Jumaat, Oktober 31, 2008

Raya: Ada Lagi

“Selamat Hari Raya, Kemat” sapa kawan aku. Kami bertemu di masjid. Usai menunaikan solat Jumaat tadi. Memang lama benar sudah tidak ketemuan.

”Eh... raya mana pulak nie. Syawal dah abis la”

“Eh yer ker. Bukan hari nie baru 31 hb”. Yakin benar dia dengan tarikh itu. Yelah kalau udah 1 Oktober bersamaan dengan 1 Syawal, maka pastinya Syawal masih ada lagi jika Oktober belum berganti.

“Masa bila pulak kalender Islam ada 31 hari dalam sebulan. Kalau tak 29 hari, 30 hari jer”

"Aha. Tak perasan lak aku. Semalam la Syawal terakhir ek”

"Apa pulak. Hari nie dah 2 Zulkaedah pun”

"Ulpsss...”

Nota kaki: Abis tu kuih raya berbalang kat rumah tu aper cerita.....

Khamis, Oktober 30, 2008

Serawa Labu Tanpa Melamin

Awek che’ gu yang dah sarat tak lagi berselera nak berjalan-jalan ke pasar malam. Cuma memesan sahaja. “Carikan tembikai susu” pintanya.

Aku pulang. Setengah jam selepas itu. Membawa bersama labu di tangan.

“Eh, mana tembikai susunya. Kenapa labu pula yang dibeli nie”. Mungkin awek che’gu syak aku tersalah beli.

"Out of stock” kata aku dalam bahasa omputih. Sekali sekala tunjuk skill cakap bangsa asing. Mungkin ketiadaan tembikai susu di pasar malam ada kaitan dengan isu melamin dalam susu. Penjualan tembikai susu pun menurun ekoran tiada permintaan dek kerisauan pada melamin.

"Dan labu nie.... nak masak apa”

“Serawa Labu lah” (juadah kegemaran aku)

“Tahu ker nak masaknya” Awek che’gu dah tak larat nak masak lebih-lebih. Sekadar syarat dan yang utama sahaja sekarang ini.

Aku mana tau. Penyelesaiannya....

Pagi Sabtu, aku balik rumah mak di Sg Buloh. Sambil hulur labu pada adik pompuan, aku bisik "Ada orang mengidam serawa labu” dan terus berlalu.

Petang. Kami datang lagi. Serawa labu sudah tersedia sebagai juadah minum petang. 3 mangkuk aku habiskan.

”Cheh. Angah ker yang mengidam”

Rabu, Oktober 29, 2008

Masak: Resepi Rahsia

Aku. Kalau memasak lebih gemar gunakan bawang besar.

Awek che’gu yang sentiasa jadi pengkritik dan penasihat aku lontarkan soalan nie suatu hari. Mungkin setelah lama memerhati.

”Apa rahsianya guna bawang besar nie”

”Err.. sebenarnya malas nak kupas bawang kechik. Kena kupas 3-4 ulas. Guna bawang besar sebiji dah cukup”

”Cheh. Malas rupanya. Ingatkan ada petua tadi”

Jumaat, Oktober 24, 2008

Hari Di Mana Aku Akan Menjadi Ayah.

Entah apa akan jadi pada hari itu. Apakah aku tenang hadapi semuanya. Atau kelam kabut tak tentu arah. Entah di mana aku pada masa itu. Di pejabat masih bekerja. Atau sedang bercuti di rumah.

Aku mahu lalui segalanya pada hari itu dengan senyuman, wajah keriangan dan rasa kesyukuran. Aku mahu berada di sisi isteri menanti tanggungjawab dan amanah baru bersama. Segala yang indah tentangnya aku impikan. Saat manis itu tidak bermula pada hari itu sahaja. Ia bermula pada hari di mana aku menjadi seorang suami.

Dalam kehidupan bermasyarakat. Dikelilingi orang-orang yang prihatin dan sentiasa ingin mengambil tahu kehidupan kita, desakan soalan bila nak kahwin akan mula kedengaran bila memasuki usia ’dewasa’. Setelah selesai kamu ’berjabat tangan’ akan timbullah suara usikan nakal, bila lagi nak tambah keluarga.

Mula-mula kami cuma diam bila ditanya begitu. Tapi kami tak lupa untuk senyum. Sekurang-kurangnya kamu tak marah jika pertanyaan tidak mendapat jawapan yang dicari.

Bulan silih berganti. Kalau dahulu awek che’gu jauh disisi. Akhirnya dapat berpindah ke Tanah Semenanjung ini juga. Atau akhir-akhir ini mereka katakan ia Tanah Melayu. Macam dulu-dulu. Kepulangan awek che’gu ke sisi sememangnya berita yang menggembirakan. Walau ia mengurangkan alasan yang sering kami jajakan.

Kadang-kadang kami katakan saja, kami baru bercinta dan sedang menikmati alam cinta berdua. Kami tak bohong. Berdua lebih baik. Kata mulut. Hati???

Dalam soal jodoh, kami yakin walau begitu singkat perkenalan dan segera melangkah ke alam perkahwinan. Keyakinan yang sama kami tekadkan. Pada soal rezeki warisan. Doa yang tak putus. Siang dan malam. Menadah tangan mohon pada-Nya yang mengatur segala ketentuan.

Syukur. Rezeki kami tiba. Usia kandungan kini menjangkaui 8 bulan. Doa kami berterusan. Moga dipermudahkan. Menjalani kehidupan. Membina sebuah keluarga bahagia.


Khamis, Oktober 23, 2008

Nona Manis

Nona manis
Kebaya merah api
Sepatu merah hati

Nona manis
Tak lekang dengan senyuman
Menampakkan wajah redup penuh ketenangan

Nona manis
Jalannya berlenggok
Kiri dan kanan
Mata sekeliling asyik memandang

Nona manis
Rambut hitam panjang
Berolak diusik angin petang
Meninggalkan haruman igauan

Nona manis
Jumpa lagi malam nanti
Dalam mimpi

Rabu, Oktober 22, 2008

Tumpah

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Manis dan tersusun bunyinya peribahasa Melayu kita.

Tapi. Macam mana pulak aku leh tertumpah kuah ‘mee kari’ atas karpet tebal tuan umah ‘open house’ nie..

Alamak. Maaf Kak. Saya “TER”

Isnin, Oktober 20, 2008

Trendy

Yang menarik pasal Rumah Terbuka bukanlah makanan. Tapi peluang untuk berhimpun. Bukan senang kamu nak berkumpul. Masing-masing punyai komitmen tersendiri.

Dan dikesempatan itulah, selain bertukar cerita, kamu bertukar nombor telefon bimbit, kad nama. Dan ramai juga yang bertanya

"Ngko ada frienster"

"Ngko ada myspace"


"Ngko ada facebook"

Kata mereka. Ia sudah menjadi satu trend masa kini untuk kamu punyai akaun sebegini. Mudah untuk berkongsi maklumat dan perkembangan diri.

”Err... aku ada e-mail”. Takder siapa nak catit e-mel aku. Mereka lebih tertarik pada friendster, myspace, facebook juga akaun lain yang hampir serupa matlamatnya.

Aku rasa cam tak trendy plak. Mungkin aku dah tua agaknya.

Jumaat, Oktober 17, 2008

Kerja

Aku malas betul nak kerja akhir-akhir ini. Tiada keseronokan.

Kalau aku kaya. Tentu tak payah kerja. Leh goyangkan kaki jer.

Tapi kalau tak kerja.....
Camner nak kaya.

Rabu, Oktober 15, 2008

Eh Bukan Ker

Usai solat Maghrib, aku berkemas mau pulang. Hajatnya nak ke Chow Kit dulu, cari barang mak aku pesan.

Hujan yang tadi sudah reda tiba-tiba kembali lebat. Boleh saja aku redah dengan kereta hitamku. Entah kenapa kesejukannya merencatkan perancangan asal. Aku mundar-mandir di hadapan bangunan pejabat. Rasa lapar pulak.

Masuk 7- Eleven. Ingat nak cari roti. Sekadar alas perut di permulaan malam. Nampaknya megi gak yang menarik hati.

Dengan megi in my cup ditangan, aku bersandar berhampiran mesin ATM. Syok betul layan megi dalam hujan cenggini.

2-3 orang awek menanti bas tak jauh dari tempat aku asyik dok jeling jer. Ada sorang amoi tengah keluarkan duit pun dok usha aku. Mesti diaorang ingat aku dah sengkek. Raya punya pasal. Tengah bulan dah kena layan megi. Aahh.. tak kisah lah. Sekurang-kurangnya megi belum diisytiharkan ada melamin. Masih selamat dimakan.

Setengah jam lepas tu, hujan kembali reda. Aku terus gerak pergi Chow Kit. Nampak jer barang yang dicari, terus aku beli. Tanpa tawar dan banyak soal lagi.

Malam tu jugak. Balik rumah mak. Aku tunjukkan barang tu dengan penuh bangga.

”Eh... apehal la ngko beli daun kelapa nie. Saper lak yak nak menganyam ketupat nasi nanti. Daun palas la...”

Eh. Bukan ker. Aiseh. Aku lupa. Kami orang utara makan ketupat daun palas la... Esok kene pegi lagi la nie. Abis tu daun kelapa banyak-banyak nie nak wat aper...

Selasa, Oktober 14, 2008

Lima

1…
2…
3…
4…
5…

“Huh. Dah 5. Banyaknya”

“Apa plak banyak. Tak cukup kuota lagi tu”

"Nie bukan cerita pasal politik la. Ini cerita raya”

“Abis tu. Yang ko dok kira sampai 5 tadi”

“Aku dok kira baju raya dia. Dah 5 ari tengok dia pakai baju baru. Sah 5 pasang baju raya dia tahun nie”


Manisnya. Senyumlah-senyumlah, ahai cik mek molek.

Isnin, Oktober 13, 2008

Mengapa Singgah Kalau Tak Masuk.......

Ijam telefon. Nak singgah datang beraya. Kalau-kalau aku ada buat 'open house' hari ini. Katanya dah ada kat kawasan rumah aku. Damansara Damai. Aku bagitau rumah aku tutup hari nie. Kerana giliran aku pergi 'open house' rumah yang lain.

"Aiseh. Aku datang jauh-jauh. Ingat nak singgah. Ko tak der plak. Susah betul nak jumpa ngko nie" rungut Ijam. Cheh. Jauh apanya. Kat Bangi jer rumah dia.

"Abis tu ko tak tipon awal-awal. Aku pun kat kawasan rumah ngko gak nie. Kat Bangi"

"Ko lambat lagi ker" tanya Ijam.

"Naper. Kalau ko nak tunggu. Kasi aku satu jam. Sekarang gak aku gerak". Serius benar Ijam nak jumpa aku.

"Tak per. Kita jumpa kat Kajang jer"

1 jam selepas itu kami berjumpa kat gerai satay Kajang. Entah giler aper Ijam nie. Ajak aku beraya kat kedai satay. Alang-alang pergi jer lah kat rumah dia. Nasib dia yang bayar.

"Ala... kau pergi beraya pun orang jamu ketupat ngan kuah kacang nie gak. Sama jer la. Lagipun family aku tak der kat umah. Takkan aku nak jamu ngko air suam ngan kuih raya jer". Awal-awal Ijam dah sediakan alasan.

"Ko tak nak cari bini ker" soalan tipikal kepada mereka yang masih bujang. "Time macamnie na boleh lak tolong buatkan air sirap ngan goreng mee ker"

"Nah". Ijam hulur kad jemputan kat aku. Mencantas segala persoalan aku. "Jangan tak datang. Bawak hadiah sekali. Pastu tolong kasi sekali kat budak-budak yang selalu ngko jumpa"

Ooo.... patut la beriya benar nak jumpa aku.

Jumaat, Oktober 10, 2008

Kisah Raya Di Kota

Warga Kuala Lumpur yang menyepikan diri seminggu yang lalu kini kembali menukar suasana sunyi itu. Untuk kali yang ke berapa entah, masih akan ada yang beraya pada hujung minggu ini, hujung minggu depan sehinggalah kelihatan anak bulan Zulkaedah.

