Rabu, Jun 30, 2010

Yaaachhhh.....

Di Singapura. Meludah di tempat awam boleh menyebabkan kamu menerima surat cinta. Itu pesan kawan. Orang Johor yang sering berpoya di Singapura tika tengah kaya. Selalunya di awal bulan.

Ah. Di Malaysia atau di mana-mana pun pelusuk dunia, kamu tidak boleh meludah merata-rata. Ke langit apatah lagi. Takut jatuh ke muka sendiri. Cuma di Singapura, kamu dimomokkan dengan tindakan tegas pihak berkuasanya dalam usaha menjadikan Singapura bandaraya yang bersih.

Aku. Yang demam masih belum kebah sepenuhnya turut batuk sepanjang di Singapura. Batuk berkahak...

"Kahak nie. Camner.." tanya aku dalam sebutan yang kurang jelas. Mulut tak boleh buka. Ada kahak dalamnya.

"Aaaa... telan Mat.. Jangan ludah. Nanti kena saman" pesan kawan bersungguh-sungguh.

Selasa, Jun 29, 2010

Tiada Kisah Baru. Cuma Perkhabaran. Tentang Aku Di Luar Daerah.

Cameron sejuk betul. Maksud aku kat suhu dalam hotel di Cameron Highlands. Otak hampir beku. Idea untuk menulis pun tak leh nak keluar.

Aku tinggalkan Cameron. Menyeberangi Tambak Johor pula. Cerita tentang keduanya. Nantilah. Tunggu aku pulang dahulu. Sekarang masa untuk berkelana.

Khamis, Jun 24, 2010

Ubat

"Awak makan ubat nie sebelum tidur yer" kata awek jaga kaunter ubat tu.


"Err..berapa jarak sela masa antara tidur dengan ambil ubat nie"


"Jangan awal sangat. 15 minit sebelum tidur ker"


Dah 2 malam. Aku tertidur tanpa makan ubat.

Selasa, Jun 22, 2010

Nampaknya Kena Cakap Lembut-Lembut... Tak Boleh Jerit-Jerit Dah...

Siang tadi, kat kawasan pejabat, ada amoi seksi buat promosi cokelat tekak Dequadin. Aku tak minat nak beli. Amoi kata cuba dulu. Ada perisa baru. Aku ambil dua biji. Alang-alang dia bagi percuma. Lagipun tekak memang dah ada rasa tak selesa. Mungkin sebab dah masuk waktu makan tengah hari bagi orang yang kerja di pejabat di Kuala Lumpur nie. Tekak perlu dibasahkan di tengah hari yang terik.


Lepas makan tengah hari, suara dah makin garau. Macam budak baru baligh. Dan aku segera teringat akan amoi tadi. Maksud aku cokelat tekak Dequadin ditangannya.


Balik kerja, dalam kereta memang tak berapa selesa. Terperangkap dalam kesesakan jalan raya, aku tak boleh nak 'sing a-long' lagu Ramlah Ram. Suara tak berapa nak sampai. Aku tutup radio. Layan dikir barat Halim Yazid jer.


Wokeh... kalau esok korang ada terserempak dan tegur aku "Wah, Kemat... segak hari ini" dan aku hanya mampu balas dengan senyuman. Jangan kata aku sombong. Aku belum jumpa amoi cokelat tekak Dequadin lagi la tu...



Ikan Pekasam atau Pekasam Ikan

Awek suka kucing yang baru pulang bercuti berikan aku ikan pekasam. Beli di Tasik Raban katanya. Dia tahu aku suka ikan pekasam. Sebab pernah dulu minta dia belikan kat kampungnya. Cuma yang dia tak tahu, ikan pekasam terdahulu dah jadi pekasam kat laci meja paling bawah. Ntah macam mana leh lupa nak bawa balik rumah. Dah dapat yang baru baru teringat ikan yang lama. Alahai.

Isnin, Jun 21, 2010

Pisang Goreng atau Goreng Pisang

Hari Jumaat. Hari makan pisang. Itu misi kami. Masa kat menara gading dulu.


Berharap juga. Kot-kot ada yang nak sedekah buah durian ker, anggur ker, kiwi ker kat masjid pada hari Jumaat.


Hari itu. Rezeki kami lebih. Menunya tetap sama. Pisang emas. Tapi banyaknya bersikat-sikat. Apalagi, kami angkutlah bawah balik rumah. Hari-hari kami seterusnya diisi dengan aktiviti makan pisang. Bangun pagi makan pisang. Nak pergi main bola makan pisang. Nak masuk bilik air makan pisang. Nak tidur makan pisang.


Bila dah bosan asyik makan pisang begitu sahaja. Kami goreng.


Dan kami belajar satu perkara. Pisang emas cuma sedap dimakan begitu sahaja. Atau boleh sahaja dibuat cekodok. Tapi rasa lain macam bila digoreng.

Khamis, Jun 17, 2010

Aku Lupa Pesan Mak "Jangan Minum Air Ada Semut, Nanti Mudah Lupa"

Awek che'gu sms ringkas. Mintak belikan pampers Husna.

Balik kerja aku singgah pasaraya Giant. Aku tahu. Husna pakai yang pek warna ungu. Juga warna hijau bagi pull up pants. Dan saiz. Aiseh. Saiznya aku ingat-ingat lupa. Mungkin L. Atau XL. 


Keluarkan henpon. Guna talian hayat pertama. Tanya pada awek che'gu. Aiseh. Bateri kong. 


Talian hayat kedua. Cuba tanya pada awek jaga kaunter. Tapi dia hanya gelengkan kepala. Ah. Gadis muda. Belum teruja untuk ambil tahu hal hidup berkeluarga.

Talian hayat ketiga. Percaya pada kata hati. Aku ambil saiz L. Untuk pek yang warna hijau.


Sampai rumah. Awek che'gu geleng kepala. Macam awek jaga kaunter tadi juga. 

Wokeh. Sapa-sapa yang jemput aku kenduri kahwin hujung minggu nie, aku hadiahkan pampers pull up pants saiz L. Pendorong semangat kata orang.

Rabu, Jun 16, 2010

Abang Jaga: Belum Boleh Melawa Beli Kasut Hitam Belly Lagi.

Dah lama diidamkan. Nak ada motosikal sendiri. Mudah nak bergerak ke sana ke mari. Hajatnya tertangguh lagi. 

Nampaknya dia masih perlu bergantung harap pada perkhidmatan bas bandar sahaja. Yang kadang-kadang lambat. Sejam menunggu masih belum nampak kelibat. Yang kadang-kadang cepat. Baru terhegeh-hegeh nak pakai stokin kat depan rumah, bas dah lalu tinggalkan asap.

Dah dekat 3 tahun dia pegang lesen B2. Cuma helmet motor yang mampu dibelinya. Itulah aset nak buat modal tumpang bonceng kawan-kawan. Motosikal??? Memang bulan lepas dah usha motosikal second hand kat kedai Ah Keong. Kalau tengok buku bank, memang tak lepas lah nak angkat. Tapi ikutkan gaji baru yang akan naik Julai nanti, memang lepas nak bayar ansuran bulan. Ah Keong pun dah sudi. Simpankan motosikal itu untuk dia walaupun tiada cagaran pendahuluan.

"Gua tolong lu. Satu hari nanti lu tolong gua pulak". Entah bila dia boleh tolong Ah Keong dia pun tak tahu. Semangat 1 Malaysia dah meresap dalam jiwa Ah Keong gamaknya. 

Dia semakin rajin bekerja. Ronda kawasan kilang setiap setengah jam sekali di malam hari di kala orang lain dibuai mimpi. Tak macam dulu, dok kat pondok sambil dengar celoteh DJ radio. Pastu tulis kat buku, keadaan kilang seperti biasa. Tiada apa yang mengganggu.

"Apsal tak jadi pulak nak angkat motosikal"

"Tokey tengah pening tak cukup duit, nak tukar Mercedes mata belalang"

"Abis tu"

"Macam itu je lah. Persatuan Tokey-Tokey Syarikat Jaga Keselamatan belum puas rasa kaya. Kalau yang kerja jaga semua naik gaji, kononya mereka rugi"

Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan.


Jumaat, Jun 11, 2010

Kenduri Kahwin: Hadiah Buatmu

"Cheh. Kot yer pun nak kasi ubat nyamuk sebagai hadiah kahwin. Kasi la yang guna elektrik punya. Takkan lingkaran hijau nie kot" keluh sang pengantin. Di malam pertama sesi membuka hadiah.

Rabu, Jun 09, 2010

Yang Pahit Tentang Cinta

Bila. Ia mengkhianati kita.
Dan terus pergi tanpa bicara.

Selasa, Jun 08, 2010

Yang Manis Tentang Cinta

Semasa ia mula hadir. Ia hanya memberikan tanda. Antara sedar atau tidak. Dan hati mula tertanya-tanya. Resah sepanjang hari. Menunggu kepastian tentangnya.

Ahad, Jun 06, 2010

Terima Kasih, Sayang.

Dua minggu sebelum itu. Aku lamar dia menerusi telefon. Gementar. Walau tak bersua muka. Bercakap di bawah bantal. Takut ada yang dengar. Walhal, aku bersendirian dalam bilik. Cuba menyorok emosi sebenarnya. Jawapan 'Ya' atau 'Tidak' banyak bezanya.

Dua minggu selepas itu. Aku ke Kota Kinabalu. Ada urusan yang membawa aku ke sana. Kota Kinabalu, sepanjang hari hujannya lebat, sebagaimana perjalanan aku minggu lalu ke sana. 

Jawapan yang aku dengar dua minggu sebelum itu. Cukup kuat untuk mengheret aku untuk melangkah lebih jauh. Ke Sandakan. Bekas pusat pentadbiran Borneo Utara kata cikgu sejarah aku. Mengharapkan cuacanya lebih ceria menyambut kedatangan aku.

