Ahad, Januari 16, 2011

Bungkusan Buat Abdul Kadir

"Encik Abdul Kadir. Ini ada bungkusan untuk encik"

Abdul Kadir kaget. Sepanjang dia menyewa di rumah setingkat yang banyak tingkap itu, belum pernah dia menerima apa jua bungkusan mahupun surat kecuali bil elektrik dan bil air. Sesekali surat dari syarikat pembekal bil elektrik yang memberi peringatan ke atas tunggakan bil yang belum dijelaskan.

Pagi itu. Ia tidak seperti pagi yang selalu dilaluinya. Juga bukan seperti pagi yang diimpikannya. Pagi itu berdiri seorang budak penghantar bungkusan di depan pagar rumahnya. Mungkin pagi itu pagi yang sama bagi budak penghantar bungkusan itu. Tetapi tidak bagi Abdul Kadir. Pagi pada hari dia bercuti yang sepatutnya dinikmati penuh ketenangan kini terganggu oleh kehadiran satu bungkusan. 

Lama Abdul Kadir membiarkan bungkusan itu di atas meja makannya. Seperti mana kebiasaan dia meletakkan bungkusan pizza yang dipesan dari telefon bimbit. Walaupun dia teruja benar untuk mengetahui isi kandungan bungkusan berbalut kertas minyak itu, dia masih ragu-ragu. Namanya tercatat sebagai penerima bungkusan itu. Tapi, siapa pula pengirimnya. 

Abdul Kadir meneguk kopi dari cawan semalam. Sejuk tapi masih mampu memberi rasa pahit. Kepahitan itu menghilangkan kesangsiannya dan segera kedua tangan mengoyakkan pembalut bungkusan itu. 

Dan dihadapannya kini. Ada sekeping hati. Bersama nota tulisan tangan tertulis "Untuk kamu"

Tanpa nama pengirim. Tapi Abdul Kadir tahu. 2 tahun yang lalu, pernah dia memberitahu gadis itu, "Suhaila, yang aku perlukan hanya hati kamu. Hati kamu". Sebelum gadis itu meninggalkannya untuk berkahwin dengan lelaki pilihan keluarganya.

 

3 ulasan:

nizamsani berkata...

mencari hati ada banyak di jalanraya. hati-hati dijalanraya namanya.

GDIZ berkata...

As'kum..hehe..kelakar komen nizam.

Apa-apa pun, en.kemat kenapa tak hantar cerita pendek/cerpen en. kemat ni ke media cetak? En. kemat ni berseni orgnya..hehe

Kemat berkata...

nizamsani:
kat jalanraya memang bayak hati yang ditinggalkan

gdiz:
saya baru bertatih, aku cuba diusahakan