Rabu, April 20, 2011

Sepandai-Pandai Tupai Melompat.

Ia tupai berwawasan. Sekalipun hidupnya cuma di hutan, pemikirannya menjangkaui ilmu tentang kehidupan di hutan. Yang menjadi resah padanya, ungkapan manusia "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua". Ia menjadi ungkapan yang menghalang generasinya menjadi raja di hutan. Malah jadi bahan ketawa dan gurauan penghuni hutan yang lain.

Ia bertekad. Generasi tupai perlu mempunyai ketuanan diri. Tidak diperlekehkan. Baik manusia mahupun  penghuni komuniti hutan. Sudah tiba masanya ungkapan tersebut dihilangkan dari koleksi bidalan kata.

Dengan menghimpun semua ketua-ketua kaum keluarga tupai, dia mula membentangkan pelan pemulihan keluar dari himpitan kepompong bidalan yang merendahkan generasinya selama ini. Setiap ekor tupai yang lahir akan didedahkan dengan ilmu dan teknik lompatan yang sempurna. Dalam tempoh setahun, anak tupai itu perlu melepasi tahap kelayakan dan kecekapan yang ditetapkan. Bagi menggalakkan dan memperkembangkan gaya lompatan yang sempurna, akan diadakan pertandingan yang difikirkannnya mampu mencorakkan semangat dan keberanian baru dalam generasi tupai.

Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Hutan yang besar kini semakin kecil dimamah manusia atas nama pembangunan.

Hari ini telah tiba masanya seperti mana dijanjikan. Pelaporan keberhasilan mengurangkan indeks kejatuhan akibat lompatan dibentangkan kepada sekalian tupai disaksikan sebahagian besar koloni hutan.

Dengan bangga, setiap penghuni hutan dikhabarkan dengan statistik terbaru. Tiada kejatuhan dicatatkan. Kempen sifar jatuh semasa melompat benar-benar berjaya. Sekalian tupai gembira dan bangga atas kejayaan ini. Kehandalan tupai melompat akan kembali diperkatakan. 

Dengan didorong rasa kebanggaan, sekelompok tupai maju menjulang ketua baru mereka, si tupai kecil yang berwawasan. Diikuti sorakan dari sekalian tupai yang lain.  Si tupai kecil berwawasan dijualang, dilambung tinggi ke udara. Semakin kuat sorakan, semakin tinggi lambungan.


............

Seluruh penghuni hutan digemparkan. Setiap pelusuk berita disampaikan. Tupai kecil berwawasan mati terjatuh ketika dilambung tinggi meraikan kejayaan. Sekalian tupai di bawah gagal menyambut tupai kecil berwawasan. 

Bidalan "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua" masih kekal dalam ungkapan percakapan harian.

3 ulasan:

shasha berkata...

dalam maksud tuh....

saad berkata...

haha.. ko memang kreatif..

Kemat berkata...

shasha:
sebab datangnya dari dalam juga

saad:
masih mencuba