Imam Hassan menoleh ke sisi. Memandang tepat ke arah Bilal Kassim. Cuma mereka berdua Zuhur itu. Dah lebih 15 minit mereka menunggu. Selepas laungan azan dikumandangkan, tiada tanda penghuni taman itu akan menuju ke surau. Suasana yang berbeza sekali di awal Ramadhan. Surau itu kelihatan amat kecil sekali dengan jemaah yang melimpah sehingga ke luar kaki lima surau.
Usai solat dan berzikir, mereka berdua mengemas sendiri. Pintu surau ditutup rapat. Tidak berkunci. Kemungkinan ada tetamu yang datang singgah untuk bersolat. Mereka tak mahu jadi penghalang pada mereka yang ingin menunaikan kewajipan. Biarlah pengunjung ke surau itu tenang bersolat di dalam dewan solat. Bukan sekadar di beranda yang boleh mengelirukan arah sebenar kiblat jika tidak diperiksa betul-betul.
"Kemana ahli kariah taman kita nie yer" tanya Imam Hassan. Inginkan kepastian. Jarang benar mereka berjemaah berdua sahaja. Dalam hujan lebat pun, pasti ada sekurang-kurangnya setengah baris. Siak Taib pun tak kelihatan. Selalu sebelum Zuhur dia dah ada membentangkan sejadah.
"Ada rombongan menyaksikan perarakan merdeka dari taman kita. Selepas Subuh tadi dah ada bas menunggu kat depan pondok rukun tetangga. Ramai jugak yang pergi. Katanya lepas Zuhur baru bertolak pulang" balas Bilal Kasim. Dia tahu. Anak dara suntinya pun ikut sekali dalam rombongan.
"Anak-anak muda pastinya baru nak membuka mata. Subuh tadi baru balik dari ibukota. Menyambut kemerdekaan kononnya" tambah bilal Kasim. Dia bukan menuduh. Anak bujangnya Seman juga begitu. Sebelum ke surau tadi, sempat diketuknya pintu bilik anak bujangnya yang masih berdengkur biar matahari dah meninggi. Hari ini hari merdeka. Hari cuti. Yang tidak pergi menyaksikan perarakan merdeka bermalas-malasan di rumah sahaja. Ada juga yang keluar ke pekan. Sibuk dengan persiapan raya.
"Itulah orang kita. Bila bangsa lain datang ke rumah ibadah kita, cepat benar melentingnya. Baguslah, masing-masing ada semangat dan sayangkan agama. Tapi diri sendiri tak nak datang. Cukup liat nak menjejakkan kaki. Tak bersedia nak memakmurkan surau dan masjid. Marah bila ada yang mempertikaikan laungan azan. Tapi kita sendiri leka dan tidak endahkan seruan azan". Imam Hassan kesal bercampur geram. Peranannya sebagai imam masih belum disempurnakan. Dia berdoa. Moga baki Ramadhan masih boleh berikannya harapan.