Selasa, Mei 31, 2016

Anatomi Rupert – Suka Duka Masyarakat di Pekan Rupert

Judul:              Anatomi Rupert
Penulis:           Ruhani Matdarin
ISBN:              978-967-430-164-4
Penerbit:          Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2013.
Tebal:              179 halaman


Novel karya Ruhani Matdarin ini merupakan pemenang sagu hati Sayembara Penulisan anjuran ITBM-PENA –Berita Harian bagi kategori novel. Ia menjadi salah satu faktor untuk saya memilih novel ini selain nama pengarangnya yang mula saya kenali menerusi Kumpulan Cerpen Melawan Yang Mustahil.

Kisah yang dibangunkan berlatar belakang pekan Rupert, menyingkap bagaimana kisah masyarakat pekan ini menjalani kehidupan sekadar cukup makan sahaja. Tiada isu besar cuba diketengahkan jauh sekali memainkan isu darjat antara kehidupan si kaya raya dengan si papa kedana yang menjadi kisah klise bagi senario pekan lama di zaman moden ini. Konflik antara masyarakat, jika ada tidaklah terlalu besar sehingga mewujudkan perkelahian besar kecuali pertelingkahan antara Arif, ejen jualan kepada Razak yang turut bersaing mendapatkan jualan di Rupert.

Beberapa watak yang memberikan wajah pada novel ini didukungi oleh Pak Ali; empunya kedai gunting rambut tradisional yang kian hilang pengunjung dek tarikan salon moden, Tok Mun; orang tua di kampung yang punyai hasrat menukar nama pekan dan membesarkan masjid, Razak; penjual produk kesihatan dan penjagaan badan yang mendapat peluang lantaran usahanya belajar berbahasa Inggeris, Arif; menjadi nelayan kerana cinta dan kerana cinta juga mungkin kerjaya nelayannya berakhir, Badrul; pembawa cerita yang mengambil kesempatan atas pekerjaannya di pejabat kerajaan; Salihin, anak Pak Ali yang mendambakan tapak kedai gunting rambut ayahnya untuk dibangunkan semula sebagai kedai runcit dua tingkat.Tidak lupa watak Haji Husin, wakil rakyat yang kini di penghujung penggal menjadi pemimpin masyarakat. Kesemuanya sering mengunjungi kedai kopi yang diusahakan Sumarni yang jelas matang dalam percakapan dan pengaturan hidup.

Plot novel ini agak perlahan. Bermula dengan pengkisahan kedai gunting rambut yang ditenggelami arus kemodenan namun masih tekun diusahakan Pak Ali yang kerap bernostalgia dengan kisah silam. Pun begitu, Pak Ali sedar dia sedang menentang arus dan menasihatkan pembantu setianya, Salim untuk beralih arah mengejar masa hadapan. Gesaan anaknya untuk membangunkan tapak kedai gunting rambut kepada kedai runcit menyuntik elemen konflik keluarga apabila kerap kali hasrat anaknya itu ditolaknya. Pak Ali mengharapkan sikap Salihin lebih menyamai Salim dalam mengangkat sumbangan kedai gunting rambutnya.

Tok Mun dan Haji Husin ditonjolkan sebagai dua watak berusia yang menjadi pemimpin masyarakat Rupert. Bezanya Haji Husin berjaya dalam pemilihan undi manakala Tok Mun masih belum diberi kepercayaan lagi. Biar masing-masing punyai hasrat yang sama untuk menukar nama pekan Rupert dan membesarkan masjid.

Kisah anak muda dalam novel ini lebih menarik susunannya. Razak, Salihin, Arif memperlihatkan semangat anak muda mendapatkan kehidupan yang lebih bermakna. Penulis turut memasukkan sedikit elemen kisah cinta melalui kemasukan watak Sumarni dalam hidup Arif. Dan ia wajar dikembangkan lagi.

Pemilihan kata dan susunan gaya bahasa indah dalam beberapa ungkapan menjadikan novel ini menarik dan punyai warna sasteranya. Sekadar mengambil beberapa patah ungkapan dalam dialog novel, berikut antara yang memikat dialognya.

“Tulang patah tak mengapa, Ali. Tapi jangan semangat kita yang patah.” – Tok Mun.

“Bumi Tuhan ini kaya, kita harus gali kekayaan itu, walau di mana kita berada. Sebab Tuhan memberikannya kepada kita, kepada orang yang rajin mencari.” – Sumarni.

“Bukankah ayah mencintai masa silam? Kadangkala masa silam memang sakit ayah., tetapi kita boleh belajar darinya, jika kita tak mahu lari darinya.” – Salihin.


Anatomi Rupert bukanlah karya yang berat untuk difahami. Tanpa isu utama atau konflik yang kuat, ia disampaikan secara  bersahaja dengan setiap watak punyai kisah tersendiri.

Untuk keseluruhan penceritaan novel ini, saya berikan 3 bintang. 

https://www.facebook.com/rakanITBM