"Yer ker, aku terlebih seronok dapat mesej dia tadi. Err...kita pos hadiah sahajalah" kata Man. Yang baru teringat ada isteri di sebelah.





Rabu, September 29, 2010

Betullah Tu

Hidup ini penuh dengan kebetulan. Tetapi tidak bermakna semua tentang hidup kita itu betul.

Belajar dan kenali. Mana yang betul. Dan juga, mana yang perlu diperbetulkan.

Selasa, September 28, 2010

Edisi Pergi Beraya, Tapi Lupa Nak Minta Maaf. Makan Jer.

"Wah. Sedap-sedap belaka kuih raya ngko weh" kata aku. Yang mencuba. Dari balang ke balang. "Pandai jugaj ngko buat yer"


"Mat. Yang ngko dok belasah dari tadi tu kerepek jer semuanya. Kalau aku cakap buat pun ngko tak percaya. Kerepek. Aku beli jer" balas awek suka kucing. Tanpa sebarang tanda senyuman.


Hehe. Cubaan nak 'up' awek suka kucing tak menjadi. Dia tahu.

Khamis, September 23, 2010

Pelangi Itu 7 Warnanya

Itu kata Amirul. Kawan baiknya. Yang sebenarnya tidak pernah pun melihat wajah sebenar pelangi. Pelangi bagi Amirul adalah seperti digambarkan pada buku teks pelajaran Sains.

Ani yang meyakini hatinya macam pelangi juga punyai pandangan yang sama. Tapi hati Ani di dalam. Dia sendiri pun tidak dapat tengok warna hatinya.

Cikgu Jai juga berpendirian yang sama. Tapi Cikgu Jai cakap apa yang tertulis dalam buku. Macam cikgu sejarah juga. Iya. Cikgu Jai mengajar Sains. Dalam satu eksperimen, kami mendapat keputusan yang lain. Tidak seperti dalam buku. Entah salah cara pengendalian eksperimen atau memang itu keputusan sebenarnya. Tapi Cikgu Jai tetap ikut prinsip dalam buku. Eksperimen kami macam olok-olok sahaja.

Petang. Lepas hujan. Kami menanti di padang. Janjinya pelangi akan muncul. Dan dikaki langit ada jalur-jalur macam pelangi. Seperti dalam buku sains kami.

Kami rabun warna. Tidak dapat melihat jelas warna pelangi. Adik Su yang ikut sama mungkin tidak rabun warna. Dia suka melihat pelangi. Cuma Adik Su masih belum kenal warna sepenuhnya.

Kami cuma hafal. Pelangi itu tujuh warnanya. Merah. Jingga. Kuning. Hijau. Biru. Indigo. Dan Ungu. 

Apapun. Pelangi cantik. Macam kamu.



Rabu, September 22, 2010

Cinta Loteri

Cubaan memenangi hati 
Engkau akan perolehi cinta
Cubaan memenangi loteri
Engkau hanya menghimpun dosa


Demi cinta, berusahalah
Tentang dosa, jangan kata aku tak ingatkan kamu tentangnya

Selasa, September 21, 2010

Besar Kepala

"Dah besar kepala ngko sekarang yer. Dulu pakai saiz 20. Sekarang dah 21 dah" kata Pak Akob, penjual songkok.

Sabtu, September 18, 2010

Klise Di Hari Raya

Rahmatnya hari raya, inilah kesempatan nak mengenali saudara mara. Sama-sama tinggal di Kuala Lumpur belum tentu sering bersua. Seronok dapat jumpa orang tua-tua, mendengar mereka bercerita. Tentang salasilah keluarga. Siapa sangka kawan sekerja, jiran tetangga ada pertalian yang tidak diduga. Oh, rupa-rupanya kita bersaudara.

Anak-anak kecil. Paling ceria. Kocek penuh dengan duit raya.

"Nah. Duit raya. Kongsi 3 orang yer" kata aku menghulur wang kertas merah. RM10. Pada abang yang sulong. 7 tahun

"Nak bagi macam mana nie" adiknya yang nombor dua bertanya. Bukan pada aku. Tapi abangnya.