Kamu. Orang-orang di kota. Ke mana hujung minggu ini. Menanti kunjungan di rumah atau memenuhi undangan yang diterima.

Pesanan untuk

Penjual Lemang – Rezeki raya kamu masih ada menanti. Bakarlah lemang semanisya untuk pilihan tuan-tuan rumah.

Awek-awek manis – Elok juga kamu bertandang dengan baju kurung kamu yang berpasang-pasang itu. Bakal mak mertua kamu tak berkenan jika melihat ada yang terlebih singkat.

Ali – Kamu serius nak berbaju Melayu hujung minggu ini. Tak salah. Nak meriahkan suasana. Cuma yang lain-lain katanya nak berkemeja polos sahaja. Oh lupa. Hujung minggu ini kenduri kahwin kamu. Memang patutlah kamu berbaju Melayu.

Rabu, Oktober 08, 2008

Ceritalah Raya : Duit Raya

Tahun ini kali kedua beraya bersama awek che’gu. Kali nie lama sket. Yelah, tahun lepas awek che’gu masih di Sabah. Dan kali ini sempatlah kami beraya di rumah sedara mara awek che’gu di Mentakab.

Aku. Orang baru dalam keluarga ini. Kene tunjuk komitmen dan teladan. Anak-anak sedara, sepupu yang kecil semua dah pasang azam. Nak mintak duit raya dari aku.

”Eh, tak payah susah-susah. Jangan dimanjakan budak-budak nie” celah mak mereka tatkala aku mula menghulurkan sampul kecil itu.

”Tak per lah makcik. Biarlah budak-budak nie seronok beraya. Saya ikhlas nak bagi nie. Lagipun bukannya banyak pun. Singgit dua jer”

Aku tengok budak-budak tu seronok betul dapat duit raya. Senyum sampai ke telinga. Aku pun turut tersenyum memerhatikan suasana gembira nie. Sehinggalah terpandang sampul kecil yang telah bertukar tangan tu.

Apsal lain plak kaler sampul tu. Tersalah kasi ker. Tiba-tiba rasa ikhlas tu berkurangan plak. Hehe.

Isnin, Oktober 06, 2008

Ceritalah Raya

Atas sebab malas nak bangun pagi. Aku cuti hari nie. Apa barang kelam kabut bangun pagi mandi gi opis ari nie. Raya kan sebulan.

Namun, mungkin kerana aku nie suami mithali, kenalah jugak redah jammed pagi-pagi hantar awek che'gu ke sekolah. Biler dah segar nie, malas pulak nak sambung tidur balik. Terus jer lepak kat cc (walaupun lom mandi)....

Ingat aku sorang jer. Ramai gak budak-budak sekolah yang ponteng dok layan main game kat sini. Budak-budak nie. Menyorok kat sini ek. Aku report kat polis gak diaorang nie. Baru jer raya itu ari mintak maaf kat mak ayah, cikgu. Nak belajar rajin-rajin konon.

Tiba-tiba Man tipon. Ajak aku gi beraya. Cheh. Macam tau-tau jer aku cuti. Malaslah nak gi beraya.

"Mana ada orang beraya hari nie Man. Entah-entah depa posa 6 ker. Tunggu open house jelah". Aku bagi alasan.

"Ko nak makan lontong tak. Aku baru call Liza tadi. Dia cakap lontong semalam ada lagi. Tinggal nak panas balik jer"

Lontong. Liza. Cam best plak idea Man nie. (Liza awek yang cuba ngorat kitaorang suatu ketika dulu. Heheh. Tukar cerita sket. Apa kelas kitaorang yang mengorat. Tapi bapak dia garang sket. Sebab tu lah kot tak der orang berani ngorat Liza sampai sekarang)

"Err..bapak dia ada kat umah ker"

"Bapak dia kerja hari nie. Mak dia ada la kat umah"

"Wokeh. Kasi aku 45 minit. Balik mandi dulu. Jumpa kat umah ko nanti"

"Lamanya bersiap. Ko kat mana nie"

"CC"

"Ngan tak mandi. Cheh"

Rabu, Oktober 01, 2008