"Dah tak ada kertas lain ker engkau nak jadikan bungkusan nasi lemak tu. Punya la aku simpan elok-elok akhbar jawi tu dalam stor, itu juga yang engkau ambil" bentak Lebai Kasim melihat Manisah, anak daranya mengunakan akhbar kesayangannya sebagai bungkusan luar nasi lemak daun pisang yang dijual. Lebai Kasim tahu, surat khabar lama tulisan rumi yang biasa digunakan Manisah sebelum ini dah habis. Itu yang agaknya Manisah gunakan akhbar jawi dalam stor. Lebai Kasim juga tahu, nasi lemak yang dibuat anaknya itu sedap dan jadi bualan penduduk kampung. Dia bangga dengan air tangan anaknya yang mewarisi bakat arwah isterinya. Tapi kenapa akhbar jawi itu yang digunakan jadi pertikaian Lebai Kasim pagi itu.
"Bapak bukanya apa. Tulisan jawi makin lama makin pupus. Kat kampung kita ni pun, mana aa anak muda yang boleh baca jawi dengan lancar. Yang tua pulak dah tak minat. Nak beli pun kena ke pekan baru ada. Itu yang bapak simpan elok-elok. Untuk anak-anak dan cucu-cucu bapak. Ini warisan kita orang Melayu ni. Tapi senang-senang engkau guna buat bungkus nasi lemak"
Lebai Kasim pantang benar akhbar tulisan jawinya diusik. Baginya ia warisan yang perlu dipelihara dan diangkat ke tahap yang lebih tinggi. Bukan sekadar menjadi pembungkus nasi lemak.
Tengah ahri itu juga, Lebai Kasim pergi kedai Ah Tong. Lebai Kasim tengok ada banyak longgokan surat khabar bahasa Inggeris di belakang kedai Ah Tong. Lebai Kasim terfikir untuk beli dari Ah Tong untuk kegunaan Manisah membungkus nasi lemak.
"Aiyaa..Lebai. Itu surat khabar The Sun saya dapat percuma juga. Hari-hari pergi pekan isi minyak mesti saya ambil punya satu woo.. Lebai angkat sahaja berapa banyak mau. Lain kali sudah habis boleh datang angkat lagi" balas Ah Tong bila Lebai Kasim suarakan tentang longgokan akhbar Inggeris itu.
Mulai hari itu, nasi lemak Manisah berbungkus surat khbar Inggeris. Dan nasi lemaknya saban tahun makin laku.
Di kantin sekolah, murid-murid berebut nak beli nas lemak Manisah. Sedap satu perkara. Satu perkara lagi yang tak pernah disedari oleh Manisah ialah kerana bungkusan dari akhbar bahasa Inggeris itu. Bukan senang anak-anak kampung itu berpeluang nak baca akhbar bahasa Inggeris. Sekarang dah macam dua dalam satu. Sambil makan boleh baca akhbar Inggeris. Mula-mula tak tahu, lama-lama seronok juga jadinya. Secara tak langsung minat untuk pelajari Bahasa Inggeris meningkat.
Akhbar jawi Lebai Kasim tersusun rapi dalam stor. Tiada siapa yang berani menyelongkarnya. Dan ia terus kekal begitu. Lebai Kasim bangga punya koleksi warisan bangsa. Namun, jauh di sudut hatinya timbul rasa sedih. Minat dan kemahiran membaca jawi semakin hilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan