Selasa, Julai 12, 2011

1Pisang, 2 Malam dan 3 Kekasih

1Pisang

Akulah yang satu itu
Dari setandan pisang keemasan
Cuma aku
Yang kuningnya bertompok hitam
Cepat sahaja dibuang orang
Hadir aku hanya mencacatkan
Setandan pisang dipuja orang


Aku pinta diberi peluang
Tidaklah ingin dijaja sebagai petualang
Biar cuma cekodok pisang yang hitam
Manis juga bila dimakan
Perut kenyang hati pun senang.

2 Malam

Dah 2 malam
Tiada bulan
Tiada bintang
Langit kelam

Cuma hujan
Yang kadang rintik, menitik
Yang kadang lebat, menghempas

Kasihan pungguk
Rindu menatap bulan
Tidak kesampaian
Untuk 2 malam

3 Kekasih

Aku zahirkan puisi ini
Dari 3 warna
Disulam 3 rasa
Untuk 3 jiwa

Nahdiya, Husna dan Harith
Nama yang membutirkan cinta
Pengubat duka lara
Penenang resah jiwa

Terima kasih untuk semua
Bahgia yang tercipta
Ku harap kekal selamanya

-Mei 2011, Sg Semungkis

Iya. Ketiga puisi ini aku cipta semasa mengikuti sesi bengkel penulisan YADIM. Susulan cabaran yang dilontarkan pihak urusetia. 

Puisi pertama adalah yang ketiga. Bila diminta mengarang, apa yang ada dalam ingatan pada tika itulah adalah isteri dan anak. Maka terzahirlah rasa jiwa pada 3 nama kekasihku. Aku sedar, puisi tentang kekasih hati hanya kamu sahaja yang mengerti, tak sesuai untuk tatapan khalyak yang tidak mengenalipun nama yang aku nyatakan dalam puisi ini.

Maka, diusahakan pula puisi kedua. 1Pisang. Dalam ramai yang hadir pada sesi bengkel, tak mungkin semua akan berjaya sebagai penulis hebat suatu hari nanti. Dan entah kemungkinan yang satu itu adalah aku. Yang sering saja leka dengan angan-angan. Kalau tidak menjadi bunga yang menghiasi taman, biarlah menjadi rumput yang menghijaukan laman. Tajuk 1Pisang aku kira ada unsur kecindan dan retorik 1Malaysia yang dilaungkan orang.

Dah ada 3, 1, tak lengkap jika tak ada 2. A dan C perlukan B. Ba pengikat Alif dan Ta. Re sahabat karib Do dan Mi. Untuk puisi yang menggunakan judul 2, aku teringat pada 2 malam bengkel ini berlangsung yang setiap malamnya hujan. Dan 2 malam itu juga, peserta bengkel bersendirian tanpa keluarga, belajar untuk berbahasa. Dan untuk 2 malam itu, pasti mereka sangat merindui keluarga dan insan tersayang, bak punggguk yang merindui bulan.

Benar kata Pn Nisah Haron (salah seorang tenaga pengajar, novelis yang hebat), "Mengarang, derita yang nikmat". Dan aku merindui saat derita itu. 

Iya. Bangga dan teruja bila Pn Nisah dan Bayan (rakan blogger yang juga penulis berbakat) menyukai karya 1Pisang ini. Terima kasih tunjuk ajar kalian.

4 ulasan:

shasha berkata...

Nice!! Suka yg ketiga!

Tanpa Nama berkata...

Tahniah! Suka sekali dengan ketiga-tiga sajak ni. Teruskan berkarya!
-mus :)

Bunga Rampai berkata...

Cantiiiik ... saya suka! Teruskan usaha hingga menjadi penulis hebat.

Salam :)

Kemat berkata...

shasha:
terima kasih

mus:
terima kasihh. masih bertatih

bunga rampai:
iya, terima kasih.