Menaiki bas terawal pada pagi itu. Entah berapa jam perjalanan sebenarnya. Aku pun dah lupa. Yang pasti aku sampai sejam sebelum matahari Sandakan terbenam. Separuh perjalanan. Bas terhenti di kawasan pergunungan sekitar Kundasang. Ada tanah runtuh. Kata mereka, ia perkara biasa musim hujan ini. Dan kami menapak melintasi celahan antara runtuhan tanah menutupi jalan yang belum dibersihkan. Dan di seberang sana. Ada bas sedia menanti untuk meneruskan perjalanan.


Sandakan cukup asing padaku waktu itu. Tapi ia juga menjanjikan sebahagian dari cerita manis dalam buku kehidupan. Dari satu hotel ke hotel, aku menggalas beg. Mencari yang sesuai dengan bajet terhad ketika itu. Hinggalah tiba di lorong belakang. Ada suara menjerit dari atas.

"Kawan. Mau bilik. RM10 sahaja"

Bilik berlantai simen berdinding papan lapis nipis. Tuala jalur merah putih. Alas katil putih yang jelas warna kuning pudarnya menutupi  tilam dari jenis span 3 inci tebal. Kipas siling 3 bilah di tengah antara dua bilik. Gambaran rumah pelacuran dalam tabloid Harian Metro. Itu peneman tidur aku malam itu.


Tanpa banyak soal. Kunci bilik bertukar dengan kertas merah. 

Pagi keesokannya. Aku keluar dari bilik dengan meninggalkan kunci dalam peti surat dekat tangga. Sebagaimana pesan pemberi sewa bilik malam tadi. 

Dalam langkah yang deras, aku menuju ke perhentian bas. Dia akan tiba dengan bas mini warna biru. Kami tak berjanji warna pakaian. Masing-masing sudah saling mengenali. Tapi dia tiba dengan baju kurung warna hijau daun pisang yang paling anggun. Aku tampak selekeh sekali bila kami berpadanan di restoran menikmati roti canai di pagi hari. Cerita kami tentang Sandakan. Tentang Kuala Lumpur yang ditinggalkan. Tentang Pulau Pinang yang merakamkan sebahagian sejarah ini. Selebihnya. Sekadar bicara kosong tapi cukup manis untuk dilupakan.

Dua jam berikutnya. Kami dah berada kembali di hentian bas yang sama. Tiba masa untuk kami pulang. Dia kembali ke rumah sewanya. Aku ke lapangan terbang.


Dalam lambaian terakhir. Aku tanyakan lagi. 


"Benar awak sudi terima saya"

Dalam penerbangan ke Kuala Lumpur, aku lena dalam senyuman.

Jumaat, Jun 04, 2010

Trivia Panjat Gunung.

Usai solat Subuh. Kami dah mula dengan aktiviti pendakian. Misi menawan puncak Angsi. Harap sempat tengok matahari terbit. Kalau tidak di puncak pun, di pertengahan puncak sudah memadai. Ini bukan kali pertama. Gunung Angsi dah biasa kami tawan. Cuma kali ini kami nak cipta kepantasan. Mendaki dalam waktu yang lebih singkat sambil simpan harapan nak tengok matahari paqi. Err... bukan sembah matahari yer.

Awal pagi. Air sungai Ulu Bendul sejuk sekali. Yang teramat sangat. Menggigil juga masa nak ambil wudhu. Mandi. Kemudian lah. Lepas turun dari pendakian baru mandi. Lagipun kami kena cepat-cepat mulakan pendakian.

Kecuali Lan. Bangun sahaja tidur. Sempat terjun dalam sungai.

"Woitt.. ngko tak takut sejuk ker. Kita kena cepat nie" 

"Aku bukan saja-saja mandilah. Tapi sahaja aku mandi..."

Cheh. Lan mimpi Sharifah Aini lagi lah nie.

Rabu, Jun 02, 2010

Kempen Jimat Tenaga

Bil elektrik dua tiga bulan ini memang lebih RM100. Orang TNB pasti suka baca kenyataan sebegini. Negara yang awal tahun dulu heboh untung sana sini pun leh bangkrap kalau terus beri subsidi. Mengambil pendekatan yang sama, aku dah rancang langkah belanja berhemah.

"Kita kena amalkan penjimatan tenaga. Kalau sekadar nak naik satu tingkat, elok gunakan tangga. Bukannya lif". Itu antara langkah perbelanjaan berhemah yang aku bentangkan. Belum ada unsur tarik subsidi lagi.

"Bang. Rumah kita 2 tingkat sahaja. Dan memang tiada lif". Celah awek che'gu. Membetulkan kenyataan.

Oh yer. Aku terlupa.

Nota Jimat Tenaga:
Tenaga elektrik yang digunakan bila kita  menggunakan lif (2 kali naik lif) bersamaan dengan tenaga yang diperlukan untuk menyalakan lampu 60 watt selama 1 jam.