Sabtu, Jun 09, 2012

Tak Kenal Maka Tak Cinta


Hujung minggu, Ayu balik kampung lagi. Kata  maknya, ada orang nak datang merisik. Mak Ayu turut berpesan jangan lupa bawa balik baju kurung dan tudung. 

Hari merisik, Ayu sibuk berdandan dari pagi. Ayu nampak cantik sekali. Cukup sempurna untuk buat mana-mana lelaki jatuh cinta. Mak Ayu tak kurang juga sibuknya. Dari pagi mak Ayu sudah mula memasak bermacam hidangan. "Lepas ni, kamu kena belajar memasak. Nak pikat suami, kena pikat perutnya" pesan mak Ayu tatkala Ayu datang menjengah ke dapur untuk bertanyakan pendapat maknya tentang penampilannya. Bukan tak nak tolong emaknya memasak, tapi Ayu hanya tahu bancuh kopi. Lagipun kukunya baru sahaja digilap awal pagi.

Ayu lega. Segalanya tampak berjalan dengan lancar. Bakal keluarga mertuanya juga nampak selesa dan berkenan sekali dengan perwatakannya. "Cantik, berpelajaran dan pandai memasak", puji mereka. 

"Pandai betul Ayu masak. Sedap. Dah lama tak makan masakan kampung macam ni" puji bakal bapa mertuanya. Masakan tidak dipuji begitu, 3 kali juga ditambah nasi sampai sebu perut. 

Ayu pantas memahami ketidakselesaan bakal bapa mertuanya yang terlalu kekenyangan itu. "Nanti saya buatkan teh halia. Mak kata, elok untuk buang angin dalam badan" 

Di dapur Ayu tercari-cari teh halia pra campuran. Ayu kaget. Tak manis pula nak kacau emaknya yang tengah rancak berborak di ruang tamu. Ayu tekad. Bukan susah sangat pun. Bancuh sahaja teh dengan halia.

"Ptuuiiiihhhh" bersembur air teh halia yang diminum bakal bapa mertuanya. Mak Ayu tengok air teh halia yang tumpah lain macam warnanya. Tak seperti selalu. 

"Kunyit", terdetik jelas di hati mak Ayu. Petang itu, banyak juga hati yang menjadi sayu. Lebih-lebih lagi hati Ayu. Benarlah, tak kenal maka tak cinta.

3 ulasan:

oren merah berkata...

hahaha!!giler kentang, kunyit dengan halia xtahu beza.

shasha berkata...

Camna nak kawin kalo camtu?

Kemat berkata...

oren merah:
jangan gelak, ramai juga yang keliru

shasha:
:)