Isnin, Jun 06, 2011

Idola

"Hah.. siapa pula idola kamu Seman".

Seman yang sebenarnya tidur sewaktu cikgu Murni memberikan penerangan tentang idola terpinga-pinga mendengarkan namanya dipanggil. Dia mengelipkan mata. Berkali-kali. Keheningan suasana kelas yang sebelum ini senyap mendengar 'syarahan' cikgu Murni, pecah dek gelak ketawa. Seman membisu. Tidak mengerti apa sebenarnya yang berlaku.

"Cikgu tanya ni. Siapa idola kamu Seman"

Seman diam lagi. Kali ini dia faham maksud pertanyaan Cikgu Murni. Cuma dia tak tahu jawapannya. Siapa idolanya. 

Kawan-kawan sekelasnya masing-masing ada idola.
Faridah letakkan tokoh politik nasional sebagai idola.
Ramli namakan artis yang berjaya sebagai idola.
Umi kata, ayah dia adalah idolanya. Sama macam Adibah.
Harun yang malas belajar tapi rajin bermain juga ada idola. Pemain bola sepak yang berhijrah ke tanah seberang.
Ah Keong juga ada idola. Tokey butik mewah yang kaya di bandar itu. Yang juga dikhabarkan punyai kedai basikal atas nama isterinya yang kedua.

Tapi Seman tak tahu siapa idolanya. 

Ayahnya... Seman tak kenal pun siapa ayahnya. Sejak kecil ayahnya dah meninggalkan dia dan emaknya untuk berkahwin baru. 

Seman nak jawab tokoh politik yang menjadi wakil rakyat di kawasannya adalah idolanya. Sebab Seman suka tengok tokoh politik itu yang dijulang ketika menang pertandingan pilihanraya bertahun yang lalu. Disorak dan dicanang bagaikan hero kampung. Pasti seronok jika suatu hari dia juga dijulang sebegitu. Tapi tokoh politiknya khabarnya kini dibenci orang kampung. Asyik berdebat hal air tin coca-cola yang mahal di Bangsar dan isu satay arnab yang sukar didapati di pasaran. Tiada lagi cerita tentang jalan kampung yang berlubang atau tanah sekangkang kera dirampas untuk pembangunan. Seman tak mahu dibenci sampai takut untuk balik kampung sendiri.

Seman nak jadikan ahli ugama sebagai idola. Iya, jadi ustaz pun profesion yang menarik. Tak semestinya pakai jubah dan lilit serban. Tapi Seman takut ditertawakan orang. Seman belum pun habis Muqaddam. Seman tak tahu nak baca tulisan jawi. Seman pergi surau pun untuk bertemu kawan dan main tepuk daun terup kat tempat letak basikal surau. 

Ahli sukan. Seman tak tahu pulak nama pemain tepuk daun terup yang handal boleh dijadikan contoh dan idola. Rafiq pandai main tepuk daun terup. Rafiq selalu menang dan bawa pulang daun terup yang jadi taruhan. Tapi tak akanlah Rafik, musuh sepermainannya jadi idolanya pula.

Seman terus diam. Tiada sebarang jawapan. Mujur Cikgu Murni tak marah. Tapi senyum sahaja. Iya, dari pagi Cikgu Murni asyik senyum sahaja. Cikgu Murni cuma pesan, semua murid kena buat karangan berkenaan idola sebagai tugasan cuti sekolah. 
....................

Semalaman Seman tak dapat tidur. Seman teringat pada senyuman Cikgu Murni siang tadi. Senyuman sama yang memberikan kerja rumah tentang idola. Cuma siang tadi, Cikgu Murni senyum malu-malu di atas pelamin. Seman yang leka bermain sepanjang cuti sekolah kembali teringat tentang kerja rumahnya tatkala menghadiri majlis perkahwinan Cikgu Murni bersama emaknya. Dan Seman, masih tak tahu siapa idolanya.

.....................
Hari ini. Seman dah kembali tersenyum. Sambil melompat-lompat kegembiraan. Dia dah tahu siapa idolanya. Dia nak jadi orang kaya yang ada banyak rumah. Dia nak melancong keluar negeri. Seman gunting suratkhabar dan tampal dalam buku latihannya. Seman nak jadi seperti idolanya.

3 ulasan:

saad berkata...

idola ko jugak ker tu kemat?

Kemat berkata...

saad:
isshh..hang jangan dok wat perangai... setakat idola nak jadi kaya boleh beli sampai 4 biji rumah dan melancong ke luar negeri jer...

Tanpa Nama berkata...

heheheheheheheh