Selasa, Januari 31, 2012

Hari Ke Tiga Puluh: Amalan Sebelum Masuk Tidur

"Sebelum masuk tidur, bawa Husna kencing dulu. Nanti kencing atas tilam, susah pula nak kena cuci" pesan Awek Che'gu.

Dah larut malam, Husna mengamuk bila diajak ke bilik air. Mengantuk sangat barangkali. Aku tak paksa sangat. Sebab mata sendiri pun dah tak larat nak buka.

Awek Che'gu berleter lagi. Tapi kami dah hanyut dibuai mimpi.

Awal pagi. Aku bangun. Alih bantal, gulung cadar dan tandakan kawasan yang basah.

"Hah, Husna kencing lagi la tu. Kan dah pesan malam tadi" kata Awek Che'gu.

"Bukan Husnalah" balas aku pendek.

Ahad, Januari 22, 2012

Hari Ke Dua Puluh Dua : Limau

"Banyak sangat makan limau nie. Sakit perut nanti" ucap Hussin sambil mengupas kulit limaunya yang entah ke berapa pagi itu. Yang pasti, sarapan mereka pagi itu cuma limau sahaja.

"Sekali sekala jer. Masa Tahun Baru Cina ni la mudah nak dapat limau. Kau ambil banyak pun orang tak kesah" sampuk Mail, yang berhenti seketika makan limau untuk menghisap rokok pula. Banyak sangat dia makan limau sampai asap rokok yang keluar dari mulutnya pun ada bau limau.
Jali, yang jadi 'pembekal' limau untuk mereka pagi itu hanya diam. Limau pun dia tak sentuh banyak. Mungkin Jali ada banyak lagi stok limau. Apa nak hairan.

.............................

Malamnya. Hussin dan Mail sakit perut. Memulas-mulas. Cuma Jali yang nampak 'steady'.

.............................

"Limau tu, aku ambil dekat tokong cina simpang jalan besar. Dah banyak hari aku tengok tak bersentuh pun limau tu" ucap Jali perlahan, ketika ditanya tentang 'bekalan limau' di pagi hari.

Khamis, Januari 19, 2012

Hari KeSembilan Belas :

"Aahh... tak kena lagi"

Dah masuk 3 hari. Umpan dipasang hilang tapi yang ingin dijerat tidak dapat diperangkap. Sangkar kosong. Perangkap kekal keadaannya sepertimana dipasang. Tak terusik. Seolah tak pernah dimasuki perangkap sangkar itu. Cuma umpannya sudah dilarikan. Tanpa jejak.

Boleh tahan cerdik juga tikus kat kawasan ni. Mungkin dah biasa dengan helah perangkap sangkar besi. Dah terlatih bagaimana nak meragut umpan tanpa dijerat.

Macam biasa. Aku cuma termenung menggaru kepala melihat perangkap tanpa hasil jerat.

..................................................

 "Ikan goreng ni terlebih kunyit la. Kuat sangat rasa kunyitnya" getus Bulat.

Bulat, si tikus kecil sendawa besar selepas menghabiskan hidangan makan lewat malamnya. Dah 3 hari ia tak perlu bersusah payah menyelongkar tong sampah atau rak dapur mencari sumber makanan. Ia cuma perlu menunggu perangkap dipasang. Dalam kesempitan ia tahu di situlah wujudnya kesempatan. Menangguk di air keruh. Ia cuma perlu lebih berhati-hati. Ia arif benar dengan muslihat perangkap itu. Tak mungkin ia jatuh ke lubang sama dua kali.

Macam biasa, Bulat, si tikus kecil tidur lena kekenyangan. Dalam mimpi Bulat berharap nasib esoknya tetap sama.

...................................................

"Auuchhhhhhh"
Kena lagi. Tiap kali nak pasang perangkap. Sangkutkan lebihan lauk pada cangkuk umpan pasti dia tersilap. Dan perangkap tertutup dengan rapat dan kuat. Bukan main sakit tangan yang terjerat.

Si mangsa tak pernah kena. Sang pemangsa yang asyik terjerat sendiri nampaknya.

Macam biasa, awek che'gu senyum mengekek.



Isnin, Januari 16, 2012

Hari Ke Enam Belas: Rahsia Diari Biru IX

Sungguh kuat rindu ini
Untuk bertemu dan menatap wajahmu


Namun
Ku hanya mampu
Merenung ke arah atap genting rumahmu
Sedang mulut terkunci malu


Sihir apa yang kau kenakan
Jampi apa yang kau bacakan
Hidup ini keruan
Bayang-bayang kamu melingkari fikiran
Setiap detik setiap masa setiap kali matahari berganti bulan


Hei perempuan sihir 
Hentikan senyuman godamu
Hentikan bicara manismu
Hentikan santun tingkah lakumu


Hulurlah tangan
Sambut hati ini
Sambut jiwa ini
Sambut cinta ini


Yang kupersiapkan
Ikhlas untukmu


- Mat Bon-

Selasa, Januari 10, 2012

Hari Kesepuluh: Kata Kunci

Leman menyelak langsir bilik hotelnya. Cantik sungguh. Pemandangan yang mengadap Piramid Giza menggamit memori manisnya tika mula-mula mengenal cinta dahulu. Di situlah berputiknya. Pasir-pasir halus jadi saksi.


Leman capai telefon bimbit. Dia mendail nombor sama yang sering dipanggilnya 10 tahun ini.


"Sayang dah sampai ke" ucap satu suara di hujung corong. Bunyinya penuh kerinduan. Berjauhan ditinggalkan sementara.


"Aha. Baru daftar masuk hotel. Err.. apa kata kunci nak buka beg abang ni. Lupa la" balas Leman.


"Senang jer. Saya letak tarikh lahir saya" balas suara di hujung corong. Kali ini ada gaya manja.


"Errr.. tarikh lahir awak 24 ker 28 hb yer. Saya lupa la" ucap Leman teragak-agak.


Talian terus terputus. Leman  garu kepala.

Ahad, Januari 08, 2012

Jumaat, Januari 06, 2012

Hari Keenam: Graduasi

Seluruh komuniti bergembira. Mereka bagaikan berpesta meraikan kemenangan. Inilah saat yang ditunggu. Bertahun lamanya hidup menanggung malu.


Biar tiada yang menduga. Malah banyak yang mencela, namun dek keberanian serta semangat kecintaan pada ilmu, ia berjaya dibuktikan. 


"Hari ini, anak-anak kita berjaya buktikan bangsa tikus bukanlah perosak labu. Saya percaya suatu hari nanti, kita berupaya membaiki ddan menyelenggara sesuatu yang lebih besar, mesin basuh misalnya" ucap ketua komuniti tikus, di hari graduasi pengajian Diploma Membaiki Labu.


Iya. Percaya asas untuk kamu berjaya. 

Rabu, Januari 04, 2012

Hari Keempat: Orientasi Tadika

"Senang sahaja ni. Lagipun setakat budak berumur 4 tahun, kalau diajak bermain pasti mereka suka. Tak perlu bebankan sangat dengan penguasaan ilmu dunia ni" getus Atikah.

Atikah bertekad, nak terapkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang santai di Tadika Mesra ni. Sesuai dengan nama tadika tempat dia bekerja. Walaupun ini kali pertama dia bekerja sebagai guru tadika, dia yakin benar akan kebolehan diri. Dah seminggu dia latihkan diri menghafal segala bentuk lagu dan permainan tradisional kanak-kanak.

Atikah lupa. Kanak-kanak bukan senang nak diduga. Sukar juga dia nak kawal keadaan kelas bila masing-masing dah buat perangai masing-masing. Ada yang masih menangis di tinggalkan ibu bapa, ada yang mengantuk mengharapkan ada bantal disorongkan, ada yang dah berani mengusik kawan, ada yang kerap kali minta dibawakan ke bilik air

Plan B. Atikah cuba menarik perhatian kanak-kanak ini dengan mengajak mereka bermain sambil menyanyi.

"Haa.. siapa nak main enjit-enjit semut"

Diam.

"Tom-tom bak"

Diam.

"Nenek kebayan"

Diam.

"Err... kamu semua nak main apa"

"Angry birds....." jawab mereka serentak. 



Ahad, Januari 01, 2012

Hari Pertama : Azam

Sayup-sayup kedengaran azan. Zin buka mata. Perlahan-lahan penuh kemalasan. Dia teringat akan azam tahun barunya. Untuk tidak lengahkan ibadah solat lagi. Dia mahu solatnya sempurna. Cukup setiap waktu. Tiada lompang-lompang macam dahulu. 

Zin kerling jam di dinding. Dah pukul 1 lebih. Zin tepuk dahi. Balik dari sambutan ambang tahun baru, Zin hanya tidur bila jam tunjuk pukul 2 pagi.  Zin buka mata bila matahari dah meninggi. Azam pertama Zin berkecai. Subuh tadi dia lena diulit mimpi.