Aku biarkan mereka menyelesaikan masalah matematik itu sendiri. 

Masa nak pulang, aku nampak 3 beradik tu berkumpul dalam bilik. Yang bongsu, 4tahun, pegang gunting.

"Aiseh"

Rabu, September 15, 2010

Cinta Yang Pergi. Titipan Buat Permata Hati Mak Lang & Pak Lang Husna


Kita belum pernah bersua
Belum sempat berkongsi rasa
Berlari mengejar dan dikejar
Belajar menyusun kata membina cerita


Kami akur ketentuan-Nya
Kau lebih disayangi-Nya
Tunggu kami di pintu syurga
Kami juga ingin ke sana


Al-Fatihah


Sepupu Kamu,
Azalea Husna

Rabu, September 08, 2010

Terbakar Kampung Nampak Asap. Terbakar Hati Siapa Yang Tahu

Jangan bakar kampung.
Jangan bakar hati.
Jangan bakar mercun.

Kita bakar lemang.
Kongsi dengan jiran-jiran.

Salam Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.

Selasa, September 07, 2010

Esah, Selamat Hari Raya. Ikhlas Dari Mat Bon.

"Abang.. abang.. ada kad raya" laung adik Mat Bon yang bongsu. Sambil melonjakkan sampul putih bersaiz besar ke udara.

Mat Bon senyum. Dia tahu. Esah pasti membalasnya. Esah mungkin jual mahal pada cintanya. Tetapi hati Esah tidak menyingkirkan Mat Bon.

Dua minggu selepas berpuasa. Mat Bon dah mulakan misinya. Seperti tahun-tahun terdahulu. Mat Bon redah ibukota cari kad raya dengan titipan kata-kata yang terbaik. Cuma tahun ini, agak sukar nak cari kad raya. Dah tak ramai yang menjual. Pelik. Mercun terlarang banyak pulak dijual. Mungkin sebab orang dah ucapkan selamat kat fesbuk, sms atau guna blog sahaja.

Mat Bon beli kad raya yang besar sekali. Ada lagu raya dendangan Siti Nurhaliza. Juga lampu berkelip-kelip. Mat Bon tak lupa semburkan minyak wangi. Tak main la setakat taruk bedak. Itu budak-budak.

Mat Bon dapat alamat Esah dari majalah tahunan fakulti. Bukan tak boleh beri secara serahan tangan. Mat Bon ingin beri kejutan pada Esah. Kepulanagn Esah ke rumah mak ayahnya bakal disambut dengan kad raya Mat Bon. Mak ayah Esah pasti bertanyakan tentangnya, pengirim kad yang romantik itu.

Mat Bon tak lupa. Tulis nama dan alamatnya di belakang sampul surat. Biar semua ahli keluarga Esah tahu. Tanpa membuka sampul itu, siapa pemuda romantik itu. Dan Mat Bon berharap. Esah sudi balas padanya. Seperti alamat tertera di belakang sampul itu.

Lamunan Mat Bon terhenti. Sebaik adiknya menyerahkan kad raya bersampul putih itu.

 "Bang. Posmen kata kad nie dipulangkan sebab penerimanya dah berpindah rumah"

Khamis, September 02, 2010

BIskut Raya atau Biskut Puasa

Ada seminggu lebih lagi untuk berpuasa. Sebelum kita menyambut hari raya. 1 balang kuih tat dah abis.


"Bang.. tu stok raya la bang" tegur awek che'gu tika aku usung balang kuih tat ke depan tv


"Abih tu. Awal sangat awak buat. Mana tahan. Peberet nih"

Selasa, Ogos 31, 2010

Cerita Dari Surau Kecil

Imam Hassan menoleh ke sisi. Memandang tepat ke arah Bilal Kassim. Cuma mereka berdua Zuhur itu. Dah lebih 15 minit mereka menunggu. Selepas laungan azan dikumandangkan, tiada tanda penghuni taman itu akan menuju ke surau. Suasana yang berbeza sekali di awal Ramadhan. Surau itu kelihatan amat kecil sekali dengan jemaah yang melimpah sehingga ke luar kaki lima surau.

Usai solat dan berzikir, mereka berdua mengemas sendiri. Pintu surau ditutup rapat. Tidak berkunci. Kemungkinan ada tetamu yang datang singgah untuk bersolat. Mereka tak mahu jadi penghalang pada mereka yang ingin menunaikan kewajipan. Biarlah pengunjung ke surau itu tenang bersolat di dalam dewan solat. Bukan sekadar di beranda yang boleh mengelirukan arah sebenar kiblat jika tidak diperiksa betul-betul.

"Kemana ahli kariah taman kita nie yer" tanya Imam Hassan. Inginkan kepastian. Jarang benar mereka berjemaah berdua sahaja. Dalam hujan lebat pun, pasti ada sekurang-kurangnya setengah baris. Siak Taib pun tak kelihatan. Selalu sebelum Zuhur dia dah ada membentangkan sejadah.

"Ada rombongan menyaksikan perarakan merdeka dari taman kita. Selepas Subuh tadi dah ada bas menunggu kat depan pondok rukun tetangga. Ramai jugak yang pergi. Katanya lepas Zuhur baru bertolak pulang" balas Bilal Kasim. Dia tahu. Anak dara suntinya pun ikut sekali dalam rombongan. 

"Anak-anak muda pastinya baru nak membuka mata. Subuh tadi baru balik dari ibukota. Menyambut kemerdekaan kononnya" tambah bilal Kasim. Dia bukan menuduh. Anak bujangnya Seman juga begitu. Sebelum ke surau tadi, sempat diketuknya pintu bilik anak bujangnya yang masih berdengkur biar matahari dah meninggi. Hari ini hari merdeka. Hari cuti. Yang tidak pergi menyaksikan perarakan merdeka bermalas-malasan di rumah sahaja. Ada juga yang keluar ke pekan. Sibuk dengan persiapan raya.

"Itulah orang kita. Bila bangsa lain datang ke rumah ibadah kita, cepat benar melentingnya. Baguslah, masing-masing ada semangat dan sayangkan agama. Tapi diri sendiri tak nak datang. Cukup liat nak menjejakkan kaki. Tak bersedia nak memakmurkan surau dan masjid. Marah bila ada yang mempertikaikan laungan azan. Tapi kita sendiri leka dan tidak endahkan seruan azan". Imam Hassan kesal bercampur geram. Peranannya sebagai imam masih belum disempurnakan. Dia berdoa. Moga baki Ramadhan masih boleh berikannya harapan.

Ahad, Ogos 29, 2010

Ramdhan: Jangan Lupa Tukar Hidangan Dengan Jiran. Kasi Muhibbah Sikit

Masa dekat Universiti. Kami tinggal rumah sewa bujang. Jiran kami. Awek-awek universiti. Juga bujang. Anak dara lah maksud aku.

Dan nama berjiran, pasti saling bantu membantu. Bulan puasa, awek-awek universiti merangkap jiran tu ada la hulurkan kuih. "Buat sendiri nie" kata mereka.
Kami. Terima dengan ikhlas. Orang memberi kita merasa.

Sebagai jiran yang baik. Kami sediakan balasan. Agar-agar sirap. Cuma kami tak ada bekas yang sesuai nak letak agar-agar tu. Masa tu, belum ada yang join party tupperware lagi. Kami bikin agar-agar sirap dalam jag plastik. Jag punya lah tinggi, tapi agar-agar cuma 2 inci tinggi. Pandai-pandailah jiran kami tu nak makan macam mana. Kata siswi universiti. 

Nota:
  1. Masa hulurkan agar-agar dalam bekas jag tu, aku terbayang cerita gagak kena masukkan batu untuk minum air.
  2. Idea Mat Yie lagi hampeh. Konon kreatif la tu letak hirisan cili besar atas agar-agar. Awek-awek tu mengadu "Agar-agar dah la susah nak makan, pedas lak" 

Jumaat, Ogos 27, 2010

Hari Di Mana Orang Selangor Keluar Membeli Belah

Hari ini hari Jumaat. Ibukota Kuala Lumpur sesak. Berbanding selalu.

Err... 
Ada Pesta Jualan Murah ker...
Atau penutupan jalan sempena raptai kemerdekaan..
Atau ada kemalangan di lorong sempit
Atau ada paip bocor
Atau kerja-kerja penurapan jalan yang hari ini tampal minggu depan berlubang balik

Ooo... 

Hari ini hari Jumaat. 17 Ramadhan 1431. 
Selangor cuti Nuzul Quran. Kuala Lumpur yang sesak.

Rabu, Ogos 25, 2010

Semangat Raya Dah Mari

Abang-abang kerja gomen baru nak senyum. Dapat 'duit raya' boleh servis kereta. Bayar hutang kad kredit.

Isteri-isteri lagi cepat tersenyum. Dan sudah berkira-kira. Warna langsir baru. Corak kusyen yang lebih kontemporari. Katalog jualan murah mewarnai hati.

Sabtu, Ogos 21, 2010

Manisah Dan Oren Sunkist

Manisah, anak bongsu dari lapan beradik dalam keluarga Pak Abu. Manisah binti Abu hari ini baru berusia lima tahun. Manisah tidak berpuasa. Manisah belum diajar lagi tentang kewajipan berpuasa. Pernah juga sesekali diceritakan Pak Abu pada Manisah tentang amalan berpuasa, bila Manisah asyik bertanya. Kenapa perlu tunggu azan untuk makan. Padahal selama ini, tiada siapa pernah pedulikan tentang azan. Bila tiba Ramadhan, azan tiba-tiba cukup penting dalam kehidupan keluarganya.

Manisah walau tak berapa faham pengertian puasa suka dengan kehadiran Ramadhan ini. Hujung minggu rumahnya pasti penuh bila seisi keluarga berkumpul berbuka bersama. Pasal hidangannya usah cakaplah, air sahaja ada tiga warna.

Hari ini. Pak Abu beli buah oren sunkist. Ada sepuluh biji semuanya. Manisah suka oren sunkist. Masam manis. Kaya dengan vitamin C (kata iklan kat tivi). Bukan sahaja Manisah. Seluruh keluarga Pak Abu suja akan oren sunkist. Lebih-lebih lagi tiga orang anak terakhir Pak Abu. Termasuklah Manisah.
Manisah walau baru berumur lima tahun pandai juga ilmu kira-kiranya jika dilihat dari cara dia mengagihkan oren sunkist itu untuk setiap ahli keluarganya.

"Sorang satu kan abah" ujarnya pada Pak Abu yang tersenyum melihat Manisah begitu seronok menjinjing beg plastik berisi oren sunkist.

Manisah hari ini tidak berpuasa. Segera dimakannya sebiji oren sunkist bahagiannya. Manisah belum puas. Mula-mula dimakannya bahagian Pak Abu juga Mak Abu. Selepas mereka benarkan Manisha mengambil bahagian mereka. Dan juga dua biji lagi. Dan oren sunkist menjelang petang itu cuma berbaki 5 biji.
"Eh, macam mana nie" tegur kakak Manisah. Anak Pak Abu yang ketujuh.

"Ala... kita kongsi la. Dua orang sebiji" balas Manisah yang nyata belum puas makan oren sunkist.

Khamis, Ogos 19, 2010

Hujan

Kuala Lumpur. Seringkali hujan di petang hari. Azmi tahu, petang itu dia tidak berkesempatan berbuka bersama isteri lagi. Kesesakan di Kuala Lumpur semua orang tahu. 

Azmi tidak mengeluh tentang hujan. Dia tahu ada rahmat dalam hujan. 

Sebaik sahaja kedengaran azan dari corong radio kereta, Azmi turunkan tingkap keretanya. Menadah tangan seketika di luar. Dan meneguk air hujan yang ditakung.

Selasa, Ogos 17, 2010

Dah nak masuk seminggu kita berpuasa

Tapi masih lagi kedengaran frasa

"Aiseh"

"Alamak"

Sambil tepuk dahi.

Ahad, Ogos 15, 2010

Berbuka Puasa Dengan Mak Utih

Mak Utih cukup seronok. Petang itu, anak-anaknya akan balik berbuka puasa bersama. Bukan selalu dapat kesempatan begini. Walaupun jarak antara rumahnya dan anak-anak tidaklah jauh sangat, jarang dapat mereka bersama. 

Anak Mak Utih 8 orang semuanya. Kesemuanya dah bekerja dan punyai keluarga tersendiri. Ada yang berpangkat dan bergaji besar. Ada yang jadi isteri kepada suami yang bergaji dan berpangkat besar. Ada yang baru mula berjinak-jinak meniaga kecil-kecilan. Ada yang gaji sekadar cukup makan dan pakai sahaja.

Pagi-pagi Mak Utih dah telefon. Minta pulang berbuka puasa bersama. Kesemuanya mengiyakan harapan ibu mereka. Dan sempat juga berpesan tentang makanan kegemaran masing-masing.

Petang itu. Jelas semuanya dalam keadaan ceria. Dapat berkumpul bersama berkongsi -cerita. Cucu-cucu Mak Utih yang sesekali bertemu sesama meraka mudah benar mesra. Kejap bermain. Kejap terdengar suara tangisan. Kejap terdengar suara hilaian menyambung semula permainan.

Mak Utih dari pagi sudah mula memasak. Setiap hidangan kegemaran yang dipesan anak-anak kesayangan disediakan. Tak seorang pun dihampakan. Tak seorang pun dilupakan.

Masa berbuka. Mak Utih jamah sedikit sahaja. Katanya, perutnya sudah kenyang tatkala melihat kesemua anak-anaknya pulang berbuka bersama. Minggu depan kemarilah lagi. Mak Utih sunyi berbuka berdua sahaja dengan Pak Utih, yang banyak berdiam sepanjang kepulangan anak-anaknya kali ini.

Pak Utih sempat menitipkan pesanan bersulam sindiran ketika anak-anaknya bersalaman untuk pulang, "Penat Mak kamu sediakan, 8 juadah kegemaran untuk setiap seorang dari kamu. Minggu depan jangan lupa juadah untuk mak kamu pula"

Masing-masing baru tersedar. Tak siapa pun datang bawa juadah kegemaran Mak Utih. Entahkan ada yang tahu atau tidak juadah kegemaran Mak Utih. 

Ramadhan kali ini. Ada pengajaran lagi buat mereka.Untuk terus berfikur dan mentafsir.

Khamis, Ogos 12, 2010

1 Ramadhan Buat Azmi

1 Ramadhan. Hari ini hari pertama. Azmi berbuka puasa berdua bersama isteri tercinta. Bukanlah tidak pernah mereka berbuka puasa berdua sebelum ini. 5 tahun berkawan, tiap kali Ramadhan pasti mereka aturkan masa untuk berbuka puasa berdua. Selalunya di restoran terkenal di ibukota. 

Cuma kali ini, mereka berbuka puasa sebagai suami isteri. Bukan tak mampu nak berbuka puasa di restoran terkenal ibukota, tetapi bila lagi Azmi nak merasa masakan isteri. Bulan puasa ni, Azmi mengidam macam-macam. Isteri setia untuk menunaikan. Tak tahu masak boleh tanya pada mak aatau belajar dari buku, majalah masakan atau internet. Atau tonton sahaja rancangan masakan yang banyak bersiaran di bulan Ramadhan ni.

1 Ramadhan. Hari ini hari pertama puasa. Dan Azmi berbuka dengan sebiji kurma. Dalam keretanya. Yang terperangkap dalam kesesakan jalanraya di ibukota.

Rabu, Ogos 11, 2010

Ramadhan Dah Bermula.

Insan paling jadi tumpuan malam tadi, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah dah buat pengumuman


"1 Ramadhan 1431 H bersamaan dengan 11 Ogos 2010"


Dari kecil sampai besar, aku selalu tertunggu-tunggu 'scene nie'. Pengumuman puasa dan hari raya. Walaupun kalender dah buat jangkaan tarikh mula puasa dan raya, tapi pengumuman rasmi dari Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja tetap juga dinanti orang.


Jadi, jangan ada yang buat-buat lupa. Selamat Menjalani Ibadah Puasa.


