Khamis, Mac 31, 2011

Dan tiba-tiba, PLOP!!! (cuba muncul kembali)

Hey, lama sudah jari ini tidak mengetik. Mulut seakan terkunci, cuma dibenar mengunyah kuaci. Sedangkan hati terus bising tanpa henti. Aku perlu menulis kembali. Sekurang-kurangnya boleh jadi alibi. Jika difitnah nanti.

Tapi, bagaimana ingin ku tulis. Sudah lama tidak ke gelanggang ini. Kanvas ini terbiar kosong tanpa ada rasa dan peristiwa yang dirakamkan. Hanya dalam hati semua rahsia tersimpan. 

Aku perlu bertatih. Biar letih. Mohon tunjuk ajar. Jika tersasar. Jalan ini pernah dilalui, tapi hari ini ia berbeza sekali. 

Aku rindu sebenarnya. Kopi tanpa gula masih manis bila kamu ada bersama.

Khamis, Mac 03, 2011

Saman

"Fuhh..lega" bisik Joe pada dirinya. 

Joe baru sahaja melangsaikan hutang saman trafik. Bersusah payah dia menabung bagi menjelaskan hutang yang berjela itu. Mujur sempat diselesaikan pada hari terakhir walau berjam-jam dia berdiri berbaris menunggu giliran untuk menyerahkan wang simpanannya.

Sebahagian besar pendapatannya dihabiskan pada kereta sukannya. Untuk isi minyak RON 97 (iya, Joe tidak yakin dengan RON 95), make up kereta, tol dan juga saman.Sekalipun begitu, Joe belum terfikir untuk menjual kereta sukan kesayangannya. Inilah kereta untuk Joe cari makan. Berkepit dengan awek-awek cun di bandar besar ini. Joe rasa pelaburannya ke atas kereta sukan warna merah ini berbaloi sekali. Dengan citarasa Melayu Barunya.

Joe senyum. Dia boleh tidur lena. Saman yang tertunggak dah dijelaskan sepenuhnya. Tiada satu pun yang berbaki. Hinggalah tengah hari tadi, tika dia baru pulang dari makan tengah hari dan kembali ke pejabat. Sapaan dari 2 orang mamat yang bertubuh besar berwajah ganas (muka Amok, hati Tomok).

"Bang.. Kereta ni dah 3 bulan tak bayar. Minta kunci. Kami kena tarik kereta nie"  

Joe tepuk dahi. Joe bayar saman. Joe lupa nak bayar tunggakan ansuran kereta sukannya. 

Selasa, Mac 01, 2011

Sudu Dan Garfu III

"Kita masak ikan bawal tiga rasa, kangkung belacan dan telur asin lah malam nie" kata  Ujang, kawan serumah yang lebih arif dalam bab masak antara kami. Ujang kami kira berbakat besar dalam bidang masakan ni. Selain daripada berani mencuba resepi baru, Ujang cukup kreatif dalam mempelbagaikan masakan dengan bahan yang terhad. Masakannya jarang mengecewakan.

Kami tak betah. Kalau Ujang kata malam tu masak ikan bawal tiga rasa, makan ikan bawal tiga rasalah kami malam itu. Dia umpama ketua chef bagi kami. Dan kami juga punya peranan penting. Penyediaan bahan masakan. Ada yang tukang kupas bawang,  tukang siang ikan, tukang potong sayur, tukang masak nasi, tukang bancuh air sirap, tukang baca resipi dari buku masak Chef Wan. Dan masakan yang mudah seperti goreng telur, sayur kami dah boleh buat sendiri tanpa pengawasan Ujang.

"Eh, ngko rebus apa nie"
"Telur asin lah. Kata nak makan telur asin. Aku rebus 3 biji jer cukup kan"

"Eh, hitam jer telur ni. Ngko tak basuh dulu ker buang pasir tu"
Pap. Aku cuma tepuk dahi. Pasal rebus telur asin tak ada tulis dalam buku resepi.