Khamis, Februari 24, 2011

Adoiiii.....

Hari ini, jumpa doktor lagi. Tapi aras keyakinan dah tinggi. Tak ada rasa takut. Tak macam jumpa doktor gigi. Mengigil sampai berlaga gusi.

Masuk bilik langkah penuh gaya. Tanda dah sihat. Siap boleh gelak ketawa. Mesti doktor pun terkejut. Dah sihat wala'fiat awak rupanya.

Hidup memang tak boleh berlagak sangat. Walaupun dah kategori orang-orang kurang tinggi fizikalnya, masih perlu merendahkan diri lagi.

Keluar bilik. Terkengkang kengkang lak jalannya. Adeh. Adeh..Trauma pada doktor kembali lagi. 

Selasa, Februari 22, 2011

Pencapaian DiUtamakan, Rakyat Didahulukan, Blog Dipinggirkan

Sunyi tanpa kamu
Rindu untuk bertemu
Menatap tanpa jemu
Mendengar biar cuma membisu

Sudah lama tidak didendangkan cerita
Suka duka ragam manusia
Hati semakin bising tidak boleh berkata
Memberontak menuntut pembebasan jiwa

Tolong

Nanti aku disini
Aku pasti kembali
Bila sembuh luka
Yang dirawat masa 





Jumaat, Februari 04, 2011

Merah Atau Biru

Merah. Atau biru. Yang mana satu. Dia benci untuk membuat pilihan.

Janice menangis. Dia tak tahu untuk membuat pilihan. Yang merah atau biru. Dua warna itu adalah warna kesukaannya. Tapi hari ini dia membenci warna merah dan biru. Yang memaksanya membuat pilihan.

Janice tak kisah sekiranya pilihannya salah, dia seorang sahaja yang perlu tanggung akibatnya. Tapi, saat itu pilihan warna yang salah mampu mengorbankan nyawa berpuluh yang lain. Pilihan warna yang tepat memberikan mereka ruang untuk bernafas lagi selepas saat itu. Cuma Janice tak tahu yang mana satu.

Janice memandang pada yang lain. Mengharapkan ada yang sudi mengambil alih peranan. Atau sekurang-kurangnya berkongsi panduan. Wayar yang mana satu pada bom peledak masa itu yang harus dipotong. Yang merah atau biru. Yang mana dapat menghentikan masa. Yang mana menghentikan degupan jantung mereka.

Masanya sudah tiba. Janice perlu buat pilihan jua. Merah atau biru.

Janice memejamkan mata. Tangannya kirinya meraba-raba salah satu dari dua wayar pada bom peledak masa itu. Tangan kanannya memegang gunting. Janice menarik nafas sedalammnya. Tanpa mengetahui warna wayar pada genggaman tangan kirinya, Janice terus memotong.

 ...................

Janice sendiri tak tahu warna apa yang dipilihnya. Mereka di sekelilingnya yang sama-sama terperangkap dalam bangunan itu juga tidak tahu. Dan mereka tidak berpeluang untuk tahu sampai bila-bila.

Janice dan 20 kakitangan di bank tempatnya bertugas telah mati akibat letupan bom peledak masa. Demikian lapor akhbar utama keesokan harinya.

Rabu, Februari 02, 2011

Selamat Tinggal Cili

Dalam pada terlantar terbaring atas katil, aku termimpikan makan sambal petai dengan ikan bilis. Tapi itu semua mimpi sahaja. Kata awek che'gu, aku kena berpantang, dah tak boleh makan pedas-pedas dah. Masak lemak cili api cuma boleh ambil bau sahaja.

Kali ini, bukan setakat pantang. Ubat pun aku sanggup telan. Tak yah dipaksa macam selalu. 

Insaf. Tuhan berikan pengajaran menerusi kesakitan. Moga terampun segala dosa.