Rabu, November 26, 2008

Dari Rumah Sakit

"Hah. Nasi ayam. Ini kira langkah kanan nie" kata aku tatkala mula dihidangkan makanan untuk pesakit. Bukan aku yang sakit. Awek che'gu pun sebenarnya tak de lah berapa sakit. Kira secara fizikalnya dia ok. Cuma bacaan nadi dia tinggi sangat. Tak macam bacaan normal. Kata doktor, 2 kali ganda lajunya.

Lantaran itu, awek che'gu dan baby Husna terpaksa di tahan sementara doktor buat segala ujian pengesahan dan mengesan punca sebenarnya. Dari ambil darah, hinggalah ke x-ray, ecg, echocardiography test, CT scan dan segala bermacam ubat terpaksa awek che'gu telan.

Setakat ini, keputusan yang diperolehi semuanya ok. Tiada apa yang merisaukan. Sepatutunya dah boleh keluar hari nie, tapi baby Husna pulak kena kuning. Maka, berkampunglah lagi kami di hospital nie.

Dah 6 hari kami kat sini. Melihat orang di katil sebelah datang dan pergi. Aku terpaksa berulang alik dari rumah ke hospital. Cuti seminggu aku nampaknya abis kat sini jelah.

Selalunya bila sesi melawat, aku pasti datang dengan makanan dari rumah. Kat hospital mana nak dapat ikan haruan. Kalau ada sup pun, ketara sangat rasa perencah dia. Maka, kami bertukar hidangan. Awek che'gu layan hidangan dari rumah, aku pulak layan hidangan disediakan hospital.

"Eh.. nie saper pulak yang sakit nie" tegur jururawat tatkala aku tengah bersila atas katil layan nasi ayam. Awek che'gu...dia lebih selesa duduk atas kerusi setelah sekian lama asyik berbaring jer.

Duduk kat hospital atau dahulunya dipanggil rumah sakit lebih membuatkan kita rasa sakit. Kami berdoa, agar segera dibenarkan pulang. Bersama-sama.

Isnin, November 24, 2008

Kasih Puteri

Aku sampai rumah kurang seminit nak pukul 12 malam. Kalau Cinderella, kereta kudanya sudah hampir bertukar jadi labu dan tikus. Rasa ngantuk yang amat sangat. Kalau boleh nak terus baring tidur jer. Mujur dah solat Isyak kat opis tadi. Yang mana wajib dah aku tunaikan. Kira nak tido terus pun boleh sangat dah.

Aku tengok hidangan makan malam dah tersedia atas meja. Memang aku tak ada selera sudah. Lagipun dah lewat malam sangat. Perut nie pun tak nak terima dah. Aku terkenangkan susah payah awek che’gu yang tetap menyediakan hidangan makan malam walau dah sarat. Nak kena jamah gak nie.

Awek che’gu tiba-tiba muncul dari bilik tidur. Mungkin bunyi pintu grill yang ditutup tadi membangkitkannya dari lena malam. Pintu grill tu memang akhir-akhir nie kuat berbunyi. Perlu disapu gris gamaknya.

“Banyak kerja yea kat opis tadi. Makan dulu ek” pinta awek che’gu sambil salam dan cium tangan aku. Aku tak bantah. Cuma minta nasi dikurangkan kuantitinya berbanding selalu.

Sambil menjamahi hidangan tengah malam itu, sempat aku bercerita tentang tugasan penting di opis yang perlu aku habiskan. Yang memaksa kepulangan aku agak lewat malam itu. Awek che’gu mendengar sahaja walau tidak bersungguh. Mengantuk barangkali fikir aku.

Esok pagi, sejurus selepas sampai di opis, aku terima sms dari awek che’gu, memaklumkan akan kesakitan yang dialaminya. Berkaitan dengan kandungannya. Sejak petang semalam lagi. Memikirkan aku terlalu penat dan asyik berceloteh hal kerja di opis, awek che’gu memilih untuk bercerita menerusi sms sahaja. Pada pagi ini.

Aku terkedu. Rasa bersalah pula. Aku lupakan pasal dia dan kandungannya malam tadi. Sekali pun aku tak bertanyakan perkara itu.

Petang itu. Aku balik agak awal. Bila awek che’gu sms memaklumkan ada kesan darah semasa membuang air. Dalam hujan petang, aku sampai 30 minit selepas sms yang diterima. Selepas mendapat khidmat nasihat dari mak dan ayah, kami bersependapat masanya belum tiba lagi. Tarikh yang ditentukan doktor pun ada seminggu lagi.

Malam itu, kami menikmati pizza hut sebagai hidangan malam. Sekali sekala makan malam diluar berdua. Lagipun, aku rasa aku perlu melayan awek che’gu lebih baik lagi selepas apa yang dilaluinya semalam. Dalam pada itu, kami sudah mula mencongak dan mengatur perancangan untuk menetap sementara di rumah mak ayah di Sg Buloh. Sekurang-kurangnya ada juga yang boleh tengokkannya tatkala aku di opis.

Pagi Jumaat keesokannya, awek che’gu mengadu kesakitan lagi semasa kami bangun untuk solat Subuh. Mulanya diminta hantarkan saja ke rumah mak dan ayah di Sg Buloh sebelum aku pergi ke opis, tapi memikirkan segala kemungkinan yang boleh berlaku, aku putuskan untuk kami terus ke hospital sahaja. Saya EL hari ini. SMS aku pada En Boss dan rakan di opis.

“Anak nombor berapa nie bang… Jangkanya bila bersalin”. Itu antara soalan yang kami utarakan sesama sendiri. Kumpulan suami-suami yang menunggu isteri di dewan bersalin. Masing-masing beri sokongan dan berkongsi segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang ada. Walau jelas, masing-masing tidak keruan. Sekejap duduk, sekejap berdiri, sekejap keluar menghirup angin luar.

Menurut doktor yang memeriksa, ianya masih awal lagi walau tandanya sudah ada. Dan kami diminta menanti. Lagi dan lagi. Sementara doktor terus memeriksa dari masa ke semasa. Hinggalah ke malam hari, awek che’gu diminta bermalam di hospital sahaja.

Selepas Subuh, aku segera ke hospital. Keadaan awek che’gu aku lihat masih sama. Kalau boleh ingin diminta pulang segera. Berehat di rumah pasti lebih selesa andainya masanya belum tiba.

Tapi doktor punya pemikiran yang berlainan. Ketika jam hampir ke sepuluh pagi, awek che’gu mula dibawa ke bilik bersalin. Aku semakin gugup bila mengetahu saat itu makin hampir. Prosedur di Hospital Sg Buloh tak mengizinkan suami bersama menemani isteri di saat meyambut kelahiran orang baru. Aku cuma menunggu di luar. Membaca surah-surah Al-Quran yang aku ingat. Separuh Yaasin. Separuh AlMulk. Dalam gementar bacaan aku tak lancar dan sering tersekat-sekat. Akhirnya aku bacakan saja surah lazim (itulah. Lidah dan hati nie lebih mudah lancar hafal lagu saja)

Akhirnya. Jam 3 baru aku dimaklumkan, awek che’gu dah selamat melahirkan puteri sulung kami pada jam 2 tadi (katanya, ini juga prosedur hospital untuk membersihkan bayi terlebih dahulu sebelum memaklumkan pada keluarga)

Dalam rasa gembira dan penuh kesyukuran, aku laungkan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri sambil air mata mula bergenangan. Dipangkuanku adalah zuriat kami yang lahirnya mengukuhkan ikatan kasih sayang. Ia adalah amanah kepada kami. Untuk mencorak dan mewarnakan ‘kain putih’ itu.

Ah Lan Wa Sahlan Sayang. Jadilah anak yang solehah. Seperti doa ayah dan mamamu sepanjang hari.

Ahad, November 23, 2008

Buah Hati

Kereta mertua aku dah ada sticker ini.




Ucapkan Ahlan Wa Sahlan buat puteri pengikat kasih sayang kami Nor Azalea Husna.

Isnin, November 17, 2008

Makan Gaji

Mimpi ngeri aku bermula (lagi...)

Tak ingin bercerita panjang. Cuma mengadu sahaja.
Adat makan gaji. Adakah begini.

Jumaat, November 14, 2008

Manis

Hajatnya nak pekena teh tarik. Tapi harga kat kedai mamak nie tak turun lagi. Tipu betul. Cakap mau turun. Aku mintak teh o jer.

Baru sekali hirup. Aku dah berhenti. Manis betul teh o nie. Entah berapa sudu mamak nie taruk gula. Tau la ada ladang tebu (aku syak la), tapi aku tak perlu kemanisan itu dalam minuman aku.

”Macha” aku jerit. Datang sorang. Yang amik order tadi.

”Saya order kurang manis punya. Ini rasa macam air gula juga. Nie, dauh teh ker apa nie tak tapis betul-betul” jelas aku sambil dok kacau air dalam gelas. Lama gak aku dok perati benda hitam tu.

“Cheh. Ini semut pun ada sekali. Patut la manis” setelah berjaya mengamati objek hitam tu.


Peribahasa minggu ini:

1. Mati semut kerana gula ~ terpedaya oleh pujuk rayu
2. Akar tiada rotan pun berguna, gula tiada semut pun boleh juga.

Khamis, November 13, 2008

Doa

"Abang. Doakan adik yea"

"Adik pun. Doakan abang juga"

Abang. Calon pelajar SPM 2008. Yang sedang berjuang.

Adik. Hari ini penuh debaran. Dia mengharapkan untuk dapat mengukir senyuman di wajah guru dan keluarga. Moga keputusan UPSRnya membanggakan.

Selasa, November 11, 2008

MASAK: TERLEBIH KASIH SAYANG

Kerana mahu berlagak seperti chef, 2-3 kali aku masak sayur air tak cukup garam. Malas nak rasa.

Semalam. Masak lagi. Bukan sayur air. Tapi ikan masak cuka. Pertama kali cuba. Kali ini aku rasa. Letakkan sedikit pada lidah.Dalam gopoh-gapah, lidah aku sedikit melecur dek panasnya kuah masakan cuka.

”Adoi”. Aku jerit kuat-kuat. Menarik perhatian awek che’gu.

”Itulah. Orang rasa sikit jer, yang sampai pergi cium sodep tu buat apa”

”Nak lebihkan kasih sayang dalam masakan. Tu pergi cium sodep tu. Adeh..adeh...”

Jumaat, November 07, 2008

Gadis Melayu

TV kalau tak guna Astro memang susah sikit nak dapat siaran yang jelas. Setakat ariel dalam rumah, RTM 1, RTM 2 dan TV3 mudah kamu nak cari. Lain-lain kena lah rajin pusing ariel. Cari yang terbaik untuk gambar yang lebih cantik.

Awek che’gu memang cekap bab-bab pusing ariel nie. Kejap jer dapat siaran yang jelas. Kalau aku tengah tengok NTV7 dengan siaran berbintik-bintik, pasti awek che’gu carikan siaran yang lebih jelas tanpa dipinta. Mithali kan.

Tapi entah kenapa, dia endah tak endah jer masa aku tengah pening dok pusing ariel cari siaran yang lebih jelas untuk cerita Gadis Melayu kat TV9 malam tadi.

Khamis, November 06, 2008

MASAK: TIADA KASIH SAYANG

Kalau nak makan burger, carilah yang kat depan seben eleben tu, mayonisnya lebih. Depan kedai mamak pun ok jugak, cuma dia guna burger jenama Saudi, kalau Ramly lebih sedap lagi. Yang kat simpang nak masuk ke stesen minyak tu pun boleh tahan, tambah-tambah kalau Odah, awek mamat burger ada sekali. Selalunya Odah yang bungkuskan burger tu, sampai tisu bungkusan tu pun wangi melekat bau tangan Odah. Kalau kamu ada duit lebih, masuk jer Mek Di.

Sirajudin kadang-kadang makan burger je malam hari. Bukan tak ada kedai yang jual nasi. Sebab, balik kerja pun dah lewat malam, dah tak larat nak telan biji nasi. Selalunya dibeli depan seben eleben. Alang-alang nak beli rokok Dunhill. Singgah beli burger daging spesel sekali.

Entah kenapa, malam tu kepingin pulak nak makan burger. Dari opis asyik teringat mayonis yang dicalit pada kedua-dua belah daging burger dan roti.

Malam tu memang lain sikit. Panasnya semacam. Bukan burger. Bukan juga suasana malamnya. Brader jual burger tu nampak marah. Sangat-sangat. Entah bergaduh dengan bini atau sebab Chelsea kalah lagi. Atau datang bulan barangkali. Dari awal sampai habis, Sirajuddin asyik dengar kata-kata maki dan carut marut jer. Namun, kualiti burger tetap terjaga. Mayonis tetap banyak. Macam selalu.

Sirajuddin tak peduli. Manusia memang begitu. Penuh emosi. Yang penting nafsunya pada burger dapat dilampiaskan malam itu. Dia senang hati.

Di rumah. Baru 3 kali gigit, dia dah berhenti. Lain benar rasa burgernya kali ini. Rasanya tiada yang kurang. Mayonis, bawang, salad semuanya cukup.

Mungkin yang tiada kasih sayang. Kerana yang diisi adalah kata nista dan cercaan. Luahan kemarahan brader burger yang hilang kesabaran. Tiada lagi senyuman dan ucapan terima kasih seperti selalu.

Rabu, November 05, 2008

Apa Ada Pada Nama

“Kalau lelaki namanya Ali. Kalau perempuan namanya Aminah”

”Isshh.. tak bestlah A. Nanti exam kena duduk depan”

”Kalau Zakaria dan Zakiah”

”Z. Belakang sangat tu. Bosan tunggu giliran nanti”

”Pulak”

Kata orang. Ada apa pada nama. Tapi namalah perkara asas yang membezakan kita.

Aku Farid. Kamu Faridah. Tentulah berbeza jantinanya.
Aku Abu. Kamu Ah Chong. Tentulah berbeza bangsanya.
Aku Kamal. Kamu Marcelo Gonzales. Tentulah berbeza negaranya.

Nama panjang yang diberikan. Kamu pendekkkan.
Nama melayu diberikan. Kamu ‘mat saleh’kan.

Tak kisahlah. Selagi punya nama.
Kamu masih dihormati.
Tiada panggilan ‘hoi’ sahaja.

Nota: Masih tercari-cari nama yang bermakna.

Isnin, November 03, 2008

MASAK: PERLUKAN KASIH SAYANG

Banyak-banyak masakan, yang paling enak sekali tentulah masakan ibu. Sejauh mana kita merantau, kita pasti kembali mencarinya. Sekaya mana kita, sehingga mampu makan di hotel dan restoran mewah belum tentu setanding dengan keistimewaan masakan bonda.

Masakan ibu lengkap segalanya. Rasa manis, masin, pedas. Sekalipun masakannya ringkas, ia tetap menyelerakan dan mampu mengenyangkan seisi rumah.

Kata ibu. Membongkar rahsianya. Resipi utama dalam setiap hidangan masakan. Perlu ada kasih sayang. Dari tukang masak untuk sesiapa sahaja yang menjamahi juadah tersebut.

Kasih sayang itulah yang membangkitkan selera dan meninggalkan kerinduan pada masakan tangan seorang ibu.