Selasa, Mei 29, 2012

Cerita Bobby


Namanya Bobby. Entahkan nama betul atau samaran ia sendiri tak pasti. Tapi setiap kali nama Bobby dipanggil ia pasti muncul. Kadang-kala ia tersalah duga juga. Rupanya ada juga anjing lain yang pakai nama Bobby. Pernah juga ia terfikir untuk menukar nama yang lain. Bobby terlalu klise. Jenuh juga ia cuba memikirkan nama yang lain, tapi tiada yang bersesuaian. Sekurang-kurangnya Bobby lebih elok berbanding di panggil babi. Sebab pernah juga dilihat tuannya memanggil kawan-kawan lain dengan jeritan "Hoi babi".

Bukan nama sahaja yang membuatkan Bobby pening. Yang lebih utama, sikap tuannya yang suka membaling kayu jauh-jauh dan mengarahnya untuk mengutip kembali. Dan apabila dipulangkan, kayu itu dibaling semula. Kali ini lebih jauh lagi. Macam dejavu. Entah apa yang seronoknya permainan ini, ia sendiri tidak pasti. Yang ia tahu, ia cukup letih membuat kerja tidak berfaedah ini. 

Petang itu, suhu mencecah 34 darjah selsius. Bobby tak tahu tahap kepanasan suhu itu jika dibandingkan dengan suhu di padang pasir. Yang pasti, petang itu cukup untuk membuatkan kanak-kanak malah orang dewasa yang baru belajar berpuasa memasang niat untuk meneguk air paip di tandas. Angin langsung tak bertiup. Tiada awan. Sinaran matahari sampai terus ke bumi tanpa tapisan.

Petang itu juga, tuan Bobby membawanya ke taman. Dan seperti biasa, adegan baling-kejar-kutip-bawa balik-baling-kejar-kutip-bawa balik-baling-kejar-kutip-bawa balik- baling-kejar-kutip-bawa balik berlangsung berkali-kali di bawah suhu 34 darjah selsius itu. Dan pada balingan akhir......


 "Geram sangat. Aku gigit la tuan aku tu. Tak tahu ker kita ni penat. Bukan nak kasi air pun" ujar Bobby ketika menceritakan saat terakhir dia dijadikan anjing peliharaan sebelum dibuang sebagai anjing gelandangan.

Ahad, Mei 27, 2012

10 Ciri Wanita Idaman Hati.


Melissa tampak anggun. Macam selalu. Hari ini dia ada temu janji lagi. Juga macam selalu. Sejak dia menyertai forum laman mencari jodoh, dia kerap keluar bersama 'kawan yang pasang impian nak jadi teman hidup'.

Melissa memang cantik. Berkerjaya. Tinggi. Berkulit cerah. Bermata redup. Rambut lurus melepasi paras bahu. Bibir merah yang seringkali menguntum senyum. Itu yang ditulis pada keterangan diri di laman mencari jodoh. Melissa tidak tipu. Dia memang cantik. Hampir setiap 'kawan yang pasang impian nak jadi teman hidup' yang keluar dengannya mengungkap perkara yang sama. Tak kurang yang mendambakan cintanya.

Cuma Melissa. Yang masih belum bersetuju. Menyerahkan hati dan jiwa. Dia masih mencari 'si dia' yang sesuai. Cuma dia sendiri tidak tahu bagaiamana lelaki yang dicarinya.

Hari ini. Melissa ke sesi temujanji lagi. Di restoran kopitiam di ibu kota. Pasangan temujanjinya Ameer, seorang duda. Mungkin pengalaman Ameer yang pernah jadi suami membuatkan perkenalan mereka yang singkat menjadi selesa. Ameer begitu bersahaja. Tidak gelojoh seperti 'kawan yang pasang impian nak jadi teman hidup' yang pernah keluar dengan Melissa. Melissa dapat merasakan Ameer adalah 'si dia' yang dia cari. Yang ditunggu bertahun lamanya.

Ameer terus menambat hati Melissa dengan kisah jenakanya. Dalam situasi yang serius pun, Ameer cukup kelakar pada pandangan Melissa. Yang seringkali buat dia tak kering gusi. Melissa ketawa terbahak-bahak biarpun cuba menutup mulut dengan tangan setiap kali ingin tertawa. Kemuncaknya, Melissa terkentut dek senak perut menahan keletah Ameer. 

Suasana hening seketika sebelum Melissa kembali bersuara, "Maaf, saya tak sengaja".

Ameer yang kagum dengan keikhlasan Melissa bersikap tenang seperti biasa "Eh, tak mengapa. Lagipun bau kentut awak wangi dan manis sekali".

..........................

Malamnya. Ketika melayari laman mencari jodoh. Melissa meminda profailnya. Dia menambah satu lagi daya tarikan miliknya yang baru disedarinya.  Melissa gembira. Dia dah jumpa ciri kesepuluh yang menjadi pelengkap kepada 10 perkara menarik tentang dirinya.

10. KENTUT WANGI DAN MANIS. SEDIA UNTUK DIKONGSI.



Rabu, Mei 23, 2012

Siri Pesanan Masyarakat " Jangan Tak Pakai Tali Pinggang Keledar, Bai"

"Hey, orang perempuan pun tak bawa kereta macam engkau tau. Patuh sangat dengan peraturan lalu lintas. Kau tahu maksud pemanduan berhemah. Bukan bawa kereta tak melebihi had laju, tapi perlu tahu bila nak ikut peraturan, bila kau boleh langgar peraturan" ujar Black.

"Di KL ni, kalau kau memandu ikut peraturan, engkau tak akan sampai pada waktu yang sepatutnya' tambah Black lagi.

Seman cuma diam. Seman ini memang lurus bendul. Tak berani membantah. Tak berani mengingkari. Lagipun Seman tak ada duit nak bayar saman nanti.

Usai mesyuarat larut malam (MLM) mereka, Black pulang terus ke rumahnya. Proton Prevenya meluncur laju memasuki jalan besar Sg Buloh Kuala Selangor.

"Ini kalau Seman ni mesti berhenti ni" getus hati Black tatkala melihat lampu isyarat di hadapan kawasan murid melintas bertukar merah. 

"Siang hari ada la budak sekolah nak melintas kat sini. Tengah malam ni siapa la yang nak guna. Entah lampu isyarat ni rosak kot". Black terus memecut laju keretanya tanpa tanda ingin berhenti.


.........................

Muka hadapan Harian Metro keesokannya melaporkan sebuah Proton Preve terbabas masuk ke longkang. Ada kesan kemek di bonet depan. Tiada siapa tahu bagaimana kesan kemek itu wujud. Tiada tanda pelangggaran. Black... dia masih belum sedarkan diri lagi.



................................

Seminggu sebelum itu, akhbar sama melaporkan kisah langgar lari membabitkan murid darjah dua yang sedang melintas jalan. Murid itu meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.


Khamis, Mei 03, 2012

Buku, Dunia Tanpa Sempadan

"Haih...banyak borong. Tak tahu pulak kamu suka membaca". Mak Uteh kagumbercampur hairan melihat anak lelakinya itu bertukar hobi pula. Baguslah. Cuma kalau masa sekolah dulu rajin membaca macam ni dah tentu jadi doktor.


Man cuma diam. Mungkin fikiran dan kudratnya difokuskan kepada timbunan buku dalam beg plastik yang dijinjingnya.


"Alah Mak. Bukan nak baca pun. Abang Man protes sebab tahun ni dia kena bayar cukai. Nak isi borang cukai e-fiiling baru terhegeh-hegeh mintak resit buku padahal surat khabar pun tak pernah beli" sindir Misha isterinya.