Ahad, Julai 03, 2011

Dia Alien

Dia rasa dia alien. Yang terperangkap dalam tubuh manusia. Untung juga, Tamrin bukan sekadar berwajah kacak, tapi bertubuh sasa. Persis hero dalam cerita Hollywood.

Tamrin digilai ramai wanita. Seksi, lincah, bergaya, cantik... semuanya ada. Dia tanpa jemu berpasangan dengan mereka. Bersilih ganti. Hari demi hari. Kata kawan lelaki Tamrin, dia untung. Punyai ramai gadis cantik yang dambakan untuk jadi pasangannya.

Iya, Tamrin akui, nasibnya yang mudah didekati gadis-gadis cantik dicemburui rakan-rakannya. Cuma satu, Tamrin tak pernah jatuh hati, merasai cinta seperti mana dikisahkan rakan-rakannya. Mula-mula, Tamrin abaikan sahaja. Mungkin rasa cinta belum muncul. Dan dia sedia menanti sementara dia bergembira dengan gadis-gadis cantik yang berdampingan dengannya. Sehinggalah suatu hari, dia merasa jemu. Terlalu lama menunggu. 5 tahun berlalu tanpa sedetik rasa cinta menjelma.

Tamrin terfikir. Apakah dia alien. Kerana alien tak punyai hati dan tak bisa jatuh cinta. Kawannya yang  jarang berpacaran pun pernah bercinta. Bahkan Kemat, budak penghantar surat yang tidak kacak tapi berwajah manis itu juga pernah bercerita bagaimana dia menemui cinta dan berbahgia atas cintanya.
Hari itu, di pintu pagar rumahnya, berdiri seorang gadis. Dia tak pernah kenal akan wajah itu. Berkulit cerah, wajahnya bersih, renungan mata yang redup di sebalik tudung biru laut. Penuh sakinah. Itu rasa Tamrin tika melihatnya. 

"Kenapa" tanya Tamrin.

"Ini. Awak punya. Dah lama saya simpan" kata gadis itu sebaik menyerahkan kotak kertas berbalut renda merah.

Tamrin buka. Di dalamnya dia lihat ada sekeping hati yang tertulis namanya sebagai pemilik hati itu. Dan pada masa sama Tamrin menyentuh hati itu, dia mula merasa cinta. Yang sangat bahagia.


Tiada ulasan: