Man hantar SMS. "Ngko ada kat rumah tak hujung minggu ini"
Menggunakan ilmu semantik yang ada, aku balas SMS Man. "Ngko nak datang beraya ker"
Lama. Man tak jawab. Entah habis kredit atau nak dapat kebenaran isteri tentang perancangannya pada hujung minggu ini. Sementara menunggu SMS balas dari Man, aku mula mencongak aktiviti hujung minggu. Penghujung Syawal ni, masih ramai yang buat rumah terbuka. Kalau malas nak kemas rumah, boleh jer aku bagitau Man aku keluar beraya. Kalau tak ke rumah saudara mara atau sahabat handai, boleh juga beraya kat Giant. Tapi orang nak datang, takkan nak menolak.
Dulu. Masa bujang. Aku dengan Man rajin pergi rumah terbuka. Kadang-kadang aku bawak Man ke rumah kawan aku. Kadang-kadang aku ke rumah kawan Man. Ada jugak kami ke rumah entah siapa punya kawan ntah. Aku dapat rasakan, Man ada projek baik punya kali ini.
"Ooh La La ajak datang beraya. Kat Tanjung Malim". SMS dari Man.
Ooh La La, awek pujaan kitaorang. Awek Petronas. Manis macam jagung manis yang dijualnya. Selain daripada dengan Mat-Mat Rempit yang isi minyak motor 2 ringgit, Ooh La La juga sering mendapat perhatian Mamat Bangla yang kerja kat situ. Kira bersegi juga lah cabaran nak memenangi hati Ooh La La ni. Sekarang Petronas kat Sungai Buloh tu dah tutup. Ooh La La pun entah ke mana menghilang. Dan tiba-tiba muncul dengan jemputan beraya. Bukan tak pernah kami beraya kat rumahnya. Masa bujang dulu, hampir tiap tahun. Kalau tak kerana bapak ajak pegi pegang lembu, masa Hari Raya Haji pun kitaorang ingat nak pergi beraya ke rumahnya.
Jauh pula dia membawa diri. Sampai ke Tanjung Malim pula. Dulu mak ayah dia dok kat kuarters askar Sg Buloh tu. Tapi setahu aku mak bapak dia orang Kelantan. Kalau balik kampung pun, kenapa Tanjung Malim.
Aku rasa tak sedap hati. SMS Man. Minta alamat penuh. Kadang-kadang mamat tu baca mesej pun tak abis, terus kelam kabut.
Man forward mesej. Aku baca. Hati berbunga bertukar warna. Aku segera telefon Man. Tak ada masa nak main sms dah.
"Woitt.. dia ajak gi kenduri kahwin dia la. Kat Tanjung Malim tu sebelah laki dia"
"Yer ker, aku terlebih seronok dapat mesej dia tadi. Err...kita pos hadiah sahajalah" kata Man. Yang baru teringat ada isteri di sebelah.