Judul: Anatomi Rupert
Penulis: Ruhani Matdarin
ISBN: 978-967-430-164-4
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia, 2013.
Tebal: 179
halaman
Novel karya Ruhani Matdarin ini
merupakan pemenang sagu hati Sayembara Penulisan anjuran ITBM-PENA –Berita
Harian bagi kategori novel. Ia menjadi salah satu faktor untuk saya memilih
novel ini selain nama pengarangnya yang mula saya kenali menerusi Kumpulan
Cerpen Melawan Yang Mustahil.
Kisah yang dibangunkan berlatar
belakang pekan Rupert, menyingkap bagaimana kisah masyarakat pekan ini
menjalani kehidupan sekadar cukup makan sahaja. Tiada isu besar cuba
diketengahkan jauh sekali memainkan isu darjat antara kehidupan si kaya raya
dengan si papa kedana yang menjadi kisah klise bagi senario pekan lama di zaman
moden ini. Konflik antara masyarakat, jika ada tidaklah terlalu besar sehingga
mewujudkan perkelahian besar kecuali pertelingkahan antara Arif, ejen jualan
kepada Razak yang turut bersaing mendapatkan jualan di Rupert.
Beberapa watak yang memberikan wajah
pada novel ini didukungi oleh Pak Ali; empunya kedai gunting rambut tradisional
yang kian hilang pengunjung dek tarikan salon moden, Tok Mun; orang tua di
kampung yang punyai hasrat menukar nama pekan dan membesarkan masjid, Razak;
penjual produk kesihatan dan penjagaan badan yang mendapat peluang lantaran
usahanya belajar berbahasa Inggeris, Arif; menjadi nelayan kerana cinta dan
kerana cinta juga mungkin kerjaya nelayannya berakhir, Badrul; pembawa cerita
yang mengambil kesempatan atas pekerjaannya di pejabat kerajaan; Salihin, anak
Pak Ali yang mendambakan tapak kedai gunting rambut ayahnya untuk dibangunkan
semula sebagai kedai runcit dua tingkat.Tidak lupa watak Haji Husin, wakil
rakyat yang kini di penghujung penggal menjadi pemimpin masyarakat. Kesemuanya
sering mengunjungi kedai kopi yang diusahakan Sumarni yang jelas matang dalam
percakapan dan pengaturan hidup.
Plot novel ini agak perlahan. Bermula dengan
pengkisahan kedai gunting rambut yang ditenggelami arus kemodenan namun masih
tekun diusahakan Pak Ali yang kerap bernostalgia dengan kisah silam. Pun
begitu, Pak Ali sedar dia sedang menentang arus dan menasihatkan pembantu
setianya, Salim untuk beralih arah mengejar masa hadapan. Gesaan anaknya untuk
membangunkan tapak kedai gunting rambut kepada kedai runcit menyuntik elemen konflik
keluarga apabila kerap kali hasrat anaknya itu ditolaknya. Pak Ali mengharapkan
sikap Salihin lebih menyamai Salim dalam mengangkat sumbangan kedai gunting
rambutnya.
Tok Mun dan Haji Husin ditonjolkan
sebagai dua watak berusia yang menjadi pemimpin masyarakat Rupert. Bezanya Haji
Husin berjaya dalam pemilihan undi manakala Tok Mun masih belum diberi
kepercayaan lagi. Biar masing-masing punyai hasrat yang sama untuk menukar nama
pekan Rupert dan membesarkan masjid.
Kisah anak muda dalam novel ini lebih
menarik susunannya. Razak, Salihin, Arif memperlihatkan semangat anak muda
mendapatkan kehidupan yang lebih bermakna. Penulis turut memasukkan sedikit
elemen kisah cinta melalui kemasukan watak Sumarni dalam hidup Arif. Dan ia
wajar dikembangkan lagi.
Pemilihan kata dan susunan gaya bahasa
indah dalam beberapa ungkapan menjadikan novel ini menarik dan punyai warna
sasteranya. Sekadar mengambil beberapa patah ungkapan dalam dialog novel,
berikut antara yang memikat dialognya.
“Tulang patah tak mengapa, Ali. Tapi
jangan semangat kita yang patah.” – Tok Mun.
“Bumi Tuhan ini kaya, kita harus gali
kekayaan itu, walau di mana kita berada. Sebab Tuhan memberikannya kepada kita,
kepada orang yang rajin mencari.” – Sumarni.
“Bukankah ayah mencintai masa silam?
Kadangkala masa silam memang sakit ayah., tetapi kita boleh belajar darinya,
jika kita tak mahu lari darinya.” – Salihin.
Anatomi Rupert bukanlah karya yang
berat untuk difahami. Tanpa isu utama atau konflik yang kuat, ia disampaikan
secara bersahaja dengan setiap watak
punyai kisah tersendiri.
Untuk keseluruhan penceritaan novel ini, saya berikan
3 bintang.
https://www.facebook.com/rakanITBM
https://www.facebook.com/rakanITBM