Selasa, Mei 31, 2016

Anatomi Rupert – Suka Duka Masyarakat di Pekan Rupert

Judul:              Anatomi Rupert
Penulis:           Ruhani Matdarin
ISBN:              978-967-430-164-4
Penerbit:          Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2013.
Tebal:              179 halaman


Novel karya Ruhani Matdarin ini merupakan pemenang sagu hati Sayembara Penulisan anjuran ITBM-PENA –Berita Harian bagi kategori novel. Ia menjadi salah satu faktor untuk saya memilih novel ini selain nama pengarangnya yang mula saya kenali menerusi Kumpulan Cerpen Melawan Yang Mustahil.

Kisah yang dibangunkan berlatar belakang pekan Rupert, menyingkap bagaimana kisah masyarakat pekan ini menjalani kehidupan sekadar cukup makan sahaja. Tiada isu besar cuba diketengahkan jauh sekali memainkan isu darjat antara kehidupan si kaya raya dengan si papa kedana yang menjadi kisah klise bagi senario pekan lama di zaman moden ini. Konflik antara masyarakat, jika ada tidaklah terlalu besar sehingga mewujudkan perkelahian besar kecuali pertelingkahan antara Arif, ejen jualan kepada Razak yang turut bersaing mendapatkan jualan di Rupert.

Beberapa watak yang memberikan wajah pada novel ini didukungi oleh Pak Ali; empunya kedai gunting rambut tradisional yang kian hilang pengunjung dek tarikan salon moden, Tok Mun; orang tua di kampung yang punyai hasrat menukar nama pekan dan membesarkan masjid, Razak; penjual produk kesihatan dan penjagaan badan yang mendapat peluang lantaran usahanya belajar berbahasa Inggeris, Arif; menjadi nelayan kerana cinta dan kerana cinta juga mungkin kerjaya nelayannya berakhir, Badrul; pembawa cerita yang mengambil kesempatan atas pekerjaannya di pejabat kerajaan; Salihin, anak Pak Ali yang mendambakan tapak kedai gunting rambut ayahnya untuk dibangunkan semula sebagai kedai runcit dua tingkat.Tidak lupa watak Haji Husin, wakil rakyat yang kini di penghujung penggal menjadi pemimpin masyarakat. Kesemuanya sering mengunjungi kedai kopi yang diusahakan Sumarni yang jelas matang dalam percakapan dan pengaturan hidup.

Plot novel ini agak perlahan. Bermula dengan pengkisahan kedai gunting rambut yang ditenggelami arus kemodenan namun masih tekun diusahakan Pak Ali yang kerap bernostalgia dengan kisah silam. Pun begitu, Pak Ali sedar dia sedang menentang arus dan menasihatkan pembantu setianya, Salim untuk beralih arah mengejar masa hadapan. Gesaan anaknya untuk membangunkan tapak kedai gunting rambut kepada kedai runcit menyuntik elemen konflik keluarga apabila kerap kali hasrat anaknya itu ditolaknya. Pak Ali mengharapkan sikap Salihin lebih menyamai Salim dalam mengangkat sumbangan kedai gunting rambutnya.

Tok Mun dan Haji Husin ditonjolkan sebagai dua watak berusia yang menjadi pemimpin masyarakat Rupert. Bezanya Haji Husin berjaya dalam pemilihan undi manakala Tok Mun masih belum diberi kepercayaan lagi. Biar masing-masing punyai hasrat yang sama untuk menukar nama pekan Rupert dan membesarkan masjid.

Kisah anak muda dalam novel ini lebih menarik susunannya. Razak, Salihin, Arif memperlihatkan semangat anak muda mendapatkan kehidupan yang lebih bermakna. Penulis turut memasukkan sedikit elemen kisah cinta melalui kemasukan watak Sumarni dalam hidup Arif. Dan ia wajar dikembangkan lagi.

Pemilihan kata dan susunan gaya bahasa indah dalam beberapa ungkapan menjadikan novel ini menarik dan punyai warna sasteranya. Sekadar mengambil beberapa patah ungkapan dalam dialog novel, berikut antara yang memikat dialognya.

“Tulang patah tak mengapa, Ali. Tapi jangan semangat kita yang patah.” – Tok Mun.

