Rabu, Jun 29, 2011

Bila Dia Marah, Kamu Senyum Sahaja Yer

"Awak... saya tengah marah nie. Awak boleh senyum saja. Eee...geramnya....."



"Awak tahu. Awak bila marah. Makin cantik. Comel sangat. Macam....





..
..
..
..
..

Ha, macam Angry Bird"

                                                     Kredit Gambar: Encik Google

Isnin, Jun 27, 2011

Rare

"Benda ni memang susah nak dapat bro. Barang rare ni". Sengaja dia tekankan perkataan rare tu. 

"Sekarang scene rare tengah naik. Sesiapa yang ada koleksi rare kira hip lah" sambung dia lagi.

"Rare tu kira macam mana bro" aku pulak ambil peranan dalam perbualan. Rare yang aku tahu adalah perkataan 'jarang' dalam lidah Melayunya. Jarang-jarang...macam kahwin tiga yang Nujum Pak Belalang cakap tu kira rare jugak ker..

"Rare ni kira tak banyak la bro. Barang ni ada 2 jer kat dunia. Satu kat Amerika nu. Hah, yang satu lagi kat tangan bro ni lah. Amiklah. RM100 jer. Lagi setahun, bro tolak RM300 pun orang angkat punya"

Perggh..Mahal tu. Brader nie tak tahu ker. Duit aku kat bank pun rare jugak. Tak banyak. Ada sikit jer. Dah bertahun menyimpan, tak naik-naik pun. Takat tu jugak.

Khamis, Jun 23, 2011

Tragedi Buah Epal

"Pelik diet ngko kali nie. Betul tak mahu. Banyak aku beli nie. Kalau tak nak merah yang manis, ambil sahaja hijau yang kelat nie"

"Tak mengapa. Mulai hari ini aku tak nak makan epal lagi. Aku dah jatuh cinta. Dengan Dr Asmadi. An apple a day keeps the doctor away"

Iya. Ayu dah jatuh cinta. Yang bisa buat dia gila.

Selasa, Jun 21, 2011

Hidup Macam Cokelat

"Kemat. Nah hadiah" kata awek suka kucing sambil hulurkan sekotak cokelat yang dibungkus dengan plastik lutsinar.

"Wah, cokelat yer. Terima kasih" balas aku tatkala menyambut bungkusan kotak tersebut. Yang ada gambar cokelat di luar kotaknya. Aku biasa tengok kotak cokelat tu. 

 "Bukalah dulu baru tahu. Itu cuma kotak sahaja. Lagipun kata orang, Life is like a box of chocolate,you never know what you are going to get.".  

Entah kenapa, awek suka kucing gemar berfalsafah akhir-akhir ini. Namun, kata-katanya membuatkan aku teruja untuk segera membukanya. Bermacam benda yang bermain di fikiran.  Mungkin Galaxy Tab, mungkin baju bayi, mungkin hiasan kaca atau mungkin juga cerut Cuba. Dan sebaik mengalihkan penutup kotak tersebut, aku lihat

.
.
.
.
 

"Eh, cokelat"

"Memanglah. Kat kotak dah tulis kan" balas awek suka kucing sebelum berlalu pergi.

"Cheh"


Isnin, Jun 20, 2011

Hari Yang Ketujuh Yang Manis.

Dan kami namakan dia, Harith Idlan..................... pada hari ketujuh kelahiran.

 

Ahlah wa sahlan. 39 minggu dalam kandungan, membesar dari zat yang dikongsi dan disalurkan menerusi placenta, akhirnya telah ditakdirkan untuk menjenguk dunia selepas 2 minit jam berdenting 11 kali di pagi 14 Jun 2011.

Hati mana yang tak berdebar, jiwa mana yang tak resah,  wajah mana yang tak gelisah tatkala menanti kelahiran permata hati kedua ini, putera pertama melengkapi kehidupan yang kian bermakna.

Tangisan pertamanya, membutirkan senyuman penuh kesyukuran. Disambut dengan alunan azan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri, bayi seberat 3.76kg kini menjadi tanggung jawab kami untuk mencorakkan perjalanannya.Warna mana yang bakal kami pilih, warna mana pula yang kamu suka.

Harith Idlan,

Hari ini perjalanan kamu di dunia sebenar baru bermula. Akan ada rasa suka, duka, senyum tawa, sedih, pedih, pahit, manis. Namun segala rasa dan rencam kehidupan itu indah sebenarnya.  Nikmatilah ia. 

Isnin, Jun 13, 2011

Menuju Gaya Hidup Baru

"Kita tak boleh biarkan perkara ini. Ia akan membuatkan kita berfikiran jumud, sempit dan dangkal. Tiada pembaharuan. Tiada keberanian" pekik satu suara.

Dan suara lain pula menambah, "Benar kita bukan burung yang boleh terbang tinggi dan melihat dari pandangan atas yang luas. Tapi kita boleh sahaja mendongak ke atas. Cuma bukan diintai dari ruang ini sahaja"

"Lalu, apa kata kalian" sahut satu suara, ketua barangkali yang memohon pandangan yang lain.

"Kita bakar aje.. Kita bakar aje" celah satu suara, peminat filem Hantu Kak Limah barangkali.

"Kita kumpulkan kesemuanya. Dan pecahkan biar lerai berderai. Tiada lagi boleh mengikat kita selepas ini"

..............................

Bertebaranlah sang katak mencari tempurung kelapa. Ada yang dipecahkan. Terbelah dua dan tiga. Ada dibakar, sampai tingggal debu. Mereka percaya, tempurung telah menyekat  pemikiran mereka selama ini.  Membelenggu idea kreatif dan inovatif untuk mereka  bergerak maju. Tanpa tempurung, mereka bebas melihat dunia. Tidak hanya mengintai dari dalam tempurung sahaja. Punca kerendahan martabat katak dihapuskan. Mereka yakin sepenuhnya.

Kecuali seekor dua. Yang masih menyimpan tempurung. Sebagai tempat berlindung. Dari hujan lebat atau panas terik. Juga dari ular yang lapar. Salah itu bukan pada tempurung, tapi bagaimana digunakannya. Itu pula hujah mereka yang menyimpan tempurung.

Sabtu, Jun 11, 2011

Plastik

Usahlah kamu hipokrit
Bermuka plastik
Hari ini hari Sabtu
Hari tanpa plastik

Khamis, Jun 09, 2011

Kelab Isteri Taat


Awek suka kucing sibuk tanya pendapat aku tentang Kelab Isteri Taat. Aku yang baru nak telan meehon goreng lebih mesyuarat sebelah pagi hampir tersedak. Sejak bila pula diwujudkan kelab nie. Apa pula motifnya. Siapa ahlinya. Tiz Zaqyah tak mungkin jadi ahli sebab belum berkahwin. Siti Nurhaliza aku kurang pasti sebab artis popular selalunya sibuk. Tak ada masa nak berpersatuan.

Melihat aku yang masih diam dan hanya menumpukan perhatian pada pinggan meehon goreng, awek suka kucing sambung cerita pasal Kelab Isteri Taat. Pot pet..pot pet..pot pet.... Bila penat dia berhenti. Kemudian sambung cerita lagi. Pot pet..pot pet..pot pet.... Awek suka kucing berhenti dengan pertanyaan terakhir ditujukan sekali lagi pada aku.


"Eh, ngko rasa, orang rumah ngko join tak kelab cenggini"

Aku tak tahu nak komen apa. Aku belum tengok kertas perlembagaan kelab itu. Berapa pula yurannya. Ada had umur tak keahliannya.

Dulu, masa bergelar mahasiswa, ada 2 kelab yang kira femes kat kolej aku. Satu KBS. Satu lagi KEJILU. 

KBS- Kelab Balak Setia. Aku tak pasti adakah Kelab Isteri Taat menggunakan modus operandi yang serupa. Syarat utama, mestilah ada makwe. Kenderaan hanyalah optional. Kamu boleh sahaja menggunakan pengangkutan awam untuk tujuan dating atau pinjam motor kawan. 

Mereka ini (lelaki) jenis tak boleh tengok awek mengeluh. Tengah-tengah malam awek cakap perut macam berangin pun sanggup redah cari kedai bungkus nasi paprik dan air milo. Cuti semester sanggup teman awek naik bas kat pudu balik kampung sedangkan ngko sendiri malam tu tidur kat puduraya sahaja. Pagi esok balik semula ke kampus, ambil beg dan baru balik rumah sendiri. Aku memang respek golongan ini. Tambah pulak yang jenis mamat ada 'muka' tapi awek... tak nak lah aku cerita.


KEJILU pula mewakili mereka yang putus cinta. Kelab Jiwa Luka. Selalunya keahlian paling ramai dari bekas Kelab Balak Setia. Iyalah, dari Putera masuk Pemuda. Dari Puteri masuk Wanita pula. Mereka ini yang kononya berhati batu tapi baru sekali gaduh awek mintak putus dah semalaman tak boleh tidur. Kononya dunia dah berakhir. 


Aku? Masuk yang mana satu? Cheh. Awek pun tak ada dulu. Macam mana nak daftar masuk salah satu. Hari-hari gedebang gedebung sembang pasal awek itu, awek ini, tapi sampai habis belajar tak sorang pun melekat, tak sorang pun aku berani nak mengorat.


Jadi, bila timbulnya isu Kelab Isteri Taat. Aku malas nak ambil tahu. Cuma kalau ada yang nak berpersatuan, jangan lupa minta kebenaran suami. Tidaklah asyik mesyuarat sana sini, buat aktiviti penuh jadual di hujung minggu. Tak cukup malam Sabtu, Ahad pagi pun  korang berpersatuan tak ingat waktu. Nanti lari pulak dari niat murni nak jadi isteri yang taat pada suami.

Nota tambahan:
kalau ditubuhkan Kelab Isteri Curang, Kelab Queen Control, Kelab Dera dan Kikis Duit Suami, yang ini pasti aku bangkang.

Selasa, Jun 07, 2011

Nora Elena

Petang ni. Tiada siapa nak layan aku pekena teh tarik.

Yang bujang, yang naik motor, yang bawa kereta sukan,
Yang layan lagu rock, yang sembang cakap gua lu,
Yang rambut sikat pakai jari, stokin basuh 2 minggu sekali pun kelam kabut nak balik awal.

Tak sangka dalam hati ada taman. Sebab Tiz Zaqyah tak berlakon, aku balik nie singgah pasar malam dulu. Lama tak pekena ayam goreng uncle bob.

Isnin, Jun 06, 2011

Idola

"Hah.. siapa pula idola kamu Seman".

Seman yang sebenarnya tidur sewaktu cikgu Murni memberikan penerangan tentang idola terpinga-pinga mendengarkan namanya dipanggil. Dia mengelipkan mata. Berkali-kali. Keheningan suasana kelas yang sebelum ini senyap mendengar 'syarahan' cikgu Murni, pecah dek gelak ketawa. Seman membisu. Tidak mengerti apa sebenarnya yang berlaku.

"Cikgu tanya ni. Siapa idola kamu Seman"

Seman diam lagi. Kali ini dia faham maksud pertanyaan Cikgu Murni. Cuma dia tak tahu jawapannya. Siapa idolanya. 

Kawan-kawan sekelasnya masing-masing ada idola.
Faridah letakkan tokoh politik nasional sebagai idola.
Ramli namakan artis yang berjaya sebagai idola.
Umi kata, ayah dia adalah idolanya. Sama macam Adibah.
Harun yang malas belajar tapi rajin bermain juga ada idola. Pemain bola sepak yang berhijrah ke tanah seberang.
Ah Keong juga ada idola. Tokey butik mewah yang kaya di bandar itu. Yang juga dikhabarkan punyai kedai basikal atas nama isterinya yang kedua.

Tapi Seman tak tahu siapa idolanya. 

Ayahnya... Seman tak kenal pun siapa ayahnya. Sejak kecil ayahnya dah meninggalkan dia dan emaknya untuk berkahwin baru. 

Seman nak jawab tokoh politik yang menjadi wakil rakyat di kawasannya adalah idolanya. Sebab Seman suka tengok tokoh politik itu yang dijulang ketika menang pertandingan pilihanraya bertahun yang lalu. Disorak dan dicanang bagaikan hero kampung. Pasti seronok jika suatu hari dia juga dijulang sebegitu. Tapi tokoh politiknya khabarnya kini dibenci orang kampung. Asyik berdebat hal air tin coca-cola yang mahal di Bangsar dan isu satay arnab yang sukar didapati di pasaran. Tiada lagi cerita tentang jalan kampung yang berlubang atau tanah sekangkang kera dirampas untuk pembangunan. Seman tak mahu dibenci sampai takut untuk balik kampung sendiri.

Seman nak jadikan ahli ugama sebagai idola. Iya, jadi ustaz pun profesion yang menarik. Tak semestinya pakai jubah dan lilit serban. Tapi Seman takut ditertawakan orang. Seman belum pun habis Muqaddam. Seman tak tahu nak baca tulisan jawi. Seman pergi surau pun untuk bertemu kawan dan main tepuk daun terup kat tempat letak basikal surau. 

Ahli sukan. Seman tak tahu pulak nama pemain tepuk daun terup yang handal boleh dijadikan contoh dan idola. Rafiq pandai main tepuk daun terup. Rafiq selalu menang dan bawa pulang daun terup yang jadi taruhan. Tapi tak akanlah Rafik, musuh sepermainannya jadi idolanya pula.

Seman terus diam. Tiada sebarang jawapan. Mujur Cikgu Murni tak marah. Tapi senyum sahaja. Iya, dari pagi Cikgu Murni asyik senyum sahaja. Cikgu Murni cuma pesan, semua murid kena buat karangan berkenaan idola sebagai tugasan cuti sekolah. 
....................

Semalaman Seman tak dapat tidur. Seman teringat pada senyuman Cikgu Murni siang tadi. Senyuman sama yang memberikan kerja rumah tentang idola. Cuma siang tadi, Cikgu Murni senyum malu-malu di atas pelamin. Seman yang leka bermain sepanjang cuti sekolah kembali teringat tentang kerja rumahnya tatkala menghadiri majlis perkahwinan Cikgu Murni bersama emaknya. Dan Seman, masih tak tahu siapa idolanya.

.....................
Hari ini. Seman dah kembali tersenyum. Sambil melompat-lompat kegembiraan. Dia dah tahu siapa idolanya. Dia nak jadi orang kaya yang ada banyak rumah. Dia nak melancong keluar negeri. Seman gunting suratkhabar dan tampal dalam buku latihannya. Seman nak jadi seperti idolanya.

Ahad, Jun 05, 2011

Cuti Sekolah

"Di luar Kuala Lumpur". Status aku kat facebook.

Awek suka kucing terus balas tanya, "Eh, ngko gi bercuti kat mana nie"


"Aku kat rumah. Kajang (luar Kuala Lumpur) "

"Cheh"

Jumaat, Jun 03, 2011

Lakaran Hati : 2 Jun

Doodle dari awek che'gu. Untuk 4 tahun berkongsi cinta.

 

Khamis, Jun 02, 2011

Nur Kasih

"Nak tengok filem Nur Kasih" tanya aku pada awek che'gu. Soalan yang aku tahu jawapannya. Nur Kasih pernah jadi fenomena dalam hidup awek che'gu. Juga mak. Cuma aku tak adalah nak ajak mak tengok wayang pula. Mak tak pernah tengok wayang dan tak mungkin akan.

.............

"Versi drama lebih menarik dari versi filem" komen awek che'gu. Iya. Filem ini lahir dari kejayaan sambutan luar biasa dramanya. Kelebihan drama, ia mampu buatkan kita tertunggu-tunggu kisah seterusnya. Seperti cinta, perasaan rindu itu buatkan cinta itu besar maknanya dalam hidup. Tidak sabar untuk menunggu. Tidak sabar untuk bertemu.

Menghasilkan filem dari genre drama sememangnya sukar. Kekuatannya terletak pada dialog dan lontaran emosi yang seharusnya mampu buatkan kamu turut menyelami perasaan setiap watak yang dilakonkan. Nur Kasih pada aku berjaya untuk itu. 

Selain dari episod cinta, pengorbanan dan kesetiaan yang merupakan ramuan utamanya, plot watak Adam dan Nur mengajar anak-anak muda yang liar tapi punyai keinginan untuk menjadi sebahagian dari ahli masyarakat yang berguna disampaikan penuh jujur. Biar sekadar lakonan, watak anak-anak muda itu  sememangnya ada bersama masyarakat kita. Cuma kita yang memandang sebelah mata dan terus membiarkan mereka hanyut tanpa keinginan untuk menghulurkan hatta sebatang kayu.

....................

Ahhh. Aku tak pandai untuk mengulas tentang filem. Aku cuma tahu tekan butang "LIKE" sambil jempul ibu jari ke atas. Peminat drama Nur Kasih tak seharusnya melepaskan kesempatan menonton filem ini. Tambahan pula dikhabarkan ia tayangan esklusif di pawagam sahaja. Tiada di Astro First. Untuk mak, nanti kami carikan DVDnya. Untuk awek che'gu, "Selamat Ulang Tahun Perkahwinan Sayang".