Isnin, Julai 30, 2007

Bola Yang Disepak

Keupayaan Iraq mengungguli saingan Piala Asia seakan satu ejakan buat kita. Benarlah kedudukan rankingnya yang lebih tinggi dari skuad Harimau ini. Dan pemain2nya yang sudah berkelana dan merasai bermain di negeri asing. Namun, bukankah kita sudah merdeka hampir 50 tahun lamanya sedangkan mereka masih bertuankan Amerika Syarikat di bumi kelahiran sendiri.

Entah di mana silapnya. Pada acuan atau tangan yang membancuhnya. Di kampung sendiri, kita dipermainkan. Di gelanggang sendiri kita diperbudakkan. Kegemilangan silam seakan hilang. Harimau Malaya bukan lagi saingan. Ngaumannya sudah tidak menggerunkan tatkala kukunya tidak cukup tajam dan kuat untuk mencengkam.

Ada yang berputus asa. Terus melupakan saja. Katanya kita tak akan lagi kembali seperti dulu. Dan biarlah kita terus begini. Memalukan dan dimalukan.

Tunggu. Jangan diturunkan panji2 itu. Biarpun ia hampir rebah. Tapi kita masih boleh papah. Jangan dihentikan paluan gendang itu. Biarpun kini cuma mengalun perlahan. Dalam keperitan ada kekuatan. Dalam kegagalan ada kejayaan. Di celah kesempitan akan terbuka jalan.

Kalau pucuk di atas sudah bengkok. Mengapa tak dicantas pada umbinya. Tak ditegakkan pada perdunya. Tak dikuatkan akar tunjangnya. Atau kamu boleh saja semai benih yang baru. Jika kesabaran itu ada. Untuk kamu tuai hasilnya.
Lihatlah ke dalam diri. Mengapa sukan bola sepak tidak mendapat tempat di hati. Lupakah pada kisah hidupmu yang lalu. Bertahun yang lalu. Tika permainan bola sepak cukup kamu sanjung. Itulah permainan kamu bersama rakan di sebelah petang. Berlari2 atas batas sawah berkaki ayam. Hingga lewat Maghrib baru pulang. Dan ibu menanti dengan rotan sebatang. Kamu tak pedulikan semua itu. Dan jika ada perlawanan antara sekolah, antara kampung juga daerah, berpusu2 kamu ke padang. Biar tak kenal siapa kawan, siapa lawan, kamu tetap sanggup duduk menyaksikan.

Kini, siapa peduli jika ada perlawanan bola biar padang cuma sebelah rumah. Keluar pagi balik petang. Minat kamu sudah hilang. Pada sukan yang menjalinkan hubungan dengan teman satu taman, satu kampung, teman sepermainan.

Lalu, bila tika kamu kalah, kamu menyerah. Kamu tidak ingin cuba bangkit dari tersepit. Biarlah. Kata hati. Ini bukan sukan kita. Ini bukan dunia kita. Biarlah. Biarlah si Luncai terjun dengan labu2nya.

Benar kita kalah. Tapi jangan dibuangkan mimpi. Mimpi untuk menjadi juara. Suatu hari nanti. Mari. Lontarkan keinginan kita untuk melihat Harimau Malaya kembali di persada dunia. Dengarkan pada mereka tentang cita2 kita.

Ada yang perlu berubah. Ada yang perlu turun. Ada yang perlu naik. Ada yang perlu maju. Ada yang perlu ditinggalkan. Lakukan. Apa saja. Agar kita kembali berjaya. Agar kita mampu kembali menyepak bola. Dan tidak lagi membiarkan maruah ini disepak mereka.

Nota:
Seminggu yang lalu, aku cukup marah. Dengan tewasnya skuad bola negara begitu mudah. Tapi aku sedar, marah aku tak kan menjadikan skuad bola kembali gah.

