Khamis, Mac 27, 2008

Dosa Kelmarin

Dosa kelmarin
Seperti titik hitam
Yang menyelubungi kehidupan

Dosa kelmarin
Walau telah lama ditinggalkan
Dengan hati penuh penyesalan
Sentiasa hadir menghantui perasaan
Mengekori kamu sebagai peringatan
Agar kesilapan tidak berulang

Dosa kelmarin
Selagi belum kau perolehi kemaafan
Selamanya kau dibelenggu keresahan
Munajat kita pada Tuhan
Mohon keampunan
Dipermudahkan perhitungan

Dosa kelmarin
Amat menakutkan bila difikirkan
Apakah akan ada lagi masa depan
Peluang untuk menebus kesalahan

Isnin, Mac 24, 2008

Ini Melayu Baru

Kata Tok Su, Melayu itu ada dua.

Pertama seperti Tuah. Taat setia menjunjung titah. Berkorban harta benda dan nyawa. Jiwa Melayunya jiwa hamba. Pantang sekali perintah diingkar begitu saja.

Melayu kedua Jebat gelarannya. Bukan orang lain, mereka bersaudara. Cuma Jebat berbeza jiwanya. Melayunya perlu merdeka. Perlu bebas. Menurut apa yang benar, membantah apa yang salah. Raja adil raja disembah. Raja zalim raja disanggah.

Lama Tuah dan Jebat menyelami kehidupan Melayu kita. Sehinggalah kini, timbullah satu lagi Melayu.

Melayu Baru, itu katanya. Mewakili sekalian rakyat jelata itu matlamat yang dicanangkannya. Benarkah. Mungkin. Tapi kepentingannya untuk siapa. Rakyat yang kamu perjuangkan atau habuan sendiri yang tak rela dilepaskan ke tangan lain.

Beraja di hati, bersultan di mata. Ku lihat sudah tiada jiwa hamba dihatinya.


Kalau dahulu, pantang kaum lain mempermainkan Sultan Melayu. Satu negeri diamukkan. Hari ini, Melayu jualah yang menolak Sultan.

Aku Melayu. Aku malu.

Jumaat, Mac 21, 2008

Nyanyuk

Aku mungkin nyanyuk. Atau lupa. Atau mungkin juga khayal. Mabuk. Mungkin juga. Tapi bukan sebab tunggang arak. Mabuk cinta (mungkin). Sasau dan angau. Tapi dengan orang yang sama.

Bulan 3 dah nak sampai ke penghujung. Berganti bulan yang baru. Tapi entah kenapa surat-surat yang aku taip masih tertera Februari. Ia lebih baik dari kadang-kadang tersasul ke tahun 2007. Mungkin jiwa aku masa kat opis kurang tenteram. Harap-harap tak de lah sampai kene stress lak.

Balik keje, lepas keluar tol Sg Buloh, adakalanya, aku belok arah kiri. Dah separuh jalan, baru perasan. Alahai, rumah baru aku kene belok kanan tadi. Entah berapa banyak semut aku tertelan daa...

Selasa, Mac 18, 2008

Menuju Puncak

“Issh… aku tak nak laa… kasi kat orang lain la…” kata Atan. Masa kawan2 sekelasnya berpakat nak undi dia jadi ketua tingkatan 5 Nilam. Dia sedar, sekalipun cuma ketua tingkatan, banyak tanggungjawab yang perlu dijelaskan. Dia takut gagal dalam melaksanakan apa jua tugasan yang diberikan. Seboleh-bolehnya dia menolak jawatan itu. Sebelum ni pun, bila ada ura-ura namanya nak dicalonkan sebagai pengawas sekolah tahun lepas, dia sengaja cetuskan perangai memberontak. Langgar peraturan sekolah. Taktiknya berjaya. Dengar khabar namanya dibangkang keras oleh para warden walau dia cukup disenangi oleh guru-guru lain.

Kali ini. Namanya disebut-sebut lagi. Bukan orang lain. Tapi kawan-kawan rapatnya juga. Benar dia ada ketokohan. Untuk memimpin. Tapi dia lebih gemar berada di belakang memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan. Namun kehendak kawan-kawan menyebabkan dia menerima jawatan ketua tingkatan juga. Setelah dia menang tanpa bertanding. Dalam pemilihan yang paling telus dan adil dalam sejarah demokrasi.

Itu kisah dulu. Masa Atan belum cukup umur pun untuk mengundi. Malah tak pernah dihiraukan langsung percakapan politik yang sering jadi topik perbualan utama di kedai kopi, balai raya dan masjid di kampungnya.

Sekarang. Atan dah cukup dewasa. Untuk mengenal erti kuasa. Kalau dahulu dia menolak, kali ini dia tercari-cari segala peluang yang ada. Dia sedar, untuk hidup senang, dia perlu berada di atas. Di bawah tak menjanjikan kesenangan. Di atas sudah tersedia limpahan kemewahan.

Tapi bukan senang nak ke atas. Dia perlu berebut dan bersaing dengan rakan-rakan yang suatu ketika dulu pun tak pernah mahukan sebarang jawatan. Akalnya harus panjang. Langkahnya perlu cepat. Kalau lambat, mungkin tak dapat.

