Rabu, April 18, 2012

Tudung

"Isshhh..awak ni. Anak kita tu kan kecil lagi. Biarkan sahajalah. Usah paksa dia. Biar dia bertudung dengan niat ikhlas. Bukan cara paksaan" betah Ida melihatkan suaminya merungut anak gadis mereka tidak suka bertudung.

"Saya bukannya memaksa. Saya cuma nak didik dia. Biasakan dia dengan bertudung sejak kecil lagi" ujar Halim. Dia teringin melihat anaknya belajar menutup aurat sejak kecil lagi. 

"Dia kan baru masuk darjah satu. Saya dulu pun kahwin dengan awak baru pakai tudung" tambah Ida.

"Sebab saya tak nak dia jadi macam awaklah saya nak didik dia awal-awal. Ini dah tua-tua, pakai tudung pun tak betul. Tutup rambut tapi tak tutup aurat" balas Halim.

"Eh, awak ni. Kita pula yang disindirnya. Eh. Bukan tugas awak ke nak mengajar saya. Lagipun si Esha tu setakat tak pakai tudung jer. Pemakaian dia yang lain ok jer. Berbaju kurung 24 jam" Ida terasa benar dengan sindiran suaminya. Iyalah, dulu ayahnya tak pernah ambil tahu pun pasal keperluan bertudung ni. Emaknya sendiri sampai sekarang tak pernah bertudung.

"Aku bilal kampung Ida. Malu kalau anak sendiri tak boleh diajar cara tutup aurat mengikut syariat". Ada nada kesal di hati Halim dengan pengakuan itu.

"Ooooo..sebab anak bilal lah dia kena bertudung litup ni. Saya dengar anak Ustaz yang mengajar sebulan sekali kat surau kita tu pun tak bertudung. Anaknya pun baru masuk darjah satu juga. Tak dipaksanya" Ida cuba mengaitkan anak ustaz di kampung itu.

"Ustaz Kemat"

"Aha. Ustaz tu la. Tak percaya abang tanya lah sendiri.

________________________________

(Suatu malam, selepas selesai sesi kuliah bulanan)

"Err..ustaz. Nak tanya sikit boleh. Benar ke anak ustaz yang darjah satu tu pergi sekolah tak pakai tudung. Bukannya apa ustaz, saya tengah nak ajar anak saya yang sorang tu bertudung ke sekolah. Tapi tak mahunya"

"Betullah tu. Anak saya yang darjah satu tu tak pakai tudung ke sekolahnya"

"Eh, boleh ker ustaz. Bukan ker dah jadi kewajipan untuk anak-anak kecil ini menutup aurat"

"Anak saya yang darjah satu tu lelaki. Memang lah tak perlu bertudung"

Halim geleng kepala. Terbayang wajah isterinya yang sering mengumpul cerita dari jiran tetangga hal rumah tangga orang kampung. Ada yang benar. Ada yang lebih sudu dari kuah. Ada yang berunsur fitnah dan dengki sahaja. Cheh. Halim terkena. Percaya tanpa usul periksa.

2 ulasan:

Ummu berkata...

hahahaa.xterfikir lah pulak.kahhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh

Kemat berkata...

oren merah:
kihkihkih.. tapi dalam bergelak kita ambil pengajaran