Trivia:
1. Antara cita-cita aku masa kecil, nak jadi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Kata mak ketika memberi semangat aku untuk berpuasa masa kecil-kecil dulu "Kena rajin puasa kalau nak jadi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja". 


2. Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah dah jadi Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dari aku kecil sampai sekarang. 

Isnin, Ogos 09, 2010

Gelap.

Selalunya, dia tak layan panggilan dari juru jual. Baik lelaki mahupun perempuan. Mereka yang bermulut manis itu hanya tahu nak kikis duit sahaja. Cuma, kali ini dia terjerat juga. Atau benar itu hari tuah buatnya seperti kata juru jual di talian itu.

"Encik. Sekarang promosi pasang beyond. Pelanggan sedia ada kami tawarkan pemasangan percuma bernilai RM199. Bulan-bulan cuma tambah RM20 sahaja. Siaran lebih jelas. Masa hujan pun tetap boleh tengok"

Seketika dia mengelamun. Memang dia tahu, dari cerita rakan-rakan, nak pasang ASTRO sekarang caj pemasangan RM199. Kamu langgan pakej beyond itu cerita kedua. Sekarang dia boleh dapat semua itu secara percuma.

Dia teringatkan hutang kad kredit. Dan berbulan dia cuma bayar caj minimum sahaja. Duit kereta. Bulan ni sahaja, dah dua kali awek bank telefon. Bil utiliti pun dah banyak tunggakannya. Kecuali air. Yang tiada tunggakan. Itupun sebab Kerajaan Negeri Selangor bermurah hati bagi percuma. Walhal dia bukan anak Selangor yang mengundi di Selangor, bahkan belum mendaftar pun sebagai pengundi. Dia cuma mencari rezeki di sini... Err.. tidak juga, dia bekerja di Kuala Lumpur, cuma tinggal di Selangor. 

Apalah bezanya RM20 ringgit dengan beban hutang yang ditanggung selama ini. Ini cabaran hidup di bandar. Biar papa asal bergaya.

Itu cerita minggu lepas. Penuh dengan lamunan dan kerisauan di sana sini. Minggu ini, ia sepatutnya lebih menarik. Baru semalam orang datang panjat bumbung rumahnya. Gantikan piring baru dan dekoder beyond. Kata mereka, dalam 24 jam, siaran dah diaktifkan.

Hari ini dia pulang kerja penuh kegembiraan. Layan HBO dalam versi HD mesti mengujakan. Namun lamunannya terhenti tatkala dia memetik suis usai memasuki rumah. Baru sahaja dia nak mencarut pada TNB, dia terpandang pada notis warna kuning pemotongan bekalan elektik atas meja makan. Dan seminggu notis itu di situ. Malam itu, dia cuma melihat bintang.

Khamis, Ogos 05, 2010

Entri Menantu Pemalu

Hujung minggu. Kami memenuhi jemputan kenduri di rumah sedara. Sebelah awek che'gu. Ramai juga yang hadir. 

Dalam suasana ramai dan gamat dengan usiakan dan sapaan di sana sini, aku cuma berdiam diri sahaja. Walaupun turut sama dalam lingkungan saudara mara yang kebanyakannya lebih berusia berborak, aku tidak berkata walau sepatah. Sesekali tersenyum bila ada yang membuat lawak. Segan ada. Tak tahu nak borak pun ada. Kalau ada blackberry, mesti layan fesbuk jer masa tu. Aku cuma menjadi pendengar yang setia. Pada setiap celoteh mereka.

Sekali sekala. Aku ke meja hidangan. Makan. Dan makan. Pasal ini, aku tak segan (haha).

Aku tengok budak-budak kelam kabut nak cedok lauk. Aku cuba jadi 'abang-abang'. 

"Adik nak bahagian mana ayam nie"

"Chopstix bang.. chopstix.. "

Aku diam. Berfikir... "Ooooohhh... drumstix lah"

 

Selasa, Ogos 03, 2010

Mak Utih Datang Ke Kuala Lumpur

Matahari dah makin meninggi. Udin masih di atas katil berbaring penuh kemalasan. Hari Ahad. Sememangnya diperuntukkan hari untuk dia berehat. Bermalasan. Tidak berbuat apa. Kecuali makan. Dan menonton cerita CSI di saluran AXN. Mandi. Jika perlu sahaja. Jika ia jadi kewajipan pada hari itu.

Jam dah pukul 10 pagi. Suara isteri yang sibuk melayan keletah anak di hujung minggu sekadar berlegar di cuping telinga. Tidak cukup untuk menguatkan semangatnya untuk bersama dalam keriuhan itu. Cuma deringan telefon dari Blackberrynya cukup membingitkan. Berkali-kali. Tanpa henti ia mengganggu tidur Udin pagi itu. Telefon yang sama jadi kebanggaan buatnya ketika melepak bersama kawan-kawan.
Bunyi yang terakhir dari Blackberry menandakan ada pesanan ringkas yang masuk. Kali ini dia bangun. Mencapai Blackberry kesayangan. 

"Sayang......" tiba-tiba Udin menjerit. Mata kecilnya sudah dibuka luas tatkala menatap paparan skrin Blackberry.

"Mak Utih nak singgah ke rumah la pagi ini. Cepat. Kemas rumah. Err.. lauk apa ada untuk buat sarapan atau makan tengah hari ni"

Udin lupa. Dah beberapa hari mereka makan di luar sahaja. Mana ada lauk dibelinya lagi. Asyik dibilang tak sempat sahaja. Udin lupa. Atau buat-buat lupa. Dia dah berjanji nak ke pasar tani pagi ini.

Udin dah kelam kabut. Berus gigi, cuci muka terus capai kunci. Udin lupa untuk mandi. Yang jadi kewajipannya hari itu. Dia perlu segera ke pasar sebelum Mak Utih sampai. Mak Utih sekeluarga pasti belum bersarapan. Atau sekadar sarapan sekadar alas perut sahaja. Kerana sebelum Subuh mereka dah bertolak dari kampung. 

Baru sahaja Udin menghidupkan enjin keretanya. Mak Utih dah memberi salam di pintu pagarnya.

"Kamu nak ke mana" tanya Mak Utih sambil mereka bersalaman.

"Err.. cari sarapan Mak Utih. Kami tak sempat nak buatkan sarapan. Lagipun selalunya kami beli jer. Tinggal 3 beranak ni lebih mudah bersarapan di luar"

"Eh.. dah pukul berapa nie. Ada lagi ker dijualnya"

"Kolumpo Mak Utih. Pukul 11 baru mula nak rancak penghuninya cari sarapan pagi Ahad macam nie"

(errr.. sambung nantilah... penat + idea lari la pulak)



Ahad, Ogos 01, 2010

Hilang Rasa. Tinggal Tanda Tanya.

"Awak jarang menulis kebelakangan ini"

"Iya. Mungkin kerana saya banyak bercakap"
"Bila bercakap, awak tidak boleh menulis"

"Banyak bercakap, buat saya kurang mendengar. Tidak menjadi pendengar membataskan ilham saya tentang cerita yang boleh disampaikan"
"Bukankah dengan bercakap, meluahkan rasa akan mencetuskan idea dan memulakan pendebatan tentang suatu perkara yang boleh dijadikan cerita"
"Mungkin bagi kamu. Tidak untuk saya. Tanpa mendengar, sukar untuk ditafsirkan apa yang tersirat. Pekikan hati kedengaran umpama bisikan halus di telinga"

Kadang-kadang. Kita perlukan kesunyian. Untuk mendengar suara hati sendiri dan mereka di sekeliling kita. Maaf kawan. Andai bicara kamu tidak diambil endah. Aku masih belajar. Mengenali diri sendiri.

Khamis, Julai 29, 2010

Menjelang Ramadhan

"Awak tak mengidam kan" tanya aku pada awek suka kucing. Dengan penuh sopan dan santun. Iyalah. Orang yang mengidam selalu dikaitkan dengan mengandung. Pembawakan budak. Dan mereka ini mudah tersentuh. Sensitif.

"Isshhh.. ngko jangan buat spekulasi Mat"



"Abis tu. Dari pagi tengok asyik makan jer.  Nie tengah hari layan makanan cara omputih nie. Lain macam selera"

"Oooo.. aku dah abis ganti puasa. Kira cam raya awal la nie"


Iyaaa.. Bagi yang belum sedar. Ramadhan dah hampir tiba. Bila mana gadis-gadis nakal, awek-awek manja, perempuan-perempuan melayu terakhir, juga para solehah berusaha lunaskan hutang puasa. Bersemangat hari demi hari.


Err abang-abang nakal, kalau ada yang tertinggal jangan buat-buat lupa. Masih ada masa.


Selasa, Julai 27, 2010

Ubat II

Aiseh. Dah lebih setengah tahun. Azam nak tambah berat belum menampakkan tanda kejayaan. Lelaki yang suka pakai stetoskop tu bagi aku ubat. Tambah selera makan. Tapi tak jalan. Selalu aku miss makan ubat.


Aku rasa. Aku nak cari ubat. Yang boleh tambah selera makan ubat. Baru jalan.

Ahad, Julai 25, 2010

Rindu Pungguk Pada Bulan

Kata Pungguk.
Ia rindu pada bulan.
Yang bersembunyi di balik awan.

Tunjukkanlah dirimu bulan.
Sinarilah dunia ini dengan terang.
Dari cahayamu yang gemerlapan.

Malam makin kelam.
Tanpa kamu sebagai teman.

Rabu, Julai 21, 2010

Yang Penting, Manis Itu Ada (Haha)

"Susah kan jadi orang cantik nie" keluh awek suka kucing di suatu pagi.

Sudah. Dia dah buat dah. Pagi-pagi mengheret aku ke persoalan yang penuh emosi nie. Setengah minit pertama aku masih berdiam. Memikirkan reaksi terbaik. Aku tak pasti. Orang cantik itu merujuk kepada orang lain atau cerita tentang dirinya. Tersalah tafsir buruk padahnya. Hati kawan harus dijaga. Benar. Kita perlu berterus terang. Ikhlas. Tapi siapa sanggup dengar cacian. Siapa yang tak suka pada pujian.

"Engkau macam mana Mat" sambung awek suka kucing lagi. Kali ini dia benar-benar mengheret aku ke dalam kancah persoalan emosinya pagi itu. Mungkin dia nak tahu bagaimana aku berhadapan dengan masalah menjadi orang cantik, atau kacak jika ditukar pada jantina lelaki.

"Err, aku.."  Belum sempat aku habis ayat, awek suka kucing menyampuk lagi. 

"Kau mesti tak der masalah atau rasa rimas orang sekeliling asyik pandang jer bila ngko lalu kan. Tak perlu rasa malu-malu jadi perhatian dan tarikan orang sekeliling"

Cheh. Tak berlapik langsung. Direct to the point saja. Tak jadi aku nak beri komen.

Selasa, Julai 20, 2010

Rahsia Masak Char Kway Teow Siri Dua

Akhirnya, dia akur juga untuk ajarkan cara makan masak Char Kway Teow pada kali ketiga kami bertanya tentang resepinya.

"Char Kway Teow yang sedap ada 3 rahsia" kata kawanku memulakan sesi demostrasi petang itu di dapur bujang kami.

"Pertama. Char Kway Teow kena masak sekali untuk setiap hidangan. Kalau ada 3 orang nak makan, 3 kalilah kena ulang masak. Tak boleh sekaligus". Sepantas kilat dia tumiskan bawang putih, bawang besar dan cili blender. Bila dah naik bau sikit, dicampakkan pulak udang dan kerang.

Tak sampai 5 minit Char Kway Teow pertama kami siap.

"Kedua. Char Kway Teow kena makan masa panas-panas. Tengah berasap lagi. Kalau udah sejuk, memang tak 'masuk' punya" ujar kawan sambil sendukkan Char Kway Teow ke dalam pinggan. Dan terus bersila depan tv.

"Eh. Takkan ngko jer. Char Kway Teow kitaorang macam mana"

"Ha... itu rahsia no tiga. Anak murid kena masak sendiri. Tak boleh cilok sifu  punya"

Cheh. Dan Char Kway Teow pertama hasil air tangan kami dah macam Kway Teow goreng jer. Petang tu, kami cuma ambil bau saja