Sejarah berulang kembali. Namanya disebut lagi. Sebagai calon pilihan pemimpin atasan. Sekarang yang diperlukan cuma sokongan. Dari mereka yang telah dijanjikannya segala bantuan. Pada mereka, ditaburkan harapan.

Hari ini. Atan menang. Wajahnya ceria. Hatinya girang. Katanya ini baru permulaan. Ada cita-cita besar yang masih tersimpan. Bukan sekadar jadi wakil kawasan. Tapi ingin juga pegang jawatan.

Untuk Atan. Hati-hati melangkah. Kelak tersadung jatuh tersembam. Kami tak kisah kamu punya impian. Hidup perlu punyai wawasan. Tapi jangan dilupa amanah yang perlu dipikul. Janji yang dilontarkan. Semasa kecil, kau takut dipersoalkan jika tanggungjawab tak dilunaskan. Bila dewasa, moga kau tak lupa semuanya. Jawatan bukan satu kebanggan. Tapi amanah yang perlu kamu tunaikan.

Rabu, Mac 12, 2008

SPM : Noktah atau Permulaan

Keputusan SPM akan diumumkan hari ini. 12 Mac 2008. Khabarnya seramai 6,247 calon dapat A dalam semua mata pelajaran. Tahniah.

Kata orang, keputusan SPM seakan satu titik penting dalam perjalanan hidup kamu. Ia akan menentukan kamu ke mana dan di mana. Jika kamu berjaya, jalan pilihan kamu terbentang luas. Cita-cita yang dimpikan sejak kecil semakin hampir didekati. Tak hairanlah SPM diberi penekanan oleh ibu bapa dan masyarakat.

Namun, jika kamu gagal, tak bermakna segalanya sudah berakhir kecuali kamu mengambil keputusan untuk berhenti. Dari terus melangkah dan berharap. Memang sukar. Kerana ia seakan begitu asing buat kamu. Masyarakat akan membuat penilaian ke atas pencapaian kamu. Tapi, janganlah kamu menghukum diri kamu. Atas kegagalan sementara ini.


Percayalah. Kejayaan masih ada. Jika kamu masih yakin dan berusaha.


(Nota: Keputusan SPM aku dulu tak sedikit pun membanggakan. Cita-cita aku hampir terkubur. Syukur. Walau tak segah mana. Aku masih mampu berdiri hingga ke hari ini. Moga peluang aku untuk mencipta dan meraih kejayaan di masa hadapan terus terbuka. Aku juga ingin kecapi kemenangan. Seperti mana yang kamu rasakan)

Khamis, Mac 06, 2008

Satu Pertemuan

Tiba-tiba sahaja dia berada di sebelah aku. Entah dari mana datangnya. Tak pula aku pasti. Sambil tersenyum, dihulurkan tangan. Tanda persahabatan. Riak wajahnya yang lembut dan penuh kemesraan buatkan aku sedikit kaget dan kehairanan. Mungkinkah dia saudara atau kenalan lama. Aku seakan kenali wajah itu.

Salamnya bersambut. Dan dia berlalu selepas itu. Meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga. Sehinggalah rakannya dibelakang menghulurkan sesuatu untuk aku. “Jangan lupa yer bang” katanya penuh pengharapan.

Oh… patutlah macam pernah kelihatan. Wajah inilah yang tergantung di antara tiang lampu jalan, mnghiasi persimpangan jalan dan lampu isyarat. Tak sangka. Bersua kami di sini. Di pasar malam. Yang jelas bukan tempat ‘permainannya’.

Aku tekad. Undi aku. Untuk PAS. Muktamad.

Isnin, Mac 03, 2008

Pemandu Teksi : satu analogi

Kamu. Pemandu teksi. Yang berhemah dan penuh dedikasi. Keluar rumah sebelum timbulnya mentari pagi, pulang bekerja di awal pagi. Segala keringat kamu perah, hasilnya kamu tadah. Walau dengan membawa teksi, kamu berjaya menyara hidup kamu dan keluarga dengan penuh bererti. Segalanya cukup.

Suatu hari. Entah nasib malang apa yang melanda. Kamu dirompak di akhir perjalanan kamu pulang ke rumah. Wang dan teksi kamu jadi pertukaran pada nyawa yang dipertaruhkan. Kamu hilang segalanya dalam satu malam.

Perompak yang seronok mengaut untung di tengah jalan dengan cara yang paling senang cuba menunjukkan belas kasihan. Walaupun perompak, kononnya dia masih punyai belas ehsan.Wang sepuloh ringgit diberikan. Untuk kamu. Buat tambang pulang.

Kamu. Pemandu teksi. Yang berhemah dan penuh dedikasi. Mengalir air mata. Bukan kesedihan. Tapi kegembiraan. Kerana budi pekerti perompak yang sudi menghadiahkan. Sepuluh ringgit untuk kamu pulang.

Kerana sepuluh ringgit, perbuatannya merompak teksi dan wang pendapatan seharian dimaafkan.
*entri ini adalah gubahan dengan gaya penulisan sendiri dari penceritaan orang atas orang. Sehingga entri ini ditulis, aku dimaklumkan ideanya dari arwah Y.B. Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor.