Isnin, Mei 10, 2010

"Jika lesen itu dikeluarkan, Kerajaan dapat mengawal aktiviti perjudian, selain hasilnya boleh digunakan terutama untuk pembangunan bidang sukan di negara ini" - Pak Menteri

Pak Abu geleng kepala. Susah benar jadi ketua kampung hari ini. Tak sepadan dengan elaun yang diberikan. Memang bukan elaun itu yang ditagihnya semasa menjawat jawatan ketua kampung. Pengaruh dan kuasa yang lebih menarik perhatian dirinya untuk turut mencalonkan diri bagi perebuatan jawatan ketua kampung suatu ketika dahulu.

10 tahun bukan tempoh yang singkat. Bukan juga mudah. Pembaharuan yang sudah berjaya dibawanya sedikit sebanyak meninggalkan rasa bangga buatnya. Anak-anak kampung ini tidaklah umpama katak bawah tempurung sahaja berbanding sebelum jawatan itu disandangnya. Apa yang ada di kota sudah ada di kampung mereka. Lihat sahaja piring Astro yang memenuhi hampir setiap rumah di kampung itu. Warung Leha Janda yang jadi tumpuan orang kampung turut dilengkapi piring Astro. Walau sekadar menonton rancangan dari siaran Astro Ria. Ada lah sesekali dipasang siaran dari Animal Planet.

Namun, di sebalik kemajuan yang ditiru acuannya dari bandar, perkara yang satu ini benar-benar mencabar kewibawaannya. Anak-anak muda di kampung itu kerap benar berjudi. Ada dia terdengar kisah Seman mencuri sekerap untuk cari modal berjudi. Cerita Nenek Kiah menggadai tanah bendang untuk jelaskan hutang judi cucunya. Leha, janda  yang berniaga warung kopi pun dikatakan pernah mencuba nasib berjudi dengan harapan merubah nasib.

Benar, di kampungnya tiada kedai judi, kedai jual nombor ekor, kedai mesin kuda. Dia pun hairan bagaimana judi boleh jadi kegilaan dalam masyarakat kampungnya. Entah bila munculnya. Sekarang semua benda jadi pertaruhan. Bila nak hujan jadi pertaruhan. Siapa menang dam jadi pertaruhan. Pengaruh judi jelas kelihatan bila ia jadi topik utama perbualan di warung kopi. Tentang siapa rugi. Siapa untung yang sudi belanja secawan kopi. Cuma sesekali  bila imam kampung singgah minum, tidaklah ada yang berani bercerita tentang judi. Takut-takut dikhutbahkan tentang mati.

Baru-baru ini, ada orang KL datang. Merisik Pak Abu. Tidak. Bukan untuk meminang. Gila apa minang lelaki. Anak perempuan Pak Abu pun bukan. Pak Abu cuma ada seorang anak lelaki. Yang kerjanya di kota KL itu juga. Yang pulang bersama orang KL pada hari itu. Menemui Pak Abu dengan idea bentuk perniagaan yang baru. Pasti untung. Masuk MLM pun belum tentu kaya macam nie.

"Kita bukan nak menggalakkan orang berjudi bapak. Kita cuma nak sediakan saluran yang betul" pujuk Kadir, anak lelaki kebanggaan Pak Abu.

"Cuba kita kaji punca kenapa banyak kes kecurian kat kampung kita akhir-akhir nie. Kata orang, itu semua kaki judi punya kerja. Mereka tiada wang. Mencurilah jalan mereka untuk berjudi"


"Nie, kawan saya dar KL nie, Encik Burn sedia nak wujudkan tabung khas untuk yang berjudi. Tak payah susah-susah. Boleh pinjam dengan dia. Pinjam dulu, menang judi baru bayar"


"Isshhh... kamu dah buang tebiat ker. Nanti ditahannya pihak berkuasa sebab kita benarkan orang kampung berjudi"


"Itu kalau tak ada lesen bapak. Memang salah"


"Habis tu. Judi kamu nie ada lesen ker"


"Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan meluluskan lesen judi sebegini bapak. Sebelum bangsa lain ragut peluang nie, saya dan Encik Burn nak buka perniagaan ini dahulu di kampung kita. Encik Burn pun setuju nak dermakan keuntungan dari bisnes judi nie kepada kampung kita. Adalah jugak kita peruntukkan nak baiki balai raya tu nanti. Semua orang menang. Semua hati senang. "


Pak Abu terdiam. Memang ada terdengar ura-ura Kerajaan nak benarkan perjudian. Atas alasan kegiatan haram ini sukar dibendung. Lagi diharamkan, lagi berleluasa. Sifat manusia yang suka mencabar peraturan dan undang-undang. Sekurang-kurangnya bila dihalalkan dengan cara pemberian lesen, kegiatan ini terkawal. Dan manfaat dari lesen perjudian boleh digunakan untuk tujuan kebajikan pula.


Kalau Kerajaan pun boleh mengalah, apatah aku ini yang cuma ketua kampung sahaja. 


Dan saat itu, syaitan mula bertepuk meraikan kemenangan.

5 ulasan:

ns berkata...

terkejut juga dengar dalam berita tempoh hari. Biar betuii...

shasha berkata...

confuse kan???haih...

Tanpa Nama berkata...

hmpphh....lepas ni makin byk laa kes stadium runtuh...bangunan runtuh sana sini....sebab punca duit pembangunan hasil dr judi. camne aa si PM tuh bole kuar idea bangang cenggini. aku pon xtau laaa




notakaki: jangan salahkan rakyat kalau ada yg hilang kerusi time PRU akan datang nnt

Amirul Idham berkata...

jangan terkejut kalau 2 tahun lagi, rumah pelacuran pulak yg dihalalkan

Kemat berkata...

gdiz:
biarpun ia cuma baru cadangan, ia perlu dibangkang.. pasti ada cara yang lebih elok dari ini

shasha:
mereka yang confuse sebenarnya

fafarafa:
di sini kita perlukan suara rakyat

aremierulez:
minta dijauhkan