Ahad, Jun 06, 2010

Terima Kasih, Sayang.

Dua minggu sebelum itu. Aku lamar dia menerusi telefon. Gementar. Walau tak bersua muka. Bercakap di bawah bantal. Takut ada yang dengar. Walhal, aku bersendirian dalam bilik. Cuba menyorok emosi sebenarnya. Jawapan 'Ya' atau 'Tidak' banyak bezanya.

Dua minggu selepas itu. Aku ke Kota Kinabalu. Ada urusan yang membawa aku ke sana. Kota Kinabalu, sepanjang hari hujannya lebat, sebagaimana perjalanan aku minggu lalu ke sana. 

Jawapan yang aku dengar dua minggu sebelum itu. Cukup kuat untuk mengheret aku untuk melangkah lebih jauh. Ke Sandakan. Bekas pusat pentadbiran Borneo Utara kata cikgu sejarah aku. Mengharapkan cuacanya lebih ceria menyambut kedatangan aku.

Menaiki bas terawal pada pagi itu. Entah berapa jam perjalanan sebenarnya. Aku pun dah lupa. Yang pasti aku sampai sejam sebelum matahari Sandakan terbenam. Separuh perjalanan. Bas terhenti di kawasan pergunungan sekitar Kundasang. Ada tanah runtuh. Kata mereka, ia perkara biasa musim hujan ini. Dan kami menapak melintasi celahan antara runtuhan tanah menutupi jalan yang belum dibersihkan. Dan di seberang sana. Ada bas sedia menanti untuk meneruskan perjalanan.


Sandakan cukup asing padaku waktu itu. Tapi ia juga menjanjikan sebahagian dari cerita manis dalam buku kehidupan. Dari satu hotel ke hotel, aku menggalas beg. Mencari yang sesuai dengan bajet terhad ketika itu. Hinggalah tiba di lorong belakang. Ada suara menjerit dari atas.

"Kawan. Mau bilik. RM10 sahaja"

Bilik berlantai simen berdinding papan lapis nipis. Tuala jalur merah putih. Alas katil putih yang jelas warna kuning pudarnya menutupi  tilam dari jenis span 3 inci tebal. Kipas siling 3 bilah di tengah antara dua bilik. Gambaran rumah pelacuran dalam tabloid Harian Metro. Itu peneman tidur aku malam itu.


Tanpa banyak soal. Kunci bilik bertukar dengan kertas merah. 

Pagi keesokannya. Aku keluar dari bilik dengan meninggalkan kunci dalam peti surat dekat tangga. Sebagaimana pesan pemberi sewa bilik malam tadi. 

Dalam langkah yang deras, aku menuju ke perhentian bas. Dia akan tiba dengan bas mini warna biru. Kami tak berjanji warna pakaian. Masing-masing sudah saling mengenali. Tapi dia tiba dengan baju kurung warna hijau daun pisang yang paling anggun. Aku tampak selekeh sekali bila kami berpadanan di restoran menikmati roti canai di pagi hari. Cerita kami tentang Sandakan. Tentang Kuala Lumpur yang ditinggalkan. Tentang Pulau Pinang yang merakamkan sebahagian sejarah ini. Selebihnya. Sekadar bicara kosong tapi cukup manis untuk dilupakan.

Dua jam berikutnya. Kami dah berada kembali di hentian bas yang sama. Tiba masa untuk kami pulang. Dia kembali ke rumah sewanya. Aku ke lapangan terbang.


Dalam lambaian terakhir. Aku tanyakan lagi. 


"Benar awak sudi terima saya"

Dalam penerbangan ke Kuala Lumpur, aku lena dalam senyuman.

7 ulasan:

ayobkelubi berkata...

hehehe

selamat ulang tahun!

shasha berkata...

eehhhhhh????????????????????????????!!!!! confuse nih...
itu cerita bro kemat dgn awek che'gu dulu ke??

Tanpa Nama berkata...

salam ulang tahun bro.

ada simpan lg gmbar awek baju kurung hijau muda tu?

buat video la bro!

Tanpa Nama berkata...

selamat ulang tahun! :)

manis sungguh kisah cinta kemat..
...semoga bahagia sentiasa!

-mus-

Kemat berkata...

ayobkelubi:
tq

shasha:
sebahagian dari sejarah kami

tanpa nama:
D60 x leh rakam video la

mus:
:)

Serindit berkata...

we.... aku senyum baca cerita nih.. serius... mcm manis je bila baca

skidg8 berkata...

so lovely... ;)

Selamat Ulangtahun;)