Ahad, Jun 03, 2012

Gol Tiang



"Dalam permainan hoki ini. Yang penting adalah fokus yang akan menjamin ketepatan dalam kamu membuat hantaran dan menjaringkan gol", itu pesan cikgu Arsyad pada sesi pertama pembentukan pasukan hoki Sekolah Rendah Sultan Ismail 1.

Mulai hari itu, kami berlatih menggunakan tiang gol bola sepak. Iya. Sekolah kami tiada padang khusus untuk hoki. Maka sebelah tiang gol bola kami umpamakan sebagai pintu gol untuk kami. Untuk menjaringkan gol, bola hoki yang dirembat perlu mengena tepat pada tiang gol. Itu adalah antara teknik yang diasah cikgu Arsyad untuk kami fokus. 

Mula-mula berlatih, memang susah. Sedangkan pintu gol sebenar yang sedepa luas pun ramai yang tersasar, inikan pula tiangnya sahaja. Benarlah kata pepatah. Benarlatih jadikan kamu sempurna. Pejam mata pun kami masih mampu menghalakan bola tepat menuju ke arah tiang gol. Dengan ketepatan dan kepantasan yang kami miliki, ramai mula menaruh kepercayaan pada kami untuk menjuarai perlawanan peringkat zon nanti. bah. Sejarah bakal berubah. Pasukan sekolah kami bukan lagi tercorot dalam sukan hoki.

Hari yang mendebar itu tiba juga. Kami yakin boleh bergelar juara. Gol lawan akan kami bolosi dari minit pertama. Fokus. Itu pegangan kami.

Tapi terlalu yakin tidak elok sebenarnya. Hari itu bukannya hari bahagia. Sejarah kadang-kadang perlu diyakini dan diambil iktibar juga.  Tiada kisah ceria untuk dikenang. Pasukan kami pulang awal. Pasukan lawan lebih banyak membolosi gol kami.

Kami???? Bola banyak menghala ke tiang berbanding menuju ke gawang gol. Cheh.




Tiada ulasan: