Cuaca malam itu panas. Farid dah mula rimas. Susah benar untuk dia lelapkan mata. Dia tepuk bantal 3 kali sambil mulut terkumat kamit seakan berbicara sesuatu.
Seminit kemudian, dia bangun lagi. Pusingkan bantal. Tepuk 3 kali dan mulut masih lagi terkumat kamit. Ada sesuatu yang digumamnya.
Farid benar-benar resah. Gelisah. Malam seakan tidak mengizinkan dia tutup mata. Biar sudah melewati jam 12 malam. Kipas sudah berpusing pada kelajuan maksimum tapi dirasakan belum cukup untuk mendinginkan suasana. Bingkas dia bangun membuka jendela. Mengharapkan ada angin malam namun keadaannya tetap sama.
Farid baring kembali. Cuba untuk pejamkan mata. Bergolek ke sini sana mencari keselesaan. Bantal sudah ditepuk berulang kali juga. Puas dia cuba tapi tak berjaya.
Akhirnya dia mengalah. Segera membuka komputer. Melayari internet di awal pagi.
"Tengggg...." Isyarat dari perisian Skye berbunyi. Dan seketika selepas itu wajah Nurul Ain terpampang di skrin komputernya. Kekasih hati yang baru 3 hari pergi ke London atas urusan kerja.
"Hah, puas saya tunggu awak dalam mimpi. Patutlah tak ada. Tak tidur lagi rupanya" ujar Farid memulakan bicara.
"Awak. Sini siang lagi laa. Apa pulak saya nak tidur siang-siang nie"
Plap. Farid tepuk dahi. Angau dan rindu buat dia lupa pasal batas waktu.