Rabu, Julai 27, 2011

Pemanduan Berhemah

Bandar Baru Bangi kawasan perumahan. Tak menghairankan orang bawa kereta perlahan. Tapi kali ini aku merasakan sangat perlahan. Atau mungkin aku sudah lambat nak ke tempat kerja menyebabkan aku merasakan pergerakan kereta di hadapan perlahan. Sangat.

Lorong sebelah kanan aku tengok kosong jer. Kereta kat hadapan tak ada tanda nak ke kanan. Masing-masing setia kat sebelah kiri. Kecuali aku yang kurang kesabaran pagi itu. 

Bagi isyarat, masuk kanan terus pecut laju kehadapan. Sambil terintai-intai apa kehal pemandu sebelah kiri bawa macam kura-kura nih. Dengan mudah, mata aku dapat menangkap puncanya. Ada awek seksi membonceng motosikal berkuasa tinggi dengan aksi yang bila pandang rasa rugi mata berkelip. Dan 2-3 kereta di sebelah kiri dipandu lelaki.

Cheh. Dasar jantan. Miang. Gatal. Ini puncanya jalan boleh sesak.  Marah betul aku dengan situasi sebegini. Dengan geram, aku bagi signal, masuk balik lorong kiri.

Selasa, Julai 26, 2011

ISNIN YANG PENING

Jalan di Kuala Lumpur hari Isnin sesak. Macam biasa. Buat kamu malas nak datang kerja.

Juga macam biasa. Aku turut sama terperangkap. Dalam kemeriahan ini. Hati mula mengeluh. Dan menyesal. Tak keluar lebih awal.

Lebih parah. Lampu trafik banyak warna merah. Jarum minyak berada kat aras paling bawah.

Suku perjalanan baru tersedar. Laluan ditempuh pagi ini sepatutnya berbeza. Ada bengkel di Putrajaya yang perlu hadir pagi ini sebenarnya. Dah tu, buat apa aku redah sesak menghala ke ibu kota. Cheh.

Mujur pusing balik tak susah. Sempat sampai sebelum program mula. Arah bertentangan laluannya 'clear'. Cuma terkial-kial cari syiling bayar 'parking'. Ada ker bangla stesen minyak tadi kasi baki beli roti guna duit 5 sen sampai sepuluh keping. Nak juga tunjuk protes tinggalkan duit 5 sen tu bersepah atas kaunter. Tapi keadaan akaun bank tak mengizinkan aku berlagak cam orang kaya. Puas akukutip duit celah carpet alas kaki.Cukup-cukup bayar 'parking' petang. 

Iya. Jadual program kalau ikut dalam buku sampai petang. Tapi baru separuh hari, semua ilmu dah abis dicurahkan. Biasalah,sesi soal jawab semua tunduk diam macam dah faham. Serba salah nak terus balik rumah atau masuk kerja jam tiga. Fikir punya fikir akhirnya balik ke pejabat juga. Cheh. Ini patut tulis dalam fesbuk kasi enche bos baca.

Petang balik awal berbanding biasa. (Yang ni tak patut tulis dalam fesbuk).Tepat jam 5.30 dah galas beg tutup PC. Sampai rumah awal buat hati ceria. Tiba-tiba teringat. Anak bini pagi tadi hantar pergi rumah mertua. Kena la pusing semula.

Hari Isnin. Sering buat aku pening.

Ahad, Julai 24, 2011

Kapsul Masa Cinta

"Alangkah bagusnya. Andai dapat diundurkan masa. Ingin aku bertemu dan bercinta dengan kamu. Sepuluh tahun yang terdahulu" ucap Leman penuh yakin. Dan jari jemarinya mengulit rambut Ida. Yang sesekali berombak ditiup angin.

"Kau tahu Ida. Selama 10 tahu ini aku mencari. Wanita yang dapat memahami diriku. Menerima aku seadanya. Tapi yang aku ketemu yang berminat pada wang ringgit sahaja. Cuma kamu yang berbeda. Mencintai aku seikhlasnya". Perasaan cinta Leman pada Ida makin membuak. Sejak putus tunang sepuluh tahun dahulu, baru inilah pintu hatinya diketuk semula.

Ida hanya diam. Membisu. Bukan tanda setuju. Jauh disudut hati, dia tak mahu kembali ke masa dahulu. 


10 tahun dahulu. Namanya Farid. Farid bin Abu.

Khamis, Julai 21, 2011

Cerita Malam Jumaat

"Malam ni nasi tomato lah"

Kelam kabut masing-masing cari kopiah, gulung kain pelikat berlumba turun ke surau. Kalau tak sempat baca Yaasin dari mula, dapat ikut serta aminkan doa pun dah cukup dah. Tak adalah masa makan baru nampak muka.

"Untung kita hari ni. Dapat makan free. Jimat belanja". Asap rokok dihembus. Berkepul di udara. Remote tv ditekan. Cerita hantu di tivi bermula.

Rabu, Julai 20, 2011

Jika Tak Percaya, Ambil Kapak Belah Dada.

Dah banyak kali dia dengar ungkapan sebegitu. Dan setiap kali itu jugalah dia ditipu. Manis mulut mereka bila menuturkan kata. Segalanya indah. Segalanya bahgia. Namun di akhir cerita, dia yang merana.

Dan sejarah itu bakal berulang lagi. Hari ini. Bila lelaki yang baru dikenalinya itu menuturkan madah yang sama. Menggesa dia membelah dada untuk melihat hati yang kononnya mengendong cintanya. 

Dari bonet kereta, dia keluarkan sebilah kapak. Kali ini dia bertekad. Mencari kebenaran. Mendapatkan kepastian. Sebelum hatinya terluka lagi. Dengan penuh cinta, dia mula menghayun kapak. Dan darah mula membasahi cinta mereka.... 

Selasa, Julai 19, 2011

Rahsia Diari Merah Jambu VI

Awak,

Bukan cemburu
Bukan juga rindu
Entah saya tak tahu
Sebenarnya keliru

Hidup ini bercelaru
Jiwa tak menentu
Tanpa kamu
Di sisi menunggu

Ahad, Julai 17, 2011

Rahsia Diari Merah Jambu V

Awak...
Bukan cemburu.
Tapi rindu.
Sangat.

Jumaat, Julai 15, 2011

Rahsia Diari Merah Jambu IV

Awak.
Saya cemburu akan awak.
Sangat

Selasa, Julai 12, 2011

1Pisang, 2 Malam dan 3 Kekasih

1Pisang

Akulah yang satu itu
Dari setandan pisang keemasan
Cuma aku
Yang kuningnya bertompok hitam
Cepat sahaja dibuang orang
Hadir aku hanya mencacatkan
Setandan pisang dipuja orang


Aku pinta diberi peluang
Tidaklah ingin dijaja sebagai petualang
Biar cuma cekodok pisang yang hitam
Manis juga bila dimakan
Perut kenyang hati pun senang.

2 Malam

Dah 2 malam
Tiada bulan
Tiada bintang
Langit kelam

Cuma hujan
Yang kadang rintik, menitik
Yang kadang lebat, menghempas

Kasihan pungguk
Rindu menatap bulan
Tidak kesampaian
Untuk 2 malam

3 Kekasih

Aku zahirkan puisi ini
Dari 3 warna
Disulam 3 rasa
Untuk 3 jiwa

Nahdiya, Husna dan Harith
Nama yang membutirkan cinta
Pengubat duka lara
Penenang resah jiwa

Terima kasih untuk semua
Bahgia yang tercipta
Ku harap kekal selamanya

-Mei 2011, Sg Semungkis

Iya. Ketiga puisi ini aku cipta semasa mengikuti sesi bengkel penulisan YADIM. Susulan cabaran yang dilontarkan pihak urusetia. 

Puisi pertama adalah yang ketiga. Bila diminta mengarang, apa yang ada dalam ingatan pada tika itulah adalah isteri dan anak. Maka terzahirlah rasa jiwa pada 3 nama kekasihku. Aku sedar, puisi tentang kekasih hati hanya kamu sahaja yang mengerti, tak sesuai untuk tatapan khalyak yang tidak mengenalipun nama yang aku nyatakan dalam puisi ini.

Maka, diusahakan pula puisi kedua. 1Pisang. Dalam ramai yang hadir pada sesi bengkel, tak mungkin semua akan berjaya sebagai penulis hebat suatu hari nanti. Dan entah kemungkinan yang satu itu adalah aku. Yang sering saja leka dengan angan-angan. Kalau tidak menjadi bunga yang menghiasi taman, biarlah menjadi rumput yang menghijaukan laman. Tajuk 1Pisang aku kira ada unsur kecindan dan retorik 1Malaysia yang dilaungkan orang.

Dah ada 3, 1, tak lengkap jika tak ada 2. A dan C perlukan B. Ba pengikat Alif dan Ta. Re sahabat karib Do dan Mi. Untuk puisi yang menggunakan judul 2, aku teringat pada 2 malam bengkel ini berlangsung yang setiap malamnya hujan. Dan 2 malam itu juga, peserta bengkel bersendirian tanpa keluarga, belajar untuk berbahasa. Dan untuk 2 malam itu, pasti mereka sangat merindui keluarga dan insan tersayang, bak punggguk yang merindui bulan.

Benar kata Pn Nisah Haron (salah seorang tenaga pengajar, novelis yang hebat), "Mengarang, derita yang nikmat". Dan aku merindui saat derita itu. 

Iya. Bangga dan teruja bila Pn Nisah dan Bayan (rakan blogger yang juga penulis berbakat) menyukai karya 1Pisang ini. Terima kasih tunjuk ajar kalian.

Ahad, Julai 03, 2011

Dia Alien

Dia rasa dia alien. Yang terperangkap dalam tubuh manusia. Untung juga, Tamrin bukan sekadar berwajah kacak, tapi bertubuh sasa. Persis hero dalam cerita Hollywood.

Tamrin digilai ramai wanita. Seksi, lincah, bergaya, cantik... semuanya ada. Dia tanpa jemu berpasangan dengan mereka. Bersilih ganti. Hari demi hari. Kata kawan lelaki Tamrin, dia untung. Punyai ramai gadis cantik yang dambakan untuk jadi pasangannya.

Iya, Tamrin akui, nasibnya yang mudah didekati gadis-gadis cantik dicemburui rakan-rakannya. Cuma satu, Tamrin tak pernah jatuh hati, merasai cinta seperti mana dikisahkan rakan-rakannya. Mula-mula, Tamrin abaikan sahaja. Mungkin rasa cinta belum muncul. Dan dia sedia menanti sementara dia bergembira dengan gadis-gadis cantik yang berdampingan dengannya. Sehinggalah suatu hari, dia merasa jemu. Terlalu lama menunggu. 5 tahun berlalu tanpa sedetik rasa cinta menjelma.

Tamrin terfikir. Apakah dia alien. Kerana alien tak punyai hati dan tak bisa jatuh cinta. Kawannya yang  jarang berpacaran pun pernah bercinta. Bahkan Kemat, budak penghantar surat yang tidak kacak tapi berwajah manis itu juga pernah bercerita bagaimana dia menemui cinta dan berbahgia atas cintanya.
Hari itu, di pintu pagar rumahnya, berdiri seorang gadis. Dia tak pernah kenal akan wajah itu. Berkulit cerah, wajahnya bersih, renungan mata yang redup di sebalik tudung biru laut. Penuh sakinah. Itu rasa Tamrin tika melihatnya. 

"Kenapa" tanya Tamrin.

"Ini. Awak punya. Dah lama saya simpan" kata gadis itu sebaik menyerahkan kotak kertas berbalut renda merah.

Tamrin buka. Di dalamnya dia lihat ada sekeping hati yang tertulis namanya sebagai pemilik hati itu. Dan pada masa sama Tamrin menyentuh hati itu, dia mula merasa cinta. Yang sangat bahagia.


Sabtu, Julai 02, 2011

Terus Berlari

Ooooo..begitu rupanya. Katanya dia berlari. Sebab tu baju merah jambunya basah melecun dek peluh. Larian 1 Malaysia.


"Wah. Bagus. Semangat betul kamu"

"Semangat tu sikit sahaja bang. Paksa rela yang lebih ni. Nanti rumah sukan saya kena potong markah kalau kehadiran tak memberangsangkan"

"Engkau rumah merah jambu ker"

"Issshh.. mana ada rumah sukan warna merah jambu. Rumah sukan saya warna kuning. Tapi cikgu pesan, jangan pakai baju warna kuning hari nie. Tak nak kasi sama dengan rumah sukan lain, kami pakai warna merah jambu"