Jumaat, Julai 27, 2007

Usah Kau Menangis Lagi

Sayangku
Usah kau menangis lagi
Aku kan setia menanti
Kepulanganmu di sisi

Sayangku
Usah kau menangis lagi
Takkan dimungkiri janji
Kerna namamu terpahat di hati
Bergetar dalam nadi

Sayangku
Usah kau menangis lagi
Kerna rindu ini takkkan jemu
Membakar cinta menagih rindu
Pada 2 jiwa yang bersatu
Menjadi satu

Sayangku
Simpanlah air mata itu
Kerana Ramadhan kan menyusul nanti
Munajat kita pada-Nya lagi
Moga terus diberkati
Dilimpahi rezeki
Hidup dan mati
Iman kekal di hati

Khamis, Julai 26, 2007

Sehari Selepas Gaji

Pagi2 ramai dah berdiri. Beratur dengan penuh disiplin. Tak macam masa nak naik bas atau lrt. Yang selalu berebut2. Tiada yang cuba nak potong barisan. Tak macam kat tol. Kete besar pun terhegeh2 nak potong barisan kat line tunai. Sehari dua nie, mesin ATM tu kerap benar dikunjungi. Mudah. Bak kata anak jiran aku, tekan2 jer dapat duit.

Selera juga seakan bertambah. Dulu nasi lemak kosong. Kini ada ayam kampung dan sambal sotong. Itu baru minum pagi. Tengah hari hentam nasi berayani. Malam2 ngadap kentaki.

Itu mereka. Kami masih sama. Duduk di kedai kopi sambil bercerita tentang mimpi. Mimpi jadi bos. Bos yang hebat yang kaya.

"Nak jadi bos, kene rajin berkerja. Bukan minum kopi sajer. Jom sambung kerja."

"Mamak!! Kira" jerit kami.
Dan masing2 keluar not RM50 untuk harga secawan kopi. Berebut2 duit dihulurkan kepada mamak kedai. Masing2 nak berbudi pekerti. Nak belanja minum pagi. Tengok. Sapa kata orang Malaysia tak pemurah. Nak belanja pun siap berebut lagi.

Pesan tok:
Awal2 gaji, jangan lupa bayar hutang. Hutang kete, hutang rumah, hutang kad plastik, hutang kawan, hutang pinjaman pelajaran.

Selasa, Julai 24, 2007

Sehari Sebelum Gaji

Pagi2 dah nampak mamat nie. Sorang2 jer. Beratur kat depan dinding. Yang akan keluar duit bila dicucuk ngan kad plastik.

"Dude, gaji esok baru masuk daa.."

"Oh.. tahu. Nie nak abiskan gaji bulan lepas. Senang cikit nak kira berapa kenaikan sebenar gaji baru"

Aku pun ikut sama. Beratur kat depan dinding. Yang akan keluar duit bila dicucuk ngan kad plastik. Kad dalam dompet yang ader cuma resit tol, kad biru yang ada muka mamat hensem, kad nak bawak kete, kad bank, kad hutang ngan duit kertas seringgit edisi lamer. Hajatnya nak dikeluarkan sedikit duit not2 merah. Lepas alas perut di pagi hari dan juga makan tengah hari. Makan malam leh balun nasi kat rumah jer.

Dinding tempat orang dok selalu beratur awal bulan tu ada tertulis

' Hanya wang dalam gandaan RM50 jer leh dikeluarkan'

Cheh.. dinding nie dah macam peniaga kedai di pagi hari. Yang muka selalu masam bila kau hulur not besar. Pagi2 tak pernah ader duit kechik.

Isnin, Julai 23, 2007

Puasa & Raya


Hari nie baru 8 Rejab. Ramai dah sibuk citer pasal raya. Tentang persiapan raya. Tentang baju. Tentang kuih muih. Tentang destinasi kampung yang dituju. Ada yang baru nak mula mencari dan tercari. Ada yang semua dah bersedia.

Hari nie baru 8 Rejab. Aku tak nak bercakap tentang hari raya. Cuma nak ingatkan sajer. Pada mereka. Juga diri sendiri.
Dah abis ganti puasa?

Khamis, Julai 19, 2007

Kering

Laju
Macam air
Mengalir
Tanpa henti
Tanpa disedari

Sehinggalah
Pada tika ia semakin susut
Sedikit demi sedikit
Dulu bukit kini busut

"Kering"
Kata anak2 muda itu
Bila ditanya tentang isi dalam dompet
Jawapan dipenghujung bulan
Bersama wajah yang masam

Akhir2 ini
Perbelanjaan melebihi pendapatan
Gara2 terpukau dengan hebahan
Paluan awal berita kegembiraan
Kenaikana gaji 3 bulan yang lalu

Dan Melayu itu mudah lupa
Alpa, leka dan suka bergaya
Kononnya diri sedikit kaya
Membayangkan durian runtuh depan mata

3 bulan dulu cuma perkhabarannya
Hakikatnya 'durian' masih di pangkal dahan
Menanti gugur penghujung bulan

Alahai..

"Mamak... kasi teh o suam satu. ..kurang manis aaaa..."

"Manis saja ka mau kurang, lagi tak mau ..."

"Hah.. kalau boleh. .. itu harga pun kasi kurang jugak laa..."


Ucapan tahniah untuk Anuar Hasin yang menjadi juara Akademi Al-Quran musim kedua. Dan juga pasangan adik beradik di tempat kedua dan ketiga. Pasti sejuk perut ibu yang mengandungkan mereka.

Selasa, Julai 17, 2007

Jadi Bos

"Kita mesti jadi bos" kata aku. Memulakan perbualan pagi di kedai mamak. Sambil mencicip teh tarik dari gelas kaca itu. Dan serentak yang lain semua bersetuju. Tak ramai. Kami berempat saja. Macam three musketeers. Eh itu baru tiga. Four musketeers.

Bukan sekali pendapat itu keluar. Impian tu dah lamer ada. Nak jadi ketua. Jadi bos. Sebab jadi bos nie best. Kononnya. Tapi kami terlupa tanggungjawab yang datang bersama gelaran bos tu. Tapi kami tetap tak kisah. Kami bukan memberontak. Jauh sekali nak merampas kuasa. Kami cuma nak jadi bos. Itu jer. Salah ker. Macam ahli politik juga. Yang sibuk cari peluang nak naik ke atas. Nak jadi ketua. Tak dapat jadi pemimpin tua. Jadi ketua golongan orang2 muda. Jadi ketua kepada mereka yang baru cukup umur 18 tahun pun dah ok dah.

"Tapi macam maner". Salah seorang dari kami bertanya. "Nak jadi bos macam Sivaji The Bos tu ker". Seorang lagi bertanya. Yang dok minum di sebelah kirinya.


"Kita kena ubah gaya kita. Biar ada gaya bos. Gaya bos berjalan. Gaya bos cakap. Gaya bos memberikan arahan" salah seorang yang sedikit cerdik memberikan jawapan.

"Siapa idola kita. Sivaji The Bos tu ker" tanya lagi. Mamat yang minum di sebelah kiri tadi. "Huh. Itu semua dunia lakonan. Ini realiti walaupun impian kita cuma fantasi. Tu tengok bos aka tokey2 yang kaya raya tu. Kita tiru mereka".

Dan kami meneliti telatah bos2 kaya itu. Seperti kami. Mereka juga minum kopi. Cuma cawan mereka ada label Starbucks. Tipikal gaya bos/tokey kaya. Perut sedikit gendut. Dan bual berbicaranya tentang golf bukan pasal kegagalan pasukan bolasepak Malaysia kat Piala Asia.

"Mamak. Kasi tambah telur separuh masak 2 biji sama roti bakar 1 set." pinta seorang sahabat. Juga dari kalangan kami yang berempat tu. Katanya nak besarkan ukur lilit perut. Baru ada gaya bos.

Dan topik perbualan yang selalunya berkisar tentang Maya Karin, Siti Nurhaliza juga Altantuya itu juga berubah kepada dunia golf. Tentang set kelengkapan golf. Tentang driving range. Tentang permainan di green. Tentang teknik permainnanya. Sedikit saja. Apa yang kami tahula.

Resolusi di capai. Sepakat. Mulai hari ini kita kena belajar main golf.

"Mamak... kira" kata seorang dari kami. Aku ler tu.

"Ko tak nak bayarkan semua sekali ker. Jadi bos kene belanja makan semua orang" kata dia yang paling senyap antara kami.

"Aiseh.. kalau camtu kensel la jadi bos" kata aku. Yang cuma ada 3 helai duit seringgit dalam dompet pagi itu.


Sabtu, Julai 14, 2007

Lagu Hati

Sesekali mata tak dapat dipejamkan
Biar malam menghampiri pagi
Biar jam berbunyi 3 kali
Kerna hati ada kegusaran

Bertambah kerisauan
Sekejap timbul sekejap hilang
Biarkan dirimu keseorangan
Bersendirian di tanah asing tanpa teman

Bicara hati dari kejauhan
Mengungkap kata kasih dan sayang
Meluahkan rindu yang mendalam
Sayang tak dizahirkan dalam perbuatan

Cuba diminta hidup berdikari
Bukan bermaksud tak ambil peduli
Sering berpesan kuatkan hati
Bukan bermakna tak ingin mendekati

Kerna jalan yang dipilih bukan mudah
Ada lautan perlu direnangi
Ada lurah perlu dituruni
Ada gunung perlu didaki

Andai kamu cepat mengalah
Andai kamu mudah melatah
Takut tersadung kaki di akar
Takut terhantuk kepala di dahan rendah

Bersabarlah
Pada pengorbanan
Pada hikmah yang akan datang
Pada kebahgiaan hari mendatang

Sungguh banyak dugaan
Setinggi pengorbanan
Sungguh banyak harapan
Dalam doa yang dipanjatkan.

Biar jauh beribu batu
Hilang di mata di hati jangan
Biar jauh dipisah lautan
Takkan berpaling kasih darimu sayang.

Khamis, Julai 12, 2007

Keris

Melengkung lok semenanjung emas
Memburu matahari
Dengan matahati
Mata
Keris
Kun!
Aku teruja mendengar nama Datuk Syed Alwi sebagai pengarah kepada teater Keris nie. Nama yang aku kenali dari teater Alang Rentak Seribu. Datuk Syed Alwi antara kelompok mereka yang terawal cuba mementaskan teater di sini.
Dan malam tadi, Rabu malamnya, malam pembukaan pada satu lagi garapan dan sentuhan sihir ilmu seni teater DatukSyed Alwi aku berkesempatan menyaksikan. Menarik? Sudah tentu. Nama2 seperti Omar Abdullah, Zulkifli Zain, Namron, Zaibo, Zuhairi Ibrahim, Sabri Yunus sudah cukup untuk mendesak kehadiran kalian ke sini. Di Auditorium DBP.
Kisahnya bermula apabila ketua kampung bernama Waling Amri yang memperoleh batu dari cakerawala hampir sama dengan kelahiran anak perempuannya yang dinamakan Puteri. Dia kemudian membentuk batu itu menjadi sebilah keris untuk dikembarkan dengan anaknya. Keindahan dan kesaktian keris telah mengundang orang luar untuk bertemu ketua kampung bagi melihat kesaktian tersebut. Namun, keris yang menjadi lambang teras adat dan budaya Melayu dipertahankan dari dirampas oleh orang luar yang cuba mengambilnya secara kasar dan halus.
Yang menarik, cara penceritaan menggunakan 4 pelakon Zaibo, Sabri Yunus, Angeline Tan dan Jeganathan cukup bersahaja. Sindir mereka dalam ketawa. Nasihat mereka dalam nyanyian.
Jika ada kecacatan pada pementasan ini, dilihat pada penggunaan asap yang keterlaluan. Sehinggakan mengganggu penonton yang berada di barisan hadapan berdekatan pentas lakonan.
Bak kata Datuk Syed Alwi di awal persembahan, teater adalah pentas rekaan ilham karyawan, yang menggarap unsur dan sihir seni dengan kemodenan kelengkapan. Sekalipun dunia teater adalah lakonan, ia diceritakan berdasarkan pengalaman kehidupan yang sebenar, kejadian yang pernah terjadi yang mungkin akan berulang lagi.
Saksikanlah. Dipentaskan dari 11-15 Julai 2007. 8.30 malam.

Isnin, Julai 09, 2007

Maskara

Maskara? Awek Che'gu tanya aku sambil mata dibeliakkan. Sebab mula2 aku bagitau nak tengok teater malam tu atau sebenarnya dia sangsi akan akronim Maskara tu. Ada cam nama salah satu dari beribu barangan kosmetik kaum Hawa. Dan mungkin Awek Che'gu memikirkan akan ada ramai aweks-aweks kat aktiviti baca-dengar-tengok tu. Dan aku juga mengharapkan yang sama. Ramai aweks-aweks. Cuma angan2 dan harapan jer. Tapi sebenarnya aku teruja ngan nama Pyan Habib yg digembar-gemburkan akan mendeklamasikan puisinya malam tu, aku putuskan kami ke Rumah PENA. Aku kenali Pyanhabib menerusi puisi Bapaku Seorang YB. Puisi yang cukup menarik dan sinikal.
Ini kali pertama aku ke sini. Ooo.. macam nie rupanya orang baca puisi, baca cerita yang mereka tulis dari buku. Terasa macam berada di pentas seni dan sastera. Nampaknya dunia blog semakin berkembang. Mula2 orang tulis blog. Pastu catatan blog dibukukan jadi blook. Sekarang diaorang bacakan pulak apa yg ditulis kat buku tu. Lepas nie mungkin akan ada filem pertama yang diilhamkan dari catatan blog.
Ulasan tentang persembahan. Aku suka Esis dan Elmaaniq. Terutamanya kisah cacing tu. Esis leh jadi pelakon. Ada bakat. Kalau tak pelakon drama pelakon iklan. Iklan ubat nyamuk. Misalnya.
Alif the Magician juga hebat. Dia namapak ceria dan bersahaja. Dan Cik Daun, terima kasih kerna membantu menjayakan persembahan magik tu. Kehadiran kamu di atas pentas banyak membantu.
Paling best dan yang ditunggu. Pyanhabib. Aku kira dia dah sedikit berisi berbanding dalam filem Kembara Seniman Jalanan bersama M. Nasir dulu. Dan gayanya mendeklamasikan puisi cukup best. Pyan ceritakan sedikit tentang kehilangannya di dunia puisi nie. Mengungkap saat seniman jalanan mendapat pengiktirafan di Central Market dulu2.
Maskara 3 akan datang 040807. Tempat dan waktu yang sama. Datanglah.

Rabu, Julai 04, 2007

Kenduri Lagi

07.07.07 tarikh bertuah. Mungkin. Tapi aku tak kata korang sepatutnya pergi membeli nombor ekor pada tarikh tu. Juga pada tarikh2 lain. Namun 07.07.07 tetap tarikh bertuah. Rasanya. Sebab ramai pilih nak tamatkan zaman bujang, zaman duda, zaman beristeri satu pada tarikh nie. Aku juga bertuah. Tak. Aku bukan nak kahwin lagi. Tapi aku dapat banyak jemputan ke majlis kenduri kahwin pada tarikh nie. Kira bertuah la tu kan.

Sekarang bukan sesuatu yang menghairankan. Dalam satu hari ada 2-3 jemputan. Tu belum kira yang kat kampung. Berbulan yang lalu dah dikhabarkan anak ketua kampung kamu nak menikah. Tapi kamu tetap tak pulang atas alasan sibuk bekerja di kota atau sebenarnya menyimpan rasa kesal di hati gagal menyunting anak dara ketua kampung tu. Silapnya, bapaknya suruh kamu masuk Akademi Al-Quran, tapi kamu pergi hantar borang ujibakat Akademi Fantasia.

Dah banyak sangat kenduri, bolehlah kamu buat pilihan. Yang maner nak pergi. Yang dekat atau yang jauh. Kawan opis, kawan sekolah, kawan kepada kawan atau sedara mara yang kamu pernah salam setahun sekali masa hari raya Aidilfitri.

Kepada yang tak dapat dihadiri majlis kendurinya, janganlah berkecil hati. Bukan kami tak sudi, bukan lauk yg dihidangkan tak menepati rasa perut dan rongga esofogus ini, cuma masa tak mengizinkan. Terutamanya kepada pengantin perempuan, maaf ek. Kepada pengantin lelaki.. sori la tak dapat datang, ko kawen sekali lagi la.. pasni sure aku pergi..hehhe



IklAN : 07/07/07... MASKARA anjuran bebudak SOLJAH kat umah PENA jam 8.45mlm.

Isnin, Julai 02, 2007

Makan Bola, Tidur Bola

Sabtu lepas Lepat sms aku. Tanya wat aper malam2 minggu nie. Dia kepingin menyaksikan pementasan teater.

Aku. Via sms. Bagitau nak lepak umah jer. Letih. Siangnya dah memanjat Gunung Nuang. Aku bagi alasan nak tengok bola.

Lepat. Via sms. " Eh.. maner ada bola malam2 minggu nie. EPL dah lama abis. Copa Amerika awal pagi"

Aku. Via sms. " Dude, kat Malaysia pun orang main bola gak. Malam nie final piala FA. Kedah vs Perlis"

Lepat. Via sms. Keesokan paginya. "Tahniah. Kedah menang PIala FA."