“Bumi Tuhan ini kaya, kita harus gali kekayaan itu, walau di mana kita berada. Sebab Tuhan memberikannya kepada kita, kepada orang yang rajin mencari.” – Sumarni.

“Bukankah ayah mencintai masa silam? Kadangkala masa silam memang sakit ayah., tetapi kita boleh belajar darinya, jika kita tak mahu lari darinya.” – Salihin.


Anatomi Rupert bukanlah karya yang berat untuk difahami. Tanpa isu utama atau konflik yang kuat, ia disampaikan secara  bersahaja dengan setiap watak punyai kisah tersendiri.

Untuk keseluruhan penceritaan novel ini, saya berikan 3 bintang. 

https://www.facebook.com/rakanITBM


Rabu, Februari 06, 2013

Jamban


Jamban kat tingkat atas ni jadi tumpuan ramai. Apit yang dok kat tingkat paling bawah pun rajin naik ke atas.

Kadang-kadang Leman yang terpaksa turun ke bawah sebab atas dah penuh padehal sama bersih sama elok jer keadaannya.

"Aaaaa.... jamban atas ada wifi" kata Apit meleraikan kekusutan.

Isnin, Januari 28, 2013

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit

Ok murid-murid. Cuba bagi contoh untuk peribahasa ini.

"Hutang"

"Dosa"

"Kain baju yang dah dibasuh tapi belum dilipat"

"Pinggan mangkuk yang tak dibasuh"


Errkk.. Cikgu Murni geleng kepala. Negatif betul pandangan anak-anak muridnya. Namun ada kebenaran dalam jawapan yang diberikan. 

Selasa, Januari 15, 2013

Dengar, Dengar, Dengar

Siapa yang tidak mendengar sebenarnya.
Oh, aku lupa
Telinga kamu telinga raja
Suara kami suara hamba

Biarpun kami laung
Pekik
Jerit
Sampai perit

Pada kamu sekadar bisik
Keluh resah di jiwa
Tak perlu simpati rasa

Kata kamu 
               Usah dipedulikan
               Suara itu sendiri akan tenggelam
               Setelah gema hilang
 Dan tidurlah kamu dengan aman

Ingat kawan
             Demokrasi itu tiket kamu bebas bersuara
             Tapi bukan bermakna membenarkan kata-kata
             Memaksa mereka menerima semuanya

Sedangkan demokrasi itu berikan kita pilihan
Memilih kata-kata yang kita percaya bukan dusta
Antara  aku, kau atau dia

Dengar, dengar, dengar
Sebelum kamu mula berbicara
 

Selasa, Oktober 30, 2012

Samperit Aidiladha


"Wah..sempat lagi Mak Uteh buat biskut samperit raya Aidiladha ni yer". Leman memang hantu samperit. Leman segera buka balang dan sambar 3 keping samperit tanpa sempat dipelawa Mak Uteh. Aahh.. lagipun Leman kenal sangat dengan Mak Uteh nie.

"Oooo..itu belen biskut raya Aidilfitri tu" jerit Mak Uteh dari dapur sambil bancuh teh O.

Khamis, Oktober 25, 2012

Hati Macam Kamera


Puas Leman belek, hanya ada satu dua keping sahaja gambarnya dalam kamera miliknya sendiri. Selebihnya, gambar orang lain. Paling banyak gambar Salmi, gadis manja yang suka bergaya depan kamera.

Salmi pula tersenyum puas melihat gambarnya. Cantik sekali hasil tangkapan Leman. "Err, nanti gambar saya ni bagi dekat sayalah. Semua sekali. Cantik" ujar Salmi.

Leman senyum. Untuk Salmi apa sahaja akan diturutinya. Leman menambah "Hati kita macam kamera. Dalam kamera saya ada gambar awak. Dalam kamera awak ada gambar saya"

"Tapi, gambar awak dalam kamera saya dah dibuang" balas Salmi.

Sabtu, Oktober 20, 2012

Srikandi Kami







Tanggal 12.10.12, dia lahir menjengah ke dunia dengan wajah kemerah-merahan. Ahlan Wa Sahlan buat Nur Lily Humaira'. Permata kami yang ketiga

Isnin, Oktober 15, 2012

Vokal: Bukan Sekadar Rupa


"Sedap juga suara abang nie. Cuba la masuk rancangan realiti Vokal kat tivi 3 tu" ujar Zana, awek jaga kaunter kat pusat nyanyian keluarga tu.

"Terima kasih. Ingat kalau akademi fantasia atau mentor ada lagi tahun depan, nak cuba yang itulah..macam lagi menarik jer" balas Leman.

"Hmm, tapi sekarang nie yang tengah buat uji bakat rancangan Vokal. Lagipun sesuai ngan abang sebab dia tak pentingkan rupa, janji suara dan bakat ada" balas Zana selamba.

Leman tak pasti sama ada pernyataan itu adalah pujian atau kutukan. Cheh. Hasrat dia nak tekel awek pusat nyanyian keluarga tu terbantut.

Rabu, Oktober 10, 2012

Kayu dan Batu


Hati dia keras. Macam batu. Macam kayu. Okay. Dengan kayu, aku ukir atas batu. "Aku CInta Kamu"

Rabu, September 19, 2012

V Kolar

Mak Munah bukan paham sangat apa itu LGBT. Dia cuma baca kat fesbuk. Mak Munah memang tak berkenan pun dengan fesyen V kolar nie. Mak Munah teringat anak bujangnya ada juga 2-3 helan t-shirt V kolar tu. Mak Munah mula rasa tidak sedap hati.

Mak Munah ambil langkah drastik. T-shirt tersebut dikeluarkannya dari gobok baju anaknya. "Hmm, selesa juga kainnya. Mesti mahal ni" Sayang juga kalau nak dibuang begitu sahaja.

Esok, Pak Majid pergi berkebun pakai t-shirt V kolar warna kelabu. Mak Munah kembali senyum.

Isnin, Julai 23, 2012

Juadah Berbuka


Mereka sepakat, hari bekerja mereka akan berbuka di restoran sahaja. Maklumlah kedua-duanya bekerja, mana sempat nak sediakan juadah. Hanya pada sebelah hujung minggu sahaja Leman minta Salmah memasak. 

"Tekak abang tak berapa masuk juadah resoran ni. Lebih ajinomoto jer diaorang masak" pinta Leman. Salmah tak kisah. Lagipun nak pikat suami kenalah pikat perutnya.

Hari minggu itu, tatkala Salmah bertungkus lumus kat dapur, Leman hanya baring di depan tv. Menonton rancangan masakan kelolaan selebriti chef Anis.

Sesekali Salmah datang mohon bantuan. Minta dibukakan penutup botol sos dan tin sardin.

"Bang, santan tak ada la. Macam mana nak masak serawa labu ni. Abang belikan santan boleh" pinta Salmah.

"Tak payahlah masak serawa labu. Nasi dengan lauk cukup lah" balas Leman yang cuba mengelak untuk dipaksa ke kedai. Terliur juga bila isterinya sebutkan serawa labu tadi tapi tak cukup kuat untuk mengatasi rasa malasnya.

"Er, ais batu tak ada. Kalau nak minum sirap kena beli ais la bang" jerit Salmah dari dapur.

"Eh, tak payahlah minum ais. Kan tak elok sebenarnya. Kita minum air suam atau air panas jer. Awak buatkan teh o panas pun ok" balas Leman malas.

Dah dekat waktu nak berbuka, Leman menjengah ke meja hidangan. Boleh tahan banyak juga Salmah masak. Semua lauk kegemarannya. Cuma yang tak ada serawa labu dan air sirap sahaja. 

Tiba-tiba, Leman teringatkan sesuatu. Kelam kabut dicarinya kunci kereta. 

"Nak ke mana tu bang" tanya Salmah

"Kedai. Rokok aku abis dah" balas Leman pendek.

Sabtu, Julai 21, 2012

Sahur Pertama


Banyak juga Leman melahap masa sahur tadi. Maklumlah, hari pertama puasa, 'bekalan' kena lebih. 


Leman berhenti sejurus sebelum azan berkumandang. Abis sahaja azan, Leman tanya pada isterinya, "Eh, berbuka nanti kita nak makan apa yer"

Ahad, Julai 08, 2012

Bila Kuah Tertumpah


Husna sekarang gemar melukis dan mewarna. Jika dilihat pada contengan lukisannya, ada bakat seni juga. Jari runcing katakan. Kadang-kadang terfikir juga, bakatnya tu dari aku ker. Yelah, kata pepatah mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi.


Satu hari, Husna minta aku lukiskan ayam. Selalunya dia mintakan mamanya lukiskan. Selepas itu dia akan warnakan lukisan itu. Cuma hari itu, mamanya agak sibuk, jadi sebagai bapa mithali aku tawarkan diri untuk membantu. Bukan susah sangat nak lukis ayam.


Bila dah siap dan tunjukkan pada Husna, dia tak puas hati. "Nak lukis ayam" bentak Husna dalam nada merajuk. Eh, betullah ayam. Atau aku salah dengar, sebab anak aku ni pelat juga. Kadang-kadang tak berapa jelas sebutannya. 


"Nak lukis abang ker" tanya aku memujuk. Mungkin dia minta aku lukis abang kot.


Mamanya dari tadi hanya melihat datang membantu. Capai buku terus lukiskan sesuatu. Husna kembali tersenyum dan terus mula mewarna.


Aku mengintai dari jauh. Ayam jugak la yang dilukis mamanya. Cuma ada rupa sikit la.


Cheh. Nak wat macammana, dulu aku tak ambil mata pelajaran lukisan kat sekolah.

Khamis, Jun 28, 2012

Bukan Ronaldo Sahaja Yang Menangis


Sejak Negara Tiga Singa terkeluar dari saingan Euro, Leman dah tak lalu makan. Sedih sangat barangkali pasukan kesayangannya kalah.


"Rileks la Man. Rakyat England pun tak sedih macam engkau. Rooney silap-silap dah bercuti ke Carribean main pasir pantai"


"Aku baru jer beli jersi England. Original lak tu" balas Leman dalam suara yang hiba.

Ahad, Jun 24, 2012

Bola


Pak Jali kira kaki bola juga. Kalau kat warung kedai kopi janda Lijah tu, Pak Jali jadi tukang karut bercerita pasal bola. Yang lain menganga sahaja. Pengetahuan Pak Jali pasal bola tak siapa boleh lawan. Maklumlah, kat kampung tu, hanya Pak Jali pernah main sampai ke peringkat daerah. Masa muda-muda dulu la..

Cuma Euro kali ini, Pak Jali tak berapa layan. Iyalah perlawanan awal pagi. Mana larat Pak Jali nak bangun malam. Mata pun tak berapa nak terang nak menonton tv. Jadi, untuk edisi Euro, anak-anak mudalah yang ambil giliran tukang buka cerita.

"Euro kali ini tak menarik macam dulu. Dulu-dulu ada Maradona dengan Pele" sampuk Pak Jali.

Mulai hari itu, ramai juga yang sangsi dengan fakta bola Pak Jali.

Jumaat, Jun 22, 2012

Kurus


Setelah bertahun mencuba, akhirnya dia berjaya juga. Hari ini dia bukan lagi Din Gendut. 

"Apa rahsia kau Din" tanya kawan-kawannya. Mereka tahu Din banyak amalkan diet pelangsing badan. Bermacam produk dia cuba. Dah bermacam jenis pil dia telan. Berbaloi juga, Din kelihatan lebih kurus hari ini berbanding setahun yang lalu.

Din cuma diam. Perlu kah dia berkongsi rahsia dengan kawan-kawannya. 

Sebenarnya, Din kembali kurus setelah banyak kali terpaksa menahan lapar dek tiada duit belanja hatta untuk membeli sarapan. Ribuan duit simpanannya telah dihabiskan untuk membeli pelbagai produk pelangsing badan sepanjang 3 tahun ini.

Rabu, Jun 20, 2012

Karipap dan Seri Muka

"Err..kita dah boleh mula kot. Semuanya dah ada kan. Siapa yang tak ada" kata pengerusi majlis.


Suasana sepi seketika. Mujur juga. Kalau ada suara ghaib yang tiba-tiba berkata "Maaf. Saya tak hadir", harus aku cabut lari.

Sabtu, Jun 16, 2012

Selamat Hari Bapa


GULP!

Tidak seperti bapa yang lain, Asrul gelisah tatkala menerima mesej ucapan selamat hari bapa dari teman wanitanya.

Sabtu, Jun 09, 2012

Tak Kenal Maka Tak Cinta


Hujung minggu, Ayu balik kampung lagi. Kata  maknya, ada orang nak datang merisik. Mak Ayu turut berpesan jangan lupa bawa balik baju kurung dan tudung. 

Hari merisik, Ayu sibuk berdandan dari pagi. Ayu nampak cantik sekali. Cukup sempurna untuk buat mana-mana lelaki jatuh cinta. Mak Ayu tak kurang juga sibuknya. Dari pagi mak Ayu sudah mula memasak bermacam hidangan. "Lepas ni, kamu kena belajar memasak. Nak pikat suami, kena pikat perutnya" pesan mak Ayu tatkala Ayu datang menjengah ke dapur untuk bertanyakan pendapat maknya tentang penampilannya. Bukan tak nak tolong emaknya memasak, tapi Ayu hanya tahu bancuh kopi. Lagipun kukunya baru sahaja digilap awal pagi.

Ayu lega. Segalanya tampak berjalan dengan lancar. Bakal keluarga mertuanya juga nampak selesa dan berkenan sekali dengan perwatakannya. "Cantik, berpelajaran dan pandai memasak", puji mereka. 

"Pandai betul Ayu masak. Sedap. Dah lama tak makan masakan kampung macam ni" puji bakal bapa mertuanya. Masakan tidak dipuji begitu, 3 kali juga ditambah nasi sampai sebu perut. 

Ayu pantas memahami ketidakselesaan bakal bapa mertuanya yang terlalu kekenyangan itu. "Nanti saya buatkan teh halia. Mak kata, elok untuk buang angin dalam badan" 

Di dapur Ayu tercari-cari teh halia pra campuran. Ayu kaget. Tak manis pula nak kacau emaknya yang tengah rancak berborak di ruang tamu. Ayu tekad. Bukan susah sangat pun. Bancuh sahaja teh dengan halia.

"Ptuuiiiihhhh" bersembur air teh halia yang diminum bakal bapa mertuanya. Mak Ayu tengok air teh halia yang tumpah lain macam warnanya. Tak seperti selalu. 

"Kunyit", terdetik jelas di hati mak Ayu. Petang itu, banyak juga hati yang menjadi sayu. Lebih-lebih lagi hati Ayu. Benarlah, tak kenal maka tak cinta.

Ahad, Jun 03, 2012

Gol Tiang



"Dalam permainan hoki ini. Yang penting adalah fokus yang akan menjamin ketepatan dalam kamu membuat hantaran dan menjaringkan gol", itu pesan cikgu Arsyad pada sesi pertama pembentukan pasukan hoki Sekolah Rendah Sultan Ismail 1.

Mulai hari itu, kami berlatih menggunakan tiang gol bola sepak. Iya. Sekolah kami tiada padang khusus untuk hoki. Maka sebelah tiang gol bola kami umpamakan sebagai pintu gol untuk kami. Untuk menjaringkan gol, bola hoki yang dirembat perlu mengena tepat pada tiang gol. Itu adalah antara teknik yang diasah cikgu Arsyad untuk kami fokus. 

Mula-mula berlatih, memang susah. Sedangkan pintu gol sebenar yang sedepa luas pun ramai yang tersasar, inikan pula tiangnya sahaja. Benarlah kata pepatah. Benarlatih jadikan kamu sempurna. Pejam mata pun kami masih mampu menghalakan bola tepat menuju ke arah tiang gol. Dengan ketepatan dan kepantasan yang kami miliki, ramai mula menaruh kepercayaan pada kami untuk menjuarai perlawanan peringkat zon nanti. bah. Sejarah bakal berubah. Pasukan sekolah kami bukan lagi tercorot dalam sukan hoki.

Hari yang mendebar itu tiba juga. Kami yakin boleh bergelar juara. Gol lawan akan kami bolosi dari minit pertama. Fokus. Itu pegangan kami.

Tapi terlalu yakin tidak elok sebenarnya. Hari itu bukannya hari bahagia. Sejarah kadang-kadang perlu diyakini dan diambil iktibar juga.  Tiada kisah ceria untuk dikenang. Pasukan kami pulang awal. Pasukan lawan lebih banyak membolosi gol kami.

Kami???? Bola banyak menghala ke tiang berbanding menuju ke gawang gol. Cheh.