Selasa, Disember 27, 2011

Senarai Semak No 1 Mula Sesi Persekolahan : Gunting Rambut


"Boleh Pak Usu. Saya memang tukang gunting rambut kawan-kawan kat asrama" ujar Said, anak saudara Husin. Kemana tumpah kuah kalau tak ke nasi. Husin dahulu pun jadi tukang gunting rambut di asrama dulu. Semua pelajar carinya. Dari kawan sekelas sampai ke abang-abang senior. Masyur benar di dengan pekerjaan suka rela tukang gunting ini. Sampai digelar orang 'Husin Barber'.

Husin lena dalam khayal di atas bangku sementara rambutnya 'dikerjakan' anak saudaranya itu. Bunyi bilah gunting yang berlaga jadi irama yang mengasyikkan buatnya. Dalam lena, Husin senyum terkenangkan kehebatan gerakan tangannya mencantas rambut rakan-rakan. Sebut sahaja gaya yang dimahu, pasti Husin mampu buat.

"Wokeh... dah siap Pak Usu" teriak Said melepaskan ikatan surat khabar di sekeliling tengkuk bapa saudaranya. Segera dihulurkan cermin muka pada Pak Usunya. 

"Amacam. Ok tak gaya nie. Nie gaya paling top kat sekolah ni Pak Usu"

Husin tengok cermin lama-lama. Belum puas rasanya dia membelek wajah barunya. Husin capai kunci motosikal. 

"Pak Usu nak keluar kejap. Beli rokok" balas Husin perlahan.

.......................


"Mamak. Guna mesin nombor satu yer" jerit Husin. Cheh. Ada ker diguntingnya gaya K-Pop. Hilang imej rock aku, getus Husin dalam hati.

Rabu, Disember 21, 2011

Ptuuiihhhhh

Ptuuiiiihhhh......
Bersembur air liur Deraman ke tanah. Ada juga sisa air liurnya yang tidak mengikut hukum graviti sebaliknya terarah kepada pengikut Deraman yang berada di kiri dan kanannya. Tiada yang berani mengelap kesian tempias itu. Lagipun rakaman video sedang dilakukan. Kena tunjuk hormat pada ketua. Air liur itu mungkin keramat. 

Ptuuiiiihhhh...... 
Entah kali ke berapa. Deraman meludah lagi. Mungkin dia tahu dia bukan berada di tanah Temasik, Kota Singapura. Kalau tidak dah tentu kena saman. Di sini, bumi demokrasi, dia bebas berbuat apa sahaja. Meludah di sana sini. Cuma dia tak berani meludah ke langit. Takut jatuh kembali ke bumi menimpa diri.

Ptuuiiiihhhh...... 
Deraman bukan calang-calang orang. Dia panglima. Macam Tuah. Macam Jebat. Tapi lebih hebat. Tuah dan Jebat guna kudrat. Hunus keris buka silat. Deraman cuma perlu meludah. Musuh dah cukup takut dan gentar.

Ptuuiiiihhhh......
Ptuuiiiihhhh...... 
Ptuuiiiihhhh...... 
Ptuuiiiihhhh...... 

Deraman terus meludah. Ada yang bertepuk tangan. Ada yang melaungkan takbir kemenangan. Ludah. Senjata baru panglima Melayu. Melayu baru. Yang kian layu. Dek ketaksuban dan  tingkah laku sendiri.

Ptuuiiiihhhh...... 





Selasa, Disember 20, 2011

Musim Hujan


Sejuk.
Dingin.
Sampai ke tulang.

Dua tiga kali.
Cadar bertukar.
Tilam berjemur.


Basah bukan tempias hujan.
Tapi Husna kencing malam.

 

Jumaat, Disember 16, 2011

Musim Suara Serak dan Hidung Berhingus

Kadang-kadang kita terlalu leka
Dengan keghairahan dan nikmat dunia
Mungkin sedikit demam dan rasa sakit
Mampu mengingatkan kembali
Tujuan sebenar hidup di dunia
Dan kita hanyalah hamba-Nya

Khamis, Disember 01, 2011

Kisah Ayam Punya Telur

Harga telur ayam sekarang mahal betul. Telur gred 'C' pun dah cecah RM3.50 untuk 10 biji. Telur dah tak termasuk sumber protein yang murah hari ini. Kedai runcit dan pasaraya besar yang beroperasi berdasarkan konsep "harga kami paling murah" perlu beri perhatian ke atas perkara ini. Iya. KR1M pun termasuk sekali. Bukan tak ada yang murah, tapi dari sudut cuba mengaut keuntungan dengan sedikit elemen kapitalis, harga telur ayam hanya murah jika kamu beli dengan kuantiti yang banyak. Pasaraya besar di kawasan rumah aku jual telur ayam gred 'A' untuk 30 biji RM10.50.

Dari sudut pengguna, kenaikan ini membebankan. Telur sekian lama merupakan bahan asas masakan yang wajib ada dalam setiap isi rumah. Tak kira rumah kelamin atau bujang. Tak sampai 2 minit pun kamu dah boleh sediakan makan malam berasaskan menu telur mata kerbau.

Dari sudut ayam, kenaikan ini sedikit sebanyak menaikkan standard ayam dan mampu menyaingi itik yang sekian lama berbangga dengan harga telurnya yang lebih mahal.

Sebagai pengguna yang bijak, aku beli telur ayam sepapan 30 biji terus. Akibatnya, hari-hari menu kami berasaskan telur ayam. Itu tak campur lagi telur rebus yang bawa balik dari kenduri kahwin. Impaknya pada persekitaran juga. Pencemaran bau mudah berlaku dan tersebar dengan cepat. Di kawasan orang ramai dan berkepadatan tinggi, perkara ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati. Kecuali pasangan yang sedang hangat bercinta, kentut itu masih lagi wangi dan mengasyikkan.