Sabtu, April 30, 2011

Kais (Entri Sempena Hari Pekerja 1 Mei)

"Aku dah bosan hidup cenggini mak. Kais pagi makan pagi. Kais petang makan petang. Aku nak berhijrah ke bandar"

"Isshh.. kamu ni. Apa kurangnya hidup di kampung pun. Kais-kais pun, kita tak pernah kebuluran seharian tak makan"

"Aku dah tekad mak. Aku nak cuba hidup di bandar. Pandai-pandailah aku jaga diri di sana nanti"

................

Sebulan kemudian, ia muncul kembali.

"Hah, macam mana hidup kamu di bandar. Makin kurus je mak tengok"

"Susah lah mak. Semua hutan batu dan berkonkrit. Tak jumpa tanah. Nak kais pun susah" balas, Topeng, si anak ayam penuh penyesalan.

Khamis, April 28, 2011

Rahsia Diari Biru VI

Maaf,
Kerana aku ceritakan 
Kisah pembohongan itu pada kamu
Kerana kebenarannya
Terlalu pahit 
Pedih dan menghimpit
Aku tak sanggup 
Kehilangan senyuman itu
Yang terukir manis di wajahmu

- Mat Bon- 

Selasa, April 26, 2011

Melentur Buluh II

Waktu kecil dahulu, kepulangan baba dari kerja amat di nanti. Selalunya akan ada surat khabar yang jadi rebutan kami adik beradik. Itulah antara sumber bacaan utama kami. Walaupun ruangan rencana tidak menjadi keutamaan kami, baba menyokong  penuh minat kami pada surat khabar. Dari kecil, kami berebut belajar mengeja dan mengenal perkataan baru dari surat khabar. 

Di sekolah, cikgu Aishah, guru Bahasa Melayu kami cukup rajin mengelolakan aktiviti akhbar dalam darjah (ADD). Aku teringat kata cikgu Aishah, surat khabar ada banyak ilmu yang boleh dipelajari. Penggunaan bahasa yang tepat dan kandungannya yang penuh manfaat. Bukan seperti komik yang banyak guna bahasa ringkas dan cerita fantasi.

Sampailah hari ini, surat khabar dah jadi antara perkara yang bangun pagi mesti cari. Cuma, kebelakangan ini, intisarinya mengejutkan diri. Tajuk utama menakutkan generasi muda yang baru hendak belajar mengeja. Salah siapa jika mereka mula berbahasa yang tidak sepatutnya...

Isnin, April 25, 2011

Melentur Buluh

Husna dah mula menunjukkan minatnya untuk membaca. Rak buku di rumah merupakan antara tempat bermainnya. Leka benar dia dengan dunia barunya itu.

Sesekali, aku temankan dia membaca. Mengajar mengenal gambaran binatang, buah, benda, anggota badan, abjad dan angka dari buku-buku kecil berkulit keras miliknya. Selalunya aku akan mengambil peranan menjadi cikgu Bahasa Melayu. Awek che'gu akan jadi cikgu Bahasa Inggeris. Kadang-kadang kami bertukar peranan ikut mood Husna juga. Kalau hari itu dia nak belajar dari buku bergambar Inggeris, jadi teacher lah aku hari itu.

"A.... untuk apple"
"B.....untuk bicycle"
"C..... untuk cat"
"D....., E......., F......."
"G..... untuk...err....untuk" berkerut dahi aku memikirkan nama binatang yang seakan ulat dalam buku bergambar tu

Husna pandang aku. Menunggu jawapan untuk binatang seakan ulat itu. 
" Haa.. G untuk gonggok"

"Woittt..." jerkah awek che'gu yang tiba-tiba muncul dari belakang

Jumaat, April 22, 2011

Selamat Hari Lahir Roy

Sambutan hari lahir yang ke lapan belas sememangnya detik yang ditunggu buatnya. Biar tiada kad ucapan mahupun kek icing. Angka lapan belas sudah cukup untuk membuat dirinya rasa gembira.

Hari ini, Roy (entah apa nama sebenarnya) dah genap lapan belas tahun usianya. Dah mula menjejaki usia dewasa. Dah boleh beli rokok secara terbuka. Dah boleh tengok wayang cerita 18SX,SG, PL, PA. Dah boleh masuk kedai snooker dan main mesin kuda tanpa takut diserbu polis. Kebebasan dari pengertian undang-undang.

Dan yang tambah menggembirakan hati Roy. Dia dah boleh memiliki akaun emel 1 Malaysia. Pergghh....
 

Rabu, April 20, 2011

Sepandai-Pandai Tupai Melompat.

Ia tupai berwawasan. Sekalipun hidupnya cuma di hutan, pemikirannya menjangkaui ilmu tentang kehidupan di hutan. Yang menjadi resah padanya, ungkapan manusia "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua". Ia menjadi ungkapan yang menghalang generasinya menjadi raja di hutan. Malah jadi bahan ketawa dan gurauan penghuni hutan yang lain.

Ia bertekad. Generasi tupai perlu mempunyai ketuanan diri. Tidak diperlekehkan. Baik manusia mahupun  penghuni komuniti hutan. Sudah tiba masanya ungkapan tersebut dihilangkan dari koleksi bidalan kata.

Dengan menghimpun semua ketua-ketua kaum keluarga tupai, dia mula membentangkan pelan pemulihan keluar dari himpitan kepompong bidalan yang merendahkan generasinya selama ini. Setiap ekor tupai yang lahir akan didedahkan dengan ilmu dan teknik lompatan yang sempurna. Dalam tempoh setahun, anak tupai itu perlu melepasi tahap kelayakan dan kecekapan yang ditetapkan. Bagi menggalakkan dan memperkembangkan gaya lompatan yang sempurna, akan diadakan pertandingan yang difikirkannnya mampu mencorakkan semangat dan keberanian baru dalam generasi tupai.

Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Hutan yang besar kini semakin kecil dimamah manusia atas nama pembangunan.

Hari ini telah tiba masanya seperti mana dijanjikan. Pelaporan keberhasilan mengurangkan indeks kejatuhan akibat lompatan dibentangkan kepada sekalian tupai disaksikan sebahagian besar koloni hutan.

Dengan bangga, setiap penghuni hutan dikhabarkan dengan statistik terbaru. Tiada kejatuhan dicatatkan. Kempen sifar jatuh semasa melompat benar-benar berjaya. Sekalian tupai gembira dan bangga atas kejayaan ini. Kehandalan tupai melompat akan kembali diperkatakan. 

Dengan didorong rasa kebanggaan, sekelompok tupai maju menjulang ketua baru mereka, si tupai kecil yang berwawasan. Diikuti sorakan dari sekalian tupai yang lain.  Si tupai kecil berwawasan dijualang, dilambung tinggi ke udara. Semakin kuat sorakan, semakin tinggi lambungan.


............

Seluruh penghuni hutan digemparkan. Setiap pelusuk berita disampaikan. Tupai kecil berwawasan mati terjatuh ketika dilambung tinggi meraikan kejayaan. Sekalian tupai di bawah gagal menyambut tupai kecil berwawasan. 

Bidalan "Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua" masih kekal dalam ungkapan percakapan harian.

Isnin, April 18, 2011

Gembala dan Serigala

Kau melolong
Atau minta tolong
Pekikan kau buat kami terlopong
Keliru ia benar atau bohong

Jumaat, April 15, 2011

Siri Keibubapaan

Man nampak susah hati. Minum teh 3 lapis pun tak kacau sampai abis. Mana nak rasa sirap nipahnya. Itu kira biasa lagi buat lelaki yang tengah kusut. Tapi bila awek seksi meja sebelah pun dia tak berapa minat  nak pandang, aku mula rasa curiga dengan keresahan hati Man.

"Eh, gigi susu anak kalau dah cabut nak buat apa hah" tiba-tiba Man memecah kesunyian.
Cheh. Saspen betul Man nie. Masalah gigi susu anak sulung dia cabut rupanya. 

"Entah. Aku pun tak tahu. Orang tua-tua ada kata, campak atas bumbung. Untuk apa aku pun tak tahu"
"Campak atas bumbung ek.." balas Man sambil mengangguk tersenyum.

Balik minum petang tu. Man nampak kembali ceria. Dah selesai agaknya masalah dia. Pergghh, leh jadi perunding keibubapaan lah aku nie.

Malam. Man SMS aku lagi.

"Tinggi sangat bumbung flat rumah aku nie"


Khamis, April 14, 2011

Kata Hati

"Jika menulis adalah terapi buat kamu. 
Membaca tulisan kamu adalah terapi buat ku"

Buat kawan-kawan yang aktif menulis, terima kasih mengisi minda dan hati ini dengan tulisan itu. Buat masa ini, masih gagal mengikut jejak kamu dan menulis seperti dahulu. Sibuk berkecimpung dengan dunia penternakan ikan patin muncung. Haha.

Ahad, April 10, 2011

Bukan Tak Nak Update Entri Baru, Selalu.... Macam Dulu-Dulu

Orang rumah dah gantung jam kat 'bilik kechik' di tingkat atas. Scene nak 'termenung lama-lama' mengharapkan ilham datang dah tak berapa nak menarik. Tak berjiwa.

Sabtu, April 09, 2011

Seri Pagi

"Ishhh.. pokok seri pagi nie.. siram hari-hari. Bunga tak pernah kembang pun"


"Udahnye bangun tengah hari. Macam mana nak tengok bunganya berkembang"


"Cheh"

Ahad, April 03, 2011

Blues Hujung Minggu

Hari Ahad
Jam 9 pagi
Hujan baru berhenti
Ada pelangi terukir dibias mentari
 
Dan di bilik mandi
Ada seekor lipas mati
Husna menjerit
Awek che'gu (emaknya) menjerit

Cuma ayahnya tidak menjerit
Tetap tenang dan berdiam diri
Rupanya masih tidur dibuai mimpi
Bukankah hari ini hari Ahad
Dan jam baru